|
KARYA-KARYA figuratif dan realisme tidak pernah sunyi mewarnai alam seni lukisan tempatan. Sejak awal perkembangan seni lukis moden tempatan, karya-karya unsur ini berkembang dari generasi ke generasi, dekad ke dekad dalam pelbagai bentuk dan tema.
Juntaian kata itu disampaikan oleh kurator Galeri Arti, Mohd. Yusri Abdul Rahman. Beliau berpendapat, setiap generasi pelukis memanipulasikan unsur-unsur tersebut bersesuaian dengan zaman mereka.
"Dari segi gaya persembahan dan pengolahannya berbeza pada setiap dekad. Perubahan ini adalah faktor penting dalam perkembangan seni lukis moden," jelasnya ketika ditemui pada pelancaran pameran Dekad #9 yang bermula pada 15 September hingga 12 Oktober 2013 di Galeri Arti, Desa Melawati, Kuala Lumpur.
Dekad #9 menampilkan tiga pelukis muda tempatan iaitu Rohaizad Shaari, 44, Arif Fauzan Othman, 34, dan Suzuan Suhaimi, 24.
Perbezaan umur 10 tahun mungkin tidak membawa apa-apa pengertian tetapi sebagai pengamal seni, cetusan idea dan ilham boleh diinspirasi berdasarkan persekitaran, sosio politik dan pendidikan pada dekad kelahiran mereka.
Sinonim dengan medium cat air, Rohaizad seperti kebiasaannya membawa pengolahan alam, benda dan landskap.
Jika sebelum ini, dia banyak menggunakan basikal sebagai subjek utama, kini Rohaizad memilih skuter Vespa sebagai citra sembilan keping lukisannya.
Bereksperimen
Namun, dia masih mengekalkan suasana perkampungan yang dihiasi denai-denai sawah, rumah usang dan hutan rimba. Ia sebagai satu penghargaan kepada susunan memorinya sewaktu tinggal di Jitra, Kedah.
"Dulu, skuter Vespa banyak digunakan sebagai kemudahan pengangkutan di kampung. Banyak kenangan berkaitan Vespa melatari kehidupan saya semasa kecil," ujarnya.
Arif Fauzan pula bereksperimen dengan catan figuratif dan landskap. Melalui lukisannya seperti The Reader, Death of The Author, The Classic dan Do Not Look Down, dia semakin matang mengolah komposisi figuranya.
Penggunaan warna yang muram, tona pudar tetapi harmoni dan sapuan yang kasar mencetus perasaan nostalgia dan penuh keharuan seperti yang dipaparkan dalam The Classic.
|
Arif memperlihatkan kemampuannya dalam menangani medium besar berukuran 1.5 x 3 meter (m) melalui lukisan Do Not Look Down dan mampu mengisi ruang dengan imej-imej yang bersesuaian. Ia merupakan salah satu catan landskap terbesar pernah dihasilkan pelukis tempatan.
Pelukis muda, Suzuan pula melakukan percubaan dan eksperimen yang menyumbang kepada perkembangan seni kontemporari.
Pada pameran ini, dia mempamerkan dua keping catan figuratif ekspresif berukuran 1.8 x 1.5m iaitu Asal Boleh Memang Boleh dan Mambang Mabuk Minum Brandi.
Suzuan cuba bermain dengan subjek sinikal sebagai respon terhadap sosiobudaya tanah air. Dia banyak menggunakan figura wanita bagi mengangkat isu-isu semasa berkaitan feminisme.
Contohnya, Asal Boleh Memang Boleh diambil daripada poster We Can Do It karya J. Howard Miller, pada awalnya, bertujuan untuk menggalakkan kaum wanita pada tahun 1943 untuk bekerja di kilang-kilang senjata.
Namun, pada tahun 1980-an sehingga hari ini, ia digunakan sebagai ikon gerakan feminisme.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: