Friday, March 22, 2013

Survival mek mulung


BARISAN karyawan pementasan mek mulung berjudul, Putera Cahaya Bulan yang dipentaskan di Panggung Budaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim pada hari ini dan esok, 23 Mac.


SAMA seperti mak yong, mek mulung juga antara dramatari tradisional yang mempunyai disiplin dan estetika kesenian Melayu yang tinggi nilainya. Jika tidak, masakan ia telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) sebagai warisan negara.
Bezanya, mek mulung berasal dari Kedah dan menggunakan dialek Kedah dalam pementasan manakala mak yong pula berasal dari Kelantan dan dipersembahkan dalam dialek Kelantan.
Antara mek mulung dan mak yong, mek mulung sedikit terkebelakang dari segi pendedahan kepada seluruh masyarakat. Jika ada pun, ia kurang dikenali berbanding mak yong.
“Saya dapat merasakan, sekiranya kesenian mek mulung tidak diberi perhatian dan tercicir daripada sebarang bentuk promosi atau program survival, mek mulung akan pupus dalam tempoh tiga hingga empat tahun dari sekarang.
“Tidak seperti mak yong yang masih ada pelapis contohnya dari dalam kalangan ahli keluarga primadona mak yong terkenal iaitu Allahyarhamah Seniman Negara, Khadijah Awang sendiri.
“Tokoh mek mulung di Kedah iaitu Pak Leh sendiri tiada pewaris. Yang ada cuma Pak Saad Taib di Kampung Tepus, Kedah.
“Dialah satu-satu tokoh mek mulung yang masih hidup ketika ini namun kepakarannya pula lebih kepada muzik,” jelas Saipol Bahari Mohd. Iman, ketua kumpulan teater Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (Akrab).
Pada bahu Saipol Bahari kini tersandang sebuah amanah besar. Bersama-sama dengan Kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kedah, Saipol akan mengarahkan persembahan mek mulung berjudul, Putera Cahaya Bulan sepanjang Siri Jelajah Mek Mulung anjuran JKKN.
“Siri Jelajah Mek Mulung ini adalah kesinambungan daripada Eksplorasi Mak Yong Siri Jelajah Kijang Emas pada tahun 2012. Tahun ini, kita bawa mek mulung untuk dihayati oleh masyarakat Malaysia khususnya kepada kumpulan sasar seperti di pusat-pusat pengajian tinggi di seluruh negara.
“Bukan sekadar persembahan, jelajah ini akan diisi juga dengan bengkel lakonan, asas tari dan muzik mek mulung. Ia juga terbuka secara percuma,” jelas Rosnan Rahman yang bertindak sebagai ketua bengkel dan persembahan sepanjang siri jelajah berkenaan.
Rosnan yang merupakan Penolong Pengarah Kanan Penyelidikan dan Pembangunan JKKN menjelaskan, siri bengkel itu akan diadakan dari pukul 9 pagi hingga 5 petang sepanjang dua jelajah di setiap lokasi.
Sedikit informasi mengenai mek mulung, dari segi sejarahnya, terdapat pelbagai versi mengenai asal usul seni teater tradisional berkenaan. Sepintas lalu, dramatari mek mulung berasal dari mukim Wang Tepus, Jitra, Kedah.
Nama mek mulung berasal daripada perkataan ‘mek’ iaitu panggilan bagi gadis-gadis, sementara perkataan ‘mulung’ pula ialah nama hutan tempat bermulanya persembahan ini.
Sebagai pembukaan Siri Jelajah Mek Mulung 2013, pementasan mek mulung di bawah arahan Saipol Bahari boleh disaksikan pada pukul 8.30 malam di Panggung Budaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak pada hari ini dan esok, 23 Mac.
Selepas di Tanjung Malim, siri jelajah itu akan diteruskan ke Kompleks JKKN Terengganu di Kuala Ibai, Terengganu pada 24 hingga 25 Mei sebelum terbang ke Kuching, Sarawak pula pada 21 dan 24 September nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: