Sunday, December 8, 2013

Bangkit pertaruhan The Jespers

THE JESPERS yang dianggotai (dari kiri) Muiz, Peakay dan Nash.


TIGA anak muda yang menggelarkan pasukan mereka sebagai The Jespers ini barangkali masih asing kepada segelintir peminat dunia muzik tanah air.
The Jespers yang dianggotai Nash selaku vokalis utama dan gitaris, Muiz (pemain bass) dan Peakay (pemain dram) telah pun ditubuhkan seawal tahun 2009.
Kumpulan itu pernah melancarkan EP berjudul First Day Of The Class yang mengandungi lima buah lagu pada tahun 2011. Mereka yang meraih pengalaman dengan beraksi di pentas indie kini terus bergiat aktif dengan tekad untuk menghasilkan karya-karya lebih berkualiti.
Sebelum ini single nyanyian mereka seperti She's A No Body, Masa Depan dan Go Away pernah kekal di kedudukan pertama pada tahun 2012 menerusi carta band indie, stesen radio XFM selama beberapa bulan.
Bergerak atas aliran muzik punk rock, akui mereka muzik band-band popular antarabangsa seperti Green Day, My Chemical Romance, Blink-182 dan Sum 41 banyak memberi pengaruh ke atas penghasilan muzik The Jespers.
Pada tahun ini, The Jespers memilih lagu yang berjudul Bangkit sebagai single pertama untuk di ketengahkan ke arena utama industri muzik tanah air. Bangkit mendapat sentuhan Nash selaku pencipta dan penulis lagu tersebut.
Menurut Nash, Bangkit berkisar situasi sukar yang datang dan pergi dalam kehidupan setiap individu. Namun berkat semangat untuk terus mara, sesiapa pun harus bangkit meneruskan kehidupan serta membuktikan kepada umum.
"Kami yakin lagu Bangkit mampu menarik minat peminat muzik tanah air khasnya peminat muzik bergenre punk rock kerana intipati lirik serta irama yang tersendiri. Rasanya lagu itu sesuai untuk peminat pelbagai genre, tidak hanya punk rock sahaja.
"Kami mempunyai pelbagai perancangan khususnya untuk tahun depan dan berharap mendapat sokongan sepenuhnya daripada semua yang terlibat di dalam industri muzik tanah air. Lagu itu juga sebagai penghargaan dari kami buat seluruh peminat muzik," ujar Nash.
Dalam perkembangan terbaharu, The Jespers merancang untuk menghasilkan muzik video pertama mereka yang dijadualkan bakal membuat penggambaran selewat-lewatnya hujung bulan ini. Mereka menjangka muzik video itu dapat dilancarkan ke laman YouTube sekitar bulan depan.
Bernaung bawah label Stereoactive, tiga jejaka itu sedang dalam rangka promosi untuk memperkenalkan diri ke mata umum.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: