Saturday, December 14, 2013

Bukti Hujan masih bersatu


HUJAN mempersembahkan untaian hit mereka sejak zaman album 1,2,3 Go? sehingga Sang Enemy.


HUJAN merupakan band indie pertama yang berjaya melangkah masuk ke pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) untuk sebuah konsert perdana bersifat akustik.
Revolusi yang diperkenalkan oleh DFP itu sedikit sebanyak membuka ruang dan menarik khalayak berbilang untuk menjengah dewan berprestij itu yang selama ini diberi tumpuan untuk persembahan klasikal khususnya.
Selepas Aizat Amdan, Yuna, Hafiz Suip dan Najwa Mahiaddin, pintu dibuka untuk Hujan mempertaruhkan bisa mereka buat penyokong band yang sudah lapan tahun bertapak.
Konsert Hujan pada malam 2 Disember lalu bersifat santai, sarat hilai tawa oleh humor bersahaja sang vokalisnya, Noh Salleh dan keseluruhannya menghiburkan.
Untaian lagu yang dipilih oleh band itu hits semata-mata dan dipetik daripada koleksi album empat album dan dua album EP terbaik mereka, Sang Enemy (2012), Lonely Soldier Boy (2010), Mencari Konklusi (2009), Hujan (2008), Check, Check, Rock, Rock (2007) dan 1,2,3 Go? (2006).
Pentas dibuka dengan penampilan tiga penyanyi latar Leo Azman, Dyana Shamsuddin dan Faris Shazie yang mempersembahkan overture medley lagu Rumah Kita, Ke Selatan dan DBS.
Bagaimanapun, kelemahan kualiti persembahan trio itu ditutup oleh kemunculan Noh yang langsung membuka panggung menerusi single Lonely Soldier Boy.
Noh diiringi tiga anggota kumpulan Hujan lain iaitu AG Coco (gitaris), Izzat (bass) dan Ambobzeela (dram) meneruskan persembahan dan melantik Faizal Uzir atau lebih terkenal disapa Lok Yu menggantikan posisi Dimas bermain keyboard.
Momento
Noh menyeret penonton melewati usia awal pembabitan Hujan dalam industri hiburan Malaysia yang akhirnya mendorong pencapaian mereka hari ini.
“Suatu ketika dahulu, Hujan pernah busking di depan KLCC dan peritnya waktu itu kami siap dihalau keluar daripada kawasan ini.
“Tapi tidak sangka pada malam ini tiket habis dijual dan itu membuktikan sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi buat Hujan,” ujar Noh berinteraksi bersama audiens sebelum mempersembahkan lagu Bagaikan Matahari dan Aku Yang Asing yang dipetik daripada album Lonely Soldier Boy.

SELAKU ketua, Noh menafikan yang Hujan sedang bergolak dengan isu dalaman.


Noh sesekali mengusik keluarga dan isterinya, Mizz Nina yang hadir sama menyaksikan konsert tersebut. Adakalanya jenaka dan ucapannya membuktikan kasih sayang pasangan yang telah tiga tahun mendirikan rumah tangga itu masih mekar mengharum.
Noh menghadiahkan lagu Kotak Hati buat isterinya. Sambil memetik sebuah gitar akustik, diiringi rembang lampu sorot solo penyanyi kelahiran Sarawak itu nampak larut membuai jiwa. Emosi sama diluahkan Noh menerusi lagu Di Kala Bulan Bermain Biola.
Melanjutkan acara, lagu-lagu seperti Empayarmu, Mencari Konklusi dan Dugaannya melewati suasana dewan yang makin gamat bersahut sorak-sorai peminat setia band Hujan.
Di kala berseloroh, Noh tidak putus-putus mengucapkan syukur atas sokongan tidak berbelah bahagi kelab peminatnya yang dipanggil Raingers.
Pagi Yang Gelap memperkenalkan band Hujan kepada khalayak. Benar pada mulanya perkenalan genre rock alternatif itu berlaku penolakan dalam masyarakat, tapi Hujan telah menjenamakan band itu ke satu tahap lebih tinggi dalam arus muzik tempatan.
“Single Pagi Yang Gelap merupakan simbol kepada Hujan dan telah meletakkan band ini ke kedudukan yang orang boleh hargai.
“Hari ini, Hujan membuktikan bahawa kami masih bersatu sebagai sebuah pasukan walaupun pelbagai spekulasi timbul. Insya-Allah kami akan teruskan perjuangan!” tuturnya bersemangat sebelum mengalunkan lagu ikonik Pagi Yang Gelap.
Puteri Gunung Ledang
Segmen akhir Hujan menampilkan seorang penyanyi jemputan yang belum pernah selama ini didedahkan sehingga malam tersebut.
Hanya bermain bayangan sosok badan, audiens berteka-teki sesama sendiri. Hingga notasi jazz jawa berkumandang mengambil intro lagu Bagaikan Sakti yang popular menerusi filem Puteri Gunung Ledang. Akhirnya mendedahkan empunya diri, raut wajah pemain teater Puteri Gunung Ledang, Datin Seri Tiara Jacquelina muncul bagai ditelah.
Mengejutkan. Dalam persalinan tuksedo Tiara berduet bersama Noh untuk sebuah lagu hit Aku Skandal dalam versi dan lenggoknya tersendiri.
“Saya memang peminat fanatik band Hujan selama ini. Apabila Noh menghubungi saya untuk menjemput kami berduet, kenapa perlu saya lepaskan peluang menarik ini. Jawapan saya adalah ya!” cerita Tiara.
Hujan meneruskan dua lagu terakhir mereka pada malam penuh indah itu. Bila Aku Sudah Tiada dan Kembara menutup tirai persembahan mereka.
Nyata, ia bukan sebuah persembahan biasa-biasa. Megahnya Hujan diberi peluang beraksi di pentas DFP jelas sebagai perlambangan bahawa mereka tidak pernah dipandang enteng dalam industri hiburan tempatan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: