Wednesday, October 16, 2013

Kayu hanyut sumber rezeki Azizul

KAYU hanyut yang tidak bernilai berjaya diubah Azizul menjadi satu karya seni yang istimewa.


KREATIVITI dalam penghasilan kraf ukiran kayu sering menjadi identiti kepada para pengukir di Malaysia untuk tampil dengan produk unik.
Sebagai contoh, kayu hanyut yang mungkin tidak bernilai bagi sesetengah individu, tetapi ia berjaya ditukar menjadi sumber pendapatan oleh Azizul Ahmad, 40.
Anak jati Pulau Langkawi itu memberitahu, ilham untuk menghasilkan ukiran daripada kayu hanyut dan terbuang diperoleh sekitar tahun 1999. Ketika itu, dia bersiar-siar di tepi pantai dan terlihat sebatang kayu hanyut terdampar di atas pasir.
"Melihat keadaan kayu itu yang masih elok, saya terus mendapat idea untuk membawanya pulang. Dari situ, saya mula mengukirnya untuk dijadikan kraf kayu yang istimewa," ujar Azizul kepada Kosmo!.
Kayu hanyut biasanya terdiri daripada spesies pokok bakau seperti nyireh. Selain itu, terdapat pelbagai jenis kayu hanyut yang tidak dikenali spesies asalnya turut digunakan untuk mengukir.
Kebiasaannya, kayu-kayu ini dihanyutkan selepas tumbang atau patah. Ia merangkumi bahagian-bahagian tertentu seperti batang, dahan, ranting atau akarnya.
Sejak itu, dia akan mencari kayu hanyut di sekitar pantai dan hutan di Langkawi untuk diukir dengan pelbagai motif unsur alam.
Pada Pameran Nuansa Ukiran Melayu yang sedang berlangsung di Muzium Etnografi Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Azizul menghantar tiga karya ukiran.
"Ukiran tersebut menggunakan kayu angsana dan saya memilih motif unsur alam seperti air dan arus dengan sentuhan kontemporari sesuai dengan tema pameran tersebut," jelas bapa kepada dua orang cahaya mata itu.
Menurut pemilik Idea Craftworks itu, selain menggunakan kayu hanyut, dia turut menggunakan kayu-kayu tempatan seperti seraya dan batang cempaka lantaran teksturnya yang lembut dan mudah diukir.
DAUN kelapa diaplikasi menjadi ukiran yang sesuai dijadikan hiasan dinding.


Motif ukiran
Ukiran yang dihasilkan Azizul biasanya boleh digunakan sebagai perhiasan untuk pintu rumah, bingkai dinding atau cermin.
Bagi yang mengenali Idea Craftworks, mereka pasti mengenali hasil karya Azizul yang sinonim dengan ukiran bermotif awan, gelombang, arus sungai, api, akar dan ranting.
"Saya sebenarnya gemar memerhati alam sekitar dan menyerap apa yang ada di sekeliling kita. Melalui pemerhatian itulah saya mendapat idea untuk menyiapkan koleksi ukiran.
"Malah, saya juga mengukir mengikut rasa hati. Jika angin saya baik, saya boleh berada di bengkel selama berjam-jam. Jika tidak, lebih suka meluangkan masa bersama keluarga sehinggalah mood mengukir datang kembali," jelas Azizul yang sudah lali dengan kecederaan di bahagian tangan ketika mengukir.
Sehubungan itu, pelanggan yang menempah produk ukiran Azizul perlu bersabar untuk mendapatkannya. Walaupun pengeluarannya agak terhad, namun mereka pasti berpuas hati dengan kehalusan kerja tangan lelaki tersebut.
Justeru, tidak hairanlah jika kraf kayu ukiran Azizul mendapat perhatian pelanggan dari Amerika Syarikat, Jepun, Perancis dan United Kingdom.
"Selepas melihat produk kraf saya yang dipamerkan di Pusat Kraftangan Langkawi, mereka berminat untuk menempahnya.
"Selepas ia siap, saya akan mengirimkannya melalui pos," katanya yang berdaftar dengan Perbadanan Kraftangan Malaysia. Perbadanan itu banyak memberi bantuan kepada Azizul untuk memajukan perniagaannya. Selain itu, dia juga merupakan ahli Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia.
Sementara itu, tenaga pengajar di Institut Kraf Negara, Mohd. Firdaus Ramli berkata, seorang pengukir perlu sentiasa kreatif dalam menghasilkan karya yang berkualiti dan terbaik.
"Namun, ia bergantung kepada inisiatif pengukir itu sendiri. Jika mereka rajin mencuba sesuatu yang baharu, pasti ukiran mereka akan men jadi lebih menarik," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: