Wednesday, October 16, 2013

Evolusi ukiran kayu merentasi zaman


DUA pengunjung ini kelihatan teruja menyaksikan pelbagai koleksi ukiran kayu yang unik dan penuh kreativiti.


SEBAGAI anak seorang pengukir, kecintaan Mohd. Aidil Mohd. Diah, 27, terhadap seni ukiran kayu terlalu tinggi. Apatah lagi, sejak kecil dia sering melihat ketekunan dan kegigihan ayahnya, Mohd. Diah Arifin menyiapkan ukiran pada alat muzik gambus yang popular di Johor.
Setiap hari, dia pasti akan meluangkan masa di bengkel yang terletak bersebelahan rumahnya selepas pulang dari sekolah untuk membantu sekadar yang perlu.
Dari situlah berputiknya minat Mohd. Aidil mempelajari seni ukiran kayu sehingga memilih untuk melanjutkan pelajaran di Institut Kraf Negara (IKN), Rawang, Selangor.
"Saya merupakan anak tunggal lelaki daripada enam adik-beradik. Jadi, saya tidak mahu legasi kemahiran mengukir ayah lenyap begitu sahaja selepas beliau tiada nanti.
"Jujurnya saya dapat rasakan seni mengukir ini begitu serasi dengan jiwa saya. Justeru, pengajian di IKN membolehkan saya mendalami dunia ukiran secara serius selepas menimba ilmu mengukir dengan ayah secara tidak formal," ujar Mohd. Aidil yang berasal dari Batu Pahat, Johor ketika ditemui sewaktu Pameran Nuansa Ukiran Melayu di Muzium Etnografi Melayu, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.
Melihat keindahan seni ukiran kayu yang dipamerkan pada pameran tersebut, jelas membuktikan ketelitian dan kehalusan kerja tangan masyarakat Melayu yang tiada tandingan.
Hakikatnya, seni ukiran kayu Melayu telah melewati satu sejarah yang panjang. Ia melalui zaman daripada keperluan khidmat pandai ukir untuk membina rumah kampung orang Melayu, masjid-masjid, pengangkutan seperti perahu dan pelbagai peralatan seperti keris, cepu dan serunai sehinggalah ke pembinaan istana-istana Melayu.
Seiring peredaran zaman, seni ukir Melayu terus dilestarikan dengan wadah dan wajah yang berbeza. Ukiran Melayu telah masuk sebagai penghias di dalam bangunan-bangunan pentadbiran mahupun premis-premis perniagaan.
Malah produk-produk yang dihasilkan oleh para pengukir juga pelbagai mengikut selera orang zaman ini.

RUMAH Melayu tradisi banyak menyelitkan elemen ukiran dalam pembinaannya.


Sumber ilham
Berbicara mengenainya, mantan Naib Canselor UM, Prof. Mohd. Taib Osman pernah mengingatkan bahawa unsur budaya tradisional termasuklah ukiran kayu Melayu merupakan unsur yang terkandung dalam ciri-ciri persambungan budaya Melayu. Ia mesti menjadi tali ikatan, baik dari segi masa mahupun ruang dengan entiti yang dinamakan Malaysia.
Perkara itu diakui oleh Konsultan Jabatan Seni Bina, Fakulti Alam Bina UM, Profesor Emeritus Ezrin Arbi yang merupakan pakar dalam warisan seni bina Melayu.
Menurutnya, sebelum kedatangan Islam, nenek moyang kita telah mengamalkan cara hidup seni ukir mereka sendiri sebagai pernyataan terhadap kecintaan dan keindahan.
"Mereka menjadikan alam sekeliling yang penuh dengan pelbagai jenis haiwan serta tumbuh-tumbuhan sebagai sumber ilham yang tiada batasnya.
"Bagaimanapun, selepas Islam tersebar di Nusantara yang mengaitkan keindahan dengan sifat Tuhan telah memurnikan dan meningkatkan lagi mutu seni ukir mereka.
"Islam telah memberi kebebasan berkarya dalam ruang-ruang tertentu dan menggalakkan umatnya mencipta pelbagai karya seni selagi ciptaan itu tidak bertentangan dengan nilai-nilai dan etika agama," jelasnya.
Tambah Ezrin, dalam seni ukiran, larangan menunjukkan makhluk bernyawa telah ditanggapi dengan sangat bijaksana oleh nenek moyang kita melalui penyamaran atau pengabstrak bentuk seperti yang dilihat dalam motif itik pulang petang dan badar mudik yang banyak digunakan sebagai ukiran bingkai di Semenanjung dan pulau Sumatera.
"Malah, di seberang Selat Melaka orang Minang masih menggunakan nama-nama seperti kuda menendang, tupai tertegun, kelawar bergantung dan kucing tidur untuk karya-karya ukiran dengan motif tertentu," katanya.
MOHD. AIDIL menunjukkan karya ukiran gambus yang dihasilkan dalam tempoh dua minggu.


Larangan
Jelas Ezrin lagi, ada empat peranan hiasan ukiran kayu dalam kehidupan sehari-hari. Di samping melahirkan keindahan dalam sesebuah rumah atau bangunan, ia juga boleh dimanfaatkan untuk memudahkan pengaliran udara, peneduhan dan keselamatan.
Secara keseluruhan, terdapat lebih 100 karya dan artifak ukiran kayu Melayu aliran tradisional dan kontemporari dipamerkan pada pameran tersebut. Ini termasuklah hasil kerja tangan pengukir handalan tanah air seperti Latiff Long, Wanpo, Norhaiza Noordin, A. Muhaimin Hasbollah, Mohd. Abdah Hassan dan Zarir Abdullah.
Karya tokoh seni ukiran Allahyarham Wan Su Othman dan Allahyarham Nik Rashiddin Nik Hussein turut menyerikan pameran berkenaan di samping hasil kerja pelajar IKN.
Seminar
Sementara itu, Pengarah Akademi Pengajian Melayu (APM), UM, Prof. Dr. Zahir Ahmad berkata, pameran tersebut diadakan sejak 2 September lalu sehingga 31 Oktober 2013.
Sempena pameran itu juga, pihaknya turut menganjurkan program Seminar Ukiran Kayu Melayu pada 18 September lalu bertempat di Dewan Semarak, APM.
Ia menyaksikan sembilan orang pembentang kertas kerja yang terdiri daripada ahli akademik dan penggiat seni berhimpun untuk membincangkan pelbagai aspek berkaitan ukiran Melayu.
"Pameran dan seminar ini bertujuan untuk melestarikan dan mendokumentasi pelbagai karya seni ukiran Melayu tradisi dan kontemporari sekali gus menghasilkan bahan rujukan tentang perkembangan terkini mengenainya," ujar Zahir.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: