|
TERCALON buat kali pertama dalam sebuah acara berprestij seperti Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20) yang berlangsung hari ini di Stadium Putra Bukit Jalil merupakan satu kejutan buat penyanyi Mohamad Amirullah Jahari.
Mula dikenali ramai menerusi lagu Penghibur Jalanan, penyanyi yang menggunakan nama pentas Amir Jahari itu mengakui tidak menyangka akan tercalon sehingga empat kategori.
Tercalon dalam kategori Rakaman Album Terbaik, Video Muzik Terbaik, Kulit Album Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik untuk album sulungnya, Penghibur Jalanan, penyanyi muda berusia 21 tahun itu menyatakan pada awalnya dia menyangka akan tercalon dalam satu kategori sahaja.
Amir yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini meluahkan perasaan gembiranya dengan pencalonan yang diterima dan melihat ia sebagai satu perkembangan yang sihat dalam perkembangan kerjaya nyanyiannya.
Kosmo!: Tahniah kerana tercalon dalam empat kategori untuk AIM 20. Bagaimanakah anda melihat tentang pencalonan yang diterima ini?
AMIR: Sebagai seorang penyanyi yang masih boleh dikategorikan agak baharu lagi dalam industri muzik, sudah tentu ia merupakan kejutan buat saya. Saya juga bersyukur apabila hasil kerja saya mendapat penilaian yang baik daripada juri.
Adakah anda meletakkan harapan yang tinggi untuk menang dalam keempat-empat kategori tersebut?
Bohonglah kalau saya katakan tidak mahu menang kerana setiap individu yang tercalon pastinya inginkan kemenangan, tetapi kalau dapat menang untuk satu kategori pun sudah memadai. Kalau gagal, saya anggap sahaja sudah tiada rezeki.
Sebenarnya saya tidak mahu terlalu berharap sangat untuk menang kerana tidak mahu berasa kecewa sekiranya tewas. Dahulu saya pernah meletakkan harapan yang terlalu tinggi menang dalam sebuah pertandingan nyanyian, namun akhirnya tewas dan saya berasa sangat kecewa.
|
Dalam kategori manakah yang anda rasa ada peluang untuk menang?
Sejujurnya agak sukar untuk saya jangka, tetapi dalam keempat-empat kategori yang dicalonkan saya melihat peluang lebih besar dalam kategori Kulit Album Terbaik. Bagaimanapun, kalau menang lebih daripada satu pastinya ia merupakan satu bonus.
Bagaimanakah pula dengan saingan penyanyi-penyanyi lain untuk setiap kategori yang anda dicalonkan?
Saya lebih melihatnya sebagai sebuah persaingan yang sihat kerana kebanyakan penyanyi yang tercalon dalam kategeri sama adalah rakan-rakan saya sendiri serta masing-masing ada peluang untuk menang. Mengenai kategori yang paling memberikan cabaran buat diri saya pula sudah tentu untuk kategori Susunan Muzik Terbaik kerana perlu bersaing dengan penyanyi seperti Anuar Zain dan Hafiz Suip.
Apakah perkembangan terkini kerjaya anda sekarang?
Pada 22 Disember ini saya bersama beberapa penyanyi lain seperti Faizal Tahir, Hafiz Hamidun dan Yasin akan memulakan projek kolaborasi untuk sebuah lagu yang berunsur kerohanian. Selain itu, saya akan melancarkan single terbaharu saya pada hujung bulan ini, tetapi masih belum pasti untuk memilih sama ada lagu Aku Juga Manusia atau Masa Lalu. Perkara ini bergantung kepada perbincangan dengan pengurus saya sebelum keputusan dibuat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: