Wednesday, October 16, 2013

Peluang hayati karya seni potret


SEORANG pengunjung menghayati keindahan karya seni potret yang dihasilkan pelukis-pelukis hebat negara.


ARENA seni tanah air mengorak langkah ke depan apabila penggiat-penggiat seni berpeluang mempamerkan karya masing-masing di Galeri Potret Negara (GPN), Kuala Lumpur.
Ini berikutan, Balai Seni Visual Negara (BSVN) telah membuka Galeri Potret Negara (GPN) untuk tatapan umum, bermula Khamis lalu.
Lebih manis, lebih 30 buah karya potret dan figuratif daripada seniman-seniman terbaik negara dihimpunkan buat pertama kali selepas 55 tahun BSVN ditubuhkan.
Menurut Timbalan Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Abdul Ghaffar A. Tambi, penubuhan GPN bermatlamat untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan rakyat Malaysia terhadap identiti, stail, sejarah, budaya, kreativiti dan kepelbagaian seni menerusi karya seni potret.
"Galeri ini merakamkan wajah rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, agama dan kaum yang mempunyai kepentingan dalam sejarah tanah air.
"Secara tidak langsung, GPN mengangkat perkembangan seni catan potret di Malaysia dan sebagai penganugerahan kepada pelukis-pelukis potret negara," katanya.
Bagaimanapun, katanya, ruang GPN di BSVN itu hanya bersifat sementara kerana pembinaan galeri di sebuah bangunan kekal akan dibina pada masa depan.
Jelasnya, pembinaan GPN di lokasi tetap akan merancakkan dan memperluaskan lagi peranan BSVN dalam mempergiatkan aktiviti kesenian dalam negara.
Setakat ini, BSVN mempunyai 500 koleksi lukisan potret pelbagai kategori. Sebahagian besarnya akan dipamerkan di GPN mengikut kronologi susur masa seni visual negara.
Potret terawal
Antara lukisan bersejarah yang dipamerkan ialah My Wife Wedding Dress, karya tahun 1933. Ia merupakan karya potret terawal negara yang dilukis oleh O.Don Peris menggunakan media cat minyak.
Selain itu, terdapat juga lukisan oleh H.N Ridley yang menghasilkan karya potret Howard Barron. Dua lukisan daripada pemotret tersohor negara, Datuk Mohd. Hoessein Enas turut dipamerkan iaitu Potret Sendiri dan Minah. Beliau merupakan pelopor kepada stail konsisten dengan pegangan figuratif yang romantis.
Mengulas kewujudan GPN, pelukis potret, Fadli Buhari berpendapat, ia merupakan satu usaha yang memberi manfaat kepada pelukis-pelukis negara, terutamanya pelukis potret.
"Ia dilihat sebagai satu batu loncatan kepada artis yang terlibat dalam seni lukis potret kerana difahamkan selepas penubuhan GPN ini, akan ada lagi galeri seni serupa di beberapa negeri," ujarnya.
Tambahnya, apabila semakin banyak galeri khusus dalam seni potret, masyarakat akan lebih menerima cabang lukisan tersebut.
Berkecimpung dalam dunia lukisan sepenuh masa sejak lima tahun lepas, dia banyak merantau untuk melukis potret. Selain itu, dia turut melukis di beberapa lokasi seni popular sekitar ibu kota seperti Jalan Bukit Bintang dan Pasar Seni.
"Sesetengah pelukis berpendapat, jika seorang pelukis itu mahir dalam lukisan potret dan figura, dia mampu menguasai cabang seni lukis lain," katanya.
Jelas Fadli atau dikenali sebagai Imam dalam kalangan penggiat seni tempatan, pelukis potret mempunyai ketelitian dalam beberapa perkara seperti lukisan wajah, jari-jari dan pergerakan anggota.
"Sesetengah pelukis cabang lain, contohnya pelukis pemandangan, merasakan mereka tidak dapat menghasilkan lukisan yang terlalu teliti seperti yang dilakukan pelukis potret dan figura," tambah Fadli.
Sementara itu, orang ramai yang ingin mengunjungi GPN, ia dibuka secara percuma setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang atau dapatkan maklumat lanjut di laman web www.artgallery.gov.my.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: