Sunday, March 24, 2013
Lembah manusia hidup lama
BAYANGKAN anda hidup di sebuah daerah yang mana keseluruhan penduduknya tidak pernah diserang penyakit kanser manakala penglihatan mereka masih sempurna walaupun berumur 100 tahun.
Malah, tiada istilah penyakit jantung, obesiti, kencing manis, apendiks dan ulser.
Lebih mengejutkan, ada kalangan lelaki berumur 80 hingga 90 tahun di kawasan pergunungan setinggi 20,000 meter itu masih mempunyai anak kecil.
Penduduk di kawasan itu secara purata mempunyai hayat sehingga 120 tahun.
Bukan sekadar itu, kadar jenayah sifar, tiada cukai dikenakan, bank, status sosial dan kedai runcit dan urus niaga wang tidak berlaku di daerah ini.
Seorang penduduk, Hamayoon Baig, 105, masih bertenaga malah rutinnya pada waktu petang ialah bermain bola sepak
Hayamoon menetap di Faizabad, Lembah Hunza, utara Pakistan yang merupakan kawasan pergunungan dengan suhu berlegar sekitar 8 hingga 12 darjah Celsius.
Lazimnya, penduduk Hunza termasuk Hamayoon ialah tidak menyentuh sebarang makanan walaupun tidak berpuasa pada awal pagi.
Bagi Hamayoon dan puaknya, berjalan kaki sejauh 15 hingga 20 kilometer sehari menuju ke kebun satu perkara biasa.
Penduduk Hunza bergantung hidup terhadap alam semula jadi sebagai punca rezeki.
Elak kimia
Hamayoon sendiri menanam sendiri sayur-sayuran, memetik buah-buahan yang ditanam sebagai sumber makanan keluarganya.
Tiada istilah makanan yang diproses supaya tahan lama kerana buah-buahan kering yang dijemur bawah cahaya matahari dan hasil tenusu seperti keju serta mentega menjadi sumber zat tambahan.
Para penduduk juga tidak menggunakan baja tiruan mahupun baja kimia untuk menyuburkan tanaman.
“Saya masih merasakan diri masih muda dan bertenaga,” kata Hayamoon.
Walaupun racun perosak menjadi bahan larangan yang ditegah di Lembah Hunza, penduduk tetap berjaya menghalau serangga perosak menggunakan asap.
Menurut sejarah, suku Hunza ialah tentera Iskandar Zulkarnain yang bernikah dengan wanita-wanita Parsi. Mereka kemudian melarikan diri menyusuri pergunungan Himalaya dan tiba di lembah Hunza.
Majoriti mereka beragama Islam dan dipimpin oleh seorang ketua masyarakat yang digelar Mir.
Kebanyakan mereka mempunyai dialek daerah tersendiri iaitu Brushuski tetapi memahami bahasa Urdu dan Inggeris.
Kadar celik huruf mereka lebih 90 peratus dan remaja sekurang-kurangnya menamatkan sekolah menengah.
Perkara ini ternyata membingungkan pakar-pakar kesihatan di Amerika Syarikat (AS).
Dua pakar kardiologi dari AS, Dr. Paul D. White dan rakannya, Dr. Edward G. Toomey pada 1964 melakukan ekspedisi sukar untuk mengkaji tahap kesihatan penduduk Lembah Hunza.
Makan aprikot
Hasil penyelidikan mereka mendapati tahap kesihatan 25 lelaki Lembah Hunza berumur 90 hingga 110 cukup menakjubkan.
Kadar tekanan darah dan kolesterol cukup mengagumkan dengan tiada seorang pun yang menghadapi simptom penyakit jantung dan darah tinggi.
Pakar mata AS, Dr. Allen E. Banik juga melakukan ekspedisi di lembah bertuah itu pada 1960, dan menyimpulkan dalam bukunya yang bertajuk Hunza Land yang mendapati kadar penglihatan warga tua lebih 80 tahun seperti remaja.
“Saya mengkaji tahap penglihatan mereka dan keputusannya masih baik dan sempurna,” kata Allen.
Mereka juga bekerja selama tujuh hari seminggu dengan tempoh masa minimum 12 jam dengan gembira tanpa sebarang tekanan.
Kebiasaannya, setiap keluarga memiliki tanah bersaiz kecil tetapi cukup untuk menampung keperluan keluarga.
Antara tanaman penting yang ditanam adalah pokok aprikot. Buah-buahan ini dikenali mempunyai tahap khasiat yang tinggi.
Mereka akan menanam sekurang-kurangnya sebatang pokok aprikot berhampiran rumah.
Tanah pula dianggap satu harta yang mulia dan mereka tidak akan sesekali menjual tanah mereka kepada orang lain.
Seorang lelaki dianggap bacul jika tidak mengusahakan tanahnya atau menjual tanahnya kepada orang lain.
Menjual tanah dianggap sama seperti perbuatan menjual anak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: