![]()
SELAIN hitam emas, pilihan warna disediakan ialah putih dan hitam perak.
|
SEANDAINYA mahu kekal relevan dalam pasaran, sesebuah entiti perniagaan perlu bijak memperkenalkan inovasi baharu sebagai usaha untuk menambat hati pelanggan tetap. Inovasi yang ditonjolkan perlulah membawa manfaat serta praktikal dengan keperluan semasa.
Itu pendekatan yang berjaya diimplimentasi oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) sewaktu melancarkan model skuter Honda PCX 150 akhir tahun lalu. Siapa sangka, syarikat yang terkenal dengan jentera kapcai itu akhirnya berjaya mencipta penanda aras baharu dalam segmen skuter domestik.
Boon Siew Honda terus mencipta momentum melalui pengenalan Air Blade beberapa bulan lalu. Berada dalam liga 125cc, model berkenaan membuktikan keupayaan apabila membuka dimensi baharu menerusi penampilan beberapa inovasi terkini.
Mungkin pembaharuan yang diadun bersama Air Blade nampak remeh tetapi jangan cepat skeptikal, manfaatnya hanya disedari bila anda berdepan dengan beberapa situasi yang tidak dijangka.
Prestasi lampu hadapan jenis projektor berjaya menawarkan pencahayaan yang cukup terang. Sudah pasti ia memberi kelegaan bagi mereka yang terpaksa menunggang pada waktu malam atau terpaksa menyusuri kawasan yang tiada lampu jalan.
Ruang simpanan barang yang ada di bawah pelana membolehkan pemilik menempatkan barangan berserta topi keledar jenis separuh tanpa sebarang masalah. Bagaimanapun, kebuk simpanan itu tidak berupaya menampung kapasiti simpanan sebuah topi keledar jenis penuh.
Jangan menggelabah jika anda terlupa lokasi Air Blade kerana Honda ada membekalkan peranti jarak jauh yang berfungsi seperti anjing pengesan. Kunci skuter itu ada butang kawalan jauh. Picit butang pada kunci itu, Air Blade akan memberi signal dengan bunyi beep dan kerdipan lampu isyarat membelok.
Itu perkara yang penulis alami ketika berdepan dengan kesukaran mencari skuter Air Blade di celah ribuan motosikal sewaktu Kejuaraan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang minggu lalu.
Bukan itu sahaja, butang itu juga akan mengaktifkan dua unit lampu kecil di bahagian kemasukan kunci dan bawah pelana. Tujuan sebenar adalah untuk memudahkan anda memasukkan kunci atau mencari barang di ruangan simpanan apabila berada di kawasan gelap.

LAMPU belakang skuter ini menggunakan lampu jenis LED untuk paparan yang lebih jelas.
Semua maklumat tunggangan dipaparkan menerusi instrumen meter analog dan digital. Skrin digital LCD dengan latar belakang pencahayaan biru mempamerkan status semasa bekalan petrol, trip perjalanan, odometer dan jam.
Sistem CBS
Sepanjang sesi tunggang uji sejauh 400 kilometer (km), proses penyampaian kuasa agak lancar namun ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki.
Penulis mendapati hantaran kuasa enjin kepada roda belakang mengambil sedikit masa biarpun pendikit telah dipulas. Perkara itu jelas terasa apabila mahu mengemudi jentera keluar dari kawasan selekoh.
Umum diketahui, teknologi sistem brek kombinasi gabungan (CBS) roda hadapan dan belakang pada Air Blade menggalas tugas membantu mengawal kestabilan jentera ketika ingin mengurangkan kadar kelajuan.
Apabila tuil brek kiri ditarik, sistem akan mengaktifkan kuasa membrek pada kedua-dua roda. Secara jujur, lebih baik jika ada butang untuk mematikan fungsi sistem berkenaan agar penunggang boleh mengawal kelajuan skuter dengan menggunakan brek belakang sahaja khususnya di laluan berselekoh.
Selain itu, prestasi sistem CBS Air Blade sama seperti yang dialami pada model PCX 150. Kedua-duanya ada sela masa untuk memperlahankan atau memberhentikan jentera sepenuhnya.
Keselesaan tunggangan banyak dibantu dengan fork hadapan dan sistem suspensi kembar di bahagian belakang. Tugas yang dimainkan boleh diberi pujian. Penyumbang lain sudah semestinya pelana empuk dan lebar Air Blade.
Kelajuan maksimum yang diperoleh ialah 110km sejam (km/j) tetapi apabila berdepan dengan angin kuat, kurangkan kadar kelajuan agar anda mampu mengawal jentera dengan lebih baik. Satu tangki penuh petrol boleh mencapai jarak sekitar 130km. Itu catatan penulis apabila mengekalkan kelajuan tunggangan antara 100km/j hingga 110km/j tanpa henti.
Secara peribadi, penulis merasakan Air Blade berupaya membawa impak dalam segmen skuter 125cc namun sejauh mana kejayaannya ditentukan oleh pengguna seperti anda.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: