Tuesday, March 12, 2013

Manusia sudah alami masalah jantung sejak 4,000 tahun lalu


GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan mumia dari Mesir menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer di Institut Jantung Saint Luke's Tengah Amerika di Kansas.


CHICAGO - Walaupun tanpa makanan segera atau rokok, manusia telah mengalami masalah jantung tersumbat kira-kira 4,000 tahun lalu, menurut satu kajian ke atas lebih 100 mumia.
Menurut beberapa penyelidik, penemuan itu menunjukkan sakit jantung mungkin kerana faktor semula jadi kerana umur manusia semakin tua berbanding faktor yang sering dikaitkan dengan penyakit tersebut seperti merokok, memakan makanan berlemak dan tidak bersenam.
Penemuan itu dibuat menerusi imbasan tomografi berkomputer ke atas 137 mumia.
Mumia-mumia itu ada yang berusia sehingga 50 tahun.
Imbasan tersebut menunjukkan satu pertiga daripada mumia itu mengandungi tanda-tanda aterosklerosis atau pengerasan arteri.
Ia dilakukan ke atas mumia yang dipercayai pernah menjalani kehidupan yang sihat semasa hidup.
Aterosklerosis menjadi punca berlakunya serangan jantung dan strok.
Lebih separuh daripada mumia yang menjalani imbasan itu berasal dari Mesir.
Baki mumia lain datang dari Peru, barat daya Amerika dan Kepulauan Aleutian di Alaska.
"Sakit jantung telah melanda manusia lebih 4,000 tahun di serata dunia," kata seorang pakar kardiologi di Institut Jantung Saint Luke's Tengah Amerika di Kansas, Dr. Randall Thompson.
Beliau merupakan ketua penulis kajian itu.
Mumia-mumia yang didapati mempunyai tanda-tanda aterosklerosis itu didapati mati pada usia yang tua.
Penyakit jantung merupakan punca utama kematian lelaki dan wanita di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, kira-kira 600,000 orang mati pada setiap tahun di negara ini kerana sakit jantung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: