Saturday, October 19, 2013

Hayat Land Cruiser 60 tahun


JERIJI hadapan menonjolkan ekspresi mewah.


BUKAN mudah membuat keputusan untuk bertukar kenderaan baharu terutama untuk pengguna berkeluarga.
Lazimnya SUV bersaiz penuh boleh memuatkan tujuh penumpang sekali gus, tetapi jika kenderaan sekecil Perodua Alza atau Nissan Grand Livina jumlah kerusinya sama tetapi perlu berhimpit.
Sebenarnya terdapat beberapa buah lagi SUV yang didatangkan dengan tujuh tempat duduk seperti Mitsubishi Pajero Sport, Kia Sorento, Land Rover Discovery, Volvo XC90 dan terbaru ialah Hyundai Santa Fe.
SUV bersaiz penuh itu sebenarnya sesuai untuk individu yang tidak reda dilihat memandu MPV besar yang kadangkala nampak seperti kotak empat segi dengan roda.
Sejarah SUV sebenarnya sudah lama dengan nama asalnya 4X4. Perubahan cita rasa dan keperluan semasa menyebabkan kenderaan itu diperbaiki ke arah gaya hidup urban dan diberi beri gelaran baharu iaitu sport utility vehicle (SUV).
Sebelum itu terdapat beberapa raja 4X4 seperti Range Rover dan Toyota Land Cruiser. Tahukah anda Toyota Land Cruiser sebenarnya sudah berada di pasaran lebih daripada 60 tahun?
Sepanjang tempoh tersebut, Land Cruiser sudah melalui pelbagai teknologi bagi mengasah lagi keupayaannya sama ada di atas permukaan jalan biasa dan lasak. Namun pada masa yang sama menarik daripada segi penampilan, peralatan, keselesaan dan praktikal.
Baru-baru ini Toyota telah memperkenalkan Land Cruiser 2014 dengan gayaan baharu, kemasan dalaman dan pengendalian yang ditambah baik.
Pada bahagian depan, jeriji depan yang terdiri daripada lima batang yang menegak lebih menonjol dan nampak begitu gah sekali. Lampu utama kini digabungkan sekali dengan lampu LED siang hari (DRL) dan kedudukan set lampu tersebut dipasang lebih tinggi untuk mengelakkan kerosakan semasa memandu laluan off-road.
Bamparnya pula direka dengan dua lapis atau tingkat yang turut berfungsi bagi melindungi lampu utama. Standard untuk dua varian berbeza ialah dua jenis saiz rim iaitu 17 atau 18 inci.
Saiz tersebut memang kecil untuk sebuah SUV besar dan untuk kaki modikasi gayaan bandar pasti rim itu bakal diganti dengan rim paling kecil pun bersaiz bersaiz 20 inci.
Pada bahagian dalaman pula, papan pemuka diganti baharu dengan fokus kepada bacaan yang lebih mudah untuk pemandu. Konsol tengah diberi panel suis baharu untuk teknologi kawalan kenderaan semasa di atas jalan biasa dan luar.

SISTEM suspensi model ini telah ditala untuk membolahkannya digunakan sebagai sebuah kenderaan harian.


Tombol tersebut terdiri daripada lima mod Multi-Terrain Select dan lima jenis Crawl Control. Turut disekalikan ialah suis untuk pacuan semua roda dan Adaptive Variable Suspension.
Untuk lebih mudah dan mesra pengguna, Toyota memasangkan skrin berwarna TFT 4.2 inci. Fungsi yang dipaparkan ialah meter kecuraman, operasi kawalan cengkaman (traction control) pada setiap roda dan status differential locks.
Pemandu boleh membuat kawalan melalui butang pada stereng dan opsyen tambahan seperti amaran tekanan tayar, laras lampu utama, pengesahan nyah aktif kawalan cengkaman dan amaran titik buta (blind spot).
Teknologi radar
Selain daripada itu, akses kepada kerusi barisan ketiga diperbaiki dengan mengubah sudut baring kerusi barisan kedua dari 33.8 darjah kepada 46 darjah.
Mengemudi sebuah SUV yang besar bukanlah tugas yang mudah dan menyedari hakikat itu Toyota melengkapi Land Cruiser dengan Blind Spot Monitor dan sistem Rear Cross Traffic Alert.
Kedua-dua sistem tersebut menggunakan radar yang sama bagi mengesan kenderaan yang semakin hampir sama ada dari sisi yang tidak mampu dilihat melalui cermin belakang atau cermin sisi.
Jika terdapat sebarang kenderaan yang mendekati, sistem itu akan memberi amaran melalui nyalaan pada cermin sisi dan mengeluarkan bunyi amaran.
Dari segi casis pula, Land Cruiser mengekalkan teknologi klasik badan di atas rangka yang telah teruji semasa pemanduan off-road.
Teknologi tersebut bagaimanapun tidak mengorbankan pemanduan harian Toyota yang menimbal balas melalui talaan pada sistem suspensi standard dan Kinetic Dynamic Suspension (KDSS) pada varian yang lebih premium.
Pada suspensi standard, prestasi mendapan (damping) dioptimumkan manakala untuk KDSS pula, ketebalan dan diameter pada beberapa komponen ditingkatkan. Bar antioleng depan turut diperbaiki supaya pengendaliannya lebih lancar dengan semakan semula pada pemindahan berat dari depan ke belakang sewaktu mengambil selekoh.
Untuk kuasa pula, Land Cruiser masih dipadankan dengan enjin 3.0 liter turbo diesel berkuasa 188hp dan 420Nm tork yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi lima kelajuan.
Enjin empat silinder, 16 injap itu kini mematuhi piawaian emisi Euro 5+ tanpa penurunan kuasa enjin. Untuk yang berminat, Land Cruiser sebenarnya tidak dibawa masuk ke dalam pasaran tempatan kecuali model yang dibaik pulih (recondition).
Walaupun Land Cruiser jarang dilihat di atas jalan raya namun senario itu berbeza sama sekali di Sabah dan Sarawak yang begitu popular seolah-olah di situlah habitatnya!


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: