PANTANG ada cuti, pasti program motivasi menghiasi kalendar pelajar sekolah terutama untuk adik-adik yang akan menduduki peperiksaan tahun ini.
Menyertai program motivasi yang muncul bagai cendawan tumbuh lepas hujan itu bukanlah sekadar RM50 tetapi ada kursus yang didakwa profesional mengenakan bayaran sehingga RM2,000 untuk satu sesi.
Ada juga kedengaran ibu bapa dan peserta yang berhabis duit menyertai program berkenaan merungut kononnya sudah ‘terkena.’
Seorang wakil syarikat perunding motivasi HBJ Warisan yang mahu dikenali sebagai Nasri berkata, program motivasi direka untuk memberi kesedaran kepada golongan pelajar agar mereka mengetahui matlamat hidup masing-masing dengan lebih jelas.
“Kita ajar peserta menghormati kedua-dua ibu bapa. Untuk pelajar di ambang peperiksaan, motivasi lebih kepada memberikan semangat kepada mereka untuk maju dalam bidang pelajaran.
“Program motivasi untuk pelajar biasanya ditekankan dari sudut agama seperti kepentingan solat dan aurat selain membantu menanamkan semangat dalam diri pelajar itu sendiri tentang tugas mereka sebagai anak dan pelajar.
|
“Ada yang menyertai program motivasi ini terdiri daripada pelajar golongan berada tetapi jiwa mereka kosong, ada pula datang daripada keluarga susah tetapi bahagia. Tidak semua pelajar yang menyertai program motivasi terdiri daripada pelajar yang bermasalah,” ujarnya ketika dihubungi.
Tambah Nasri, program motivasi boleh membentuk diri pelajar melalui kaedah yang digunakan secara perseorangan mahu pun dalam bentuk kumpulan kecil.
“Kaedah yang digunakan lebih kepada konsep kasih sayang bagi menyedarkan mereka tentang tanggungjawab yang perlu digalas.
“Antaranya ialah sesi perkenalan, pengucapan awam, aktiviti riadah, ceramah, latihan dalam kumpulan, bengkel dan aktiviti bermuhasabah diri.
“Kebanyakan program diterapkan melalui pendekatan kasih sayang antara peserta dan fasilitator bagi mengurangkan jurang antara mereka,” jelasnya.
Kadar bayaran yang dikenakan kepada seorang pelajar itu merangkumi keseluruhan kemudahan yang disediakan selama program motivasi itu berlangsung, jelas Nasri.
“Kadar bayaran ditentukan mengikut jenis program motivasi yang dianjurkan.
“Keberkesanan program motivasi yang selalunya diadakan selama tiga hari dua malam ini boleh dicapai sekiranya ibu bapa memainkan peranan mereka.
“Persoalan ini semua kembali kepada peranan keluarga itu sendiri kerana jika dilihat mentaliti kebanyakan ibu bapa sememangnya mengharapkan anak mereka berubah sebaik pulang daripada program motivasi perlu diubah,” beritahu beliau.
|
Tambahnya, kebanyakan masalah yang dihadapi pelajar-pelajar ini ialah sikap malas belajar, tidak mahu mendengar cakap ibu bapa dan terpengaruh dengan rakan sebaya.
“Anak lebih cenderung mendengar nasihat daripada pihak ketiga kerana mereka seakan-akan menerima semangat baharu apabila bertemu dengan rakan baharu selain suasana yang baharu.
“Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan dalam menyambung kembali tugas fasilitator di rumah bagi memastikan keberkesanan melalui program motivasi itu,” kata Nasri.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Dr. Zainal Madon memberitahu, motivasi bermaksud memusatkan matlamat yang ingin dicapai agar tingkah laku sering objektif.
“Proses perkembangan dan pembangunan manusia berlaku secara berterusan baik dari segi pemikiran, emosi dan sahsiah diri.
“Ia boleh menjadi pemangkin dalam menggerakkan motivasi diri seseorang dan proses ini memerlukan tindakan susulan yang teratur dalam memperbaiki diri.
“Seperti program motivasi pelajar ini, selepas program itu tamat ibu bapa dan pihak sekolah perlu melakukan tindakan susulan yang boleh menjadi pencetus kepada perubahan perkembangan diri seseorang,” ujarnya.
Tambahnya, selalunya golongan pelajar ini akan mencari sokongan terdiri daripada rakan sebaya yang dapat memahami mereka.
“Kewujudan suasana harmoni, kondusif dan bersikap terbuka yang ditunjukkan oleh keluarga dapat membantu seorang remaja itu berkongsi masalahnya dengan lebih selesa,” beritahu beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: