![]()
KEUNIKAN produk yang dihasilkan terletak kepada nilai artistik dan eksklusif untuk pelanggan.
|
APABILA bercakap mengenai seramik, pasti terbayang labu sayung, tempayan, periuk tanah, bekas telur dan pasu bunga.
Namun Rozana Musa mempunyai cara sendiri dalam menghasilkan produk seramik. Ramai pasti tak menjangka tanah liat boleh menjadi aksesori indah namun itulah yang dihasilkan Rozana di galerinya di Bendang Studio yang beroperasi di Kampung Sungai Petai, Alor Gajah, Melaka.
Menurut Rozana, 31, keunikan produk keluaran syarikatnya itu terletak pada nilai artistik dan sisi eksklusif yang dihasilkan.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka dengan pengkhususan seramik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini mula terbabit secara aktif di dalam bidang pembuatan seramik sejurus tamat pengajian pada tahun 2006.
"Selepas menamatkan pengajian, saya berkhidmat sebagai pembantu artis seramik di Shah Alam selama 18 bulan selain turut terlibat di dalam pameran seni di galeri-galeri persendirian sebelum mengambil keputusan untuk terus menetap di kampung.
"Aktiviti bermain lumpur di bendang ibu sejak kecil lagi merupakan pencetus kepada idea untuk membuka perniagaan berasaskan seramik ini.
"Sejak itu, saya mula membuat kajian mengenai tanah sawah di belakang rumah untuk melihat potensinya dalam penghasilan produk seramik dan ternyata tanah bendang sangat bersesuaian untuk itu.
"Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk membina sebuah studio bagi memproses produk seramik di belakang rumah sebelum berpindah ke tanah milik keluarga," jelasnya.
Cipta alat pembakar
Tambahnya, disebabkan tidak mahu membuat pinjaman daripada mana-mana pihak ketika itu, dia mula bekerja sebagai guru sandaran selama dua tahun bagi mengumpul modal perniagaan dan membeli peralatan yang berkenaan.
![]()
ROZANA turut menghasilkan jambangan bunga dan cenderamata korporat menggunakan seramik.
|
"Untuk menghasilkan seramik, peralatan yang menjadi kemestian ialah alat pembakaran atau tanur kerana tanah liat itu perlu dibakar dalam suhu tinggi.
"Tetapi saya tidak mampu membeli alat tersebut kerana harganya yang mahal sehingga mencecah ribuan ringgit.
"Hasil perbincangan bersama pensyarah, saya menghasilkan alat pembakar sendiri menggunakan fiber dengan bermodalkan RM3,000 sebagai alternatif kepada alat pembakaran sebenar," katanya sambil memberitahu dia membuat inovasi alat pembakar itu pada tahun 2009.
Hasil inovasinya itu, dia dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Inovasi Akar Umbi Jejak Inovasi pada tahun 2011.
"Saya mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan alat pembakar terbabit yang diubah suai supaya tahan lasak bagi pembakaran bersuhu tinggi.
"Segala proses penghasilan produk seramik ini dilakukan secara manual bermula dari penyediaan bahan mentah sehinggalah menjadi produk siap.
"Proses penghasilan produk seramik juga memerlukan kesabaran yang tinggi kerana kita tidak boleh menjangka hasil yang diperolehi bagaimana dan ia merupakan satu proses yang remeh serta cerewet.
Ujarnya, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) penting bagi menghasilkan produk seramik yang berkualiti.
Rozana berkata, proses menghasilkan seramik bermula dengan mengeringkan tanah liat yang kemudiannya akan direndam dan ditapis bagi menyingkirkan bahan-bahan asing yang terdapat di dalam tanah liat tersebut.
"Proses pengeringan biasanya mengambil masa selama dua atau tiga hari bergantung kepada keadaan cuaca dan kuantiti tanah yang digunakan.
"Setelah menjalani proses rendaman dan penapisan, proses membentuknya pula dilakukan mengikut teknik acuan atau bentukan tangan.
"Teknik acuan digunakan untuk produk seperti bekas kecil, lolipop dan pelekat magnet manakala teknik bentukan tangan pula untuk produk seperti kerongsang, loket dan anting-anting," jelasnya.
Eksklusif
Katanya, proses seterusnya ialah mengeringkan produk yang telah siap dibuat mengikut teknik yang dipilih sebelum proses pembakaran dilakukan pada suhu melebihi 1,000° Celcius selama enam jam.
"Selepas proses pembakaran dilakukan selama dua kali dan selepas pembakaran pertama, produk akan diwarnakan terlebih dulu menggunakan cat khas untuk seramik sebelum dibakar untuk kali kedua yang dikenali sebagai pembakaran gerlis.
"Proses pembakaran merupakan faktor penting di dalam penghasilan produk seramik supaya ia dapat tahan lama.
"Keseluruhan proses bergantung kepada saiz dan teknik yang digunakan manakala masa paling singkat untuk menyiapkan satu produk seramik ialah selama dua minggu bergantung kepada kuantiti yang diperlukan," beritahu beliau.

AKSESORI seperti kerongsang dan anting-anting daripada seramik mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
Ujar Rozana, produknya itu mempunyai lingkungan harga serendah RM4.90 hingga RM1,000 bergantung kepada rekaan, jenis teknik yang digunakan serta kesukaran menghasilkannya.
"Kita juga menghasilkan produk eksklusif untuk pelanggan dan mereka boleh memberikan idea bagi menghasilkan produk seramik yang diingini.
"Biasanya, kita menerima tempahan daripada agensi kerajaan, syarikat korporat dan orang perseorangan selain turut mempunyai pelanggan di Singapura.
"Jika dilihat produk-produk seperti ini kebanyakannya menjadi pilihan para pelancong dan masyarakat tempatan yang gemar melancong," tambahnya sambil memberitahu, dia turut menyertai pelbagai pameran yang dianjurkan oleh agensi kerajaan.
Setiap perniagaan pasti terdapat cabaran dalam menentukan jatuh bangun sesebuah perniagaan itu dan Rozana juga tidak terkecuali.
"Cabaran menjalankan perniagaan ini ialah dari segi persaingan kerana kita bukan sahaja perlu bersaing di dalam produk-produk seramik sahaja malah terpaksa bersaing dengan produk-produk cenderamata yang lain.
"Selain itu, faktor masa juga merupakan cabaran kepada saya untuk menyiapkan tempahan pelanggan selain kekurangan tenaga kerja mahir kerana kini, sukar mencari mereka yang betul-betul meminati bidang ini," katanya yang turut melakukan perbincangan bersama pelanggan melalui e-mel.
Suhu tidak matang
Ujar Rozana, dia pernah berdepan situasi produk seramik yang dihasilkan tidak menjadi seperti yang diingini.
"Produk seramik ini boleh diibaratkan seperti kita melakukan eksperimen.
"Ini kerana sebelum menghasilkan sesuatu produk itu, kita perlu mencuba warna yang bersesuaian dengan produk yang bakal dihasilkan selain jenis tanah liat yang digunakan sama ada bersesuaian atau tidak.
"Produk yang dihasilkan itu tidak menjadi kerana terdapat kecacatan semasa proses pembakaran gerlis dilakukan seperti tidak mencapai suhu matang dan mempunyai gelembung di permukaannya," jelasnya.
Tambahnya, pantang larang di dalam penghasilan produk seramik amat dititikberatkan bagi memastikan produk berkualiti dapat dihasilkan.
"Kita perlu memastikan tanah liat yang digunakan tidak bercampur plaster kerana ia boleh meletup atau pecah ketika proses pembakaran berlaku.
"Selain itu, tanah liat yang digunakan juga perlu diuli dengan betul supaya tiada udara yang terperangkap di dalamnya," ujarnya yang juga menjadikan laman sosial Facebook sebagai medium promosi.
Rozana memberitahu, dia bercita-cita untuk mempunyai cawangan dan galeri pameran sendiri untuk menempatkan produk-produk seramik keluaran syarikatnya sebagai perancangan masa depan.
"Kita juga mahu menjadikan Bendang Studio sebagai pusat tarikan pelancongan di Melaka," jelasnya yang turut mengalu-alukan pelanggan untuk berkunjung ke studio miliknya tetapi perlu membuat temu janji terlebih dahulu.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: