Wednesday, March 20, 2013

Gaya hidup mewah haiwan peliharaan

PENINGKATAN taraf hidup orang muda Singapura menyebabkan mereka mampu memanjakan haiwan peliharaan mereka dengan pelbagai aktiviti mewah.


SAMBIL bersandar di tepi bot, para penumpang mendongakkan kepala untuk menghirup udara pagi yang segar selepas kapal layar katamaran itu berlepas dari sebuah jeti di Singapura. Ia kelihatan seperti sebuah pelayaran biasa, namun hakikatnya penumpang yang dimaksudkan itu bukanlah manusia sebaliknya beberapa ekor anjing.
"Sebenarnya, ini adalah pelayaran ketiga untuk mereka," kata Andy Pe, 43, pemilik anjing labrador kuning, retriever keemasan, dua ekor mongrels dan dua ekor labrador hitam.
"Mereka amat gembira tatkala menikmati angin dan air laut."
Daripada pelayaran bot dan spa khusus untuk binatang, hinggalah ke bahagian berita kematian dalam akhbar, haiwan dimanjakan secara luar biasa di Singapura, sebuah negara di Asia yang memiliki standard hidup tinggi.
Pemilik kapal layar, Joe Howe, 48, memulakan syarikat Pelayaran Binatang sejak Julai lepas.
Kapal layar katamaran sepanjang 26 kaki (7.8 meter) miliknya turut mempunyai dek renang, dipenuhi dengan stok stesen pembersihan dan jaket keselamatan untuk anjing.
Pada hujung minggu, harga pelayaran selama dua jam boleh mencecah RM100 untuk setiap tetamu, manakala jika mahu membuat tempahan keseluruhan kapal harganya RM1,000.
Howe, seorang bekas broker yang telah bersara kini menawarkan dua pelayaran setiap minggu secara purata. Dia juga mempunyai penumpang yang membawa kura-kura di atas kapal.
"Pasangan muda memilih untuk membela haiwan peliharaan sebelum memiliki anak-anak. Ia adalah pilihan mereka dan pada masa-masa tertentu menjadi pengganti kepada anak," kata Howe.
Pemilik haiwan rata-rata juga bersetuju dengan kenyataan Howe. "Haiwan peliharaan dilayan seperti anak-anak sendiri kerana saya masih bujang dan mempunyai banyak masa," kata Pe sementara kapal layar itu melepasi kepulauan Seletar yang membawa anjing-anjingnya untuk menikmati angin laut.
Serba mewah
Menurut data rasmi, terdapat kira-kira 57,000 anjing berdaftar pada tahun 2012 di Singapura. Sebuah pulau yang padat dengan populasi penduduk 5.3 juta orang, majoriti penduduknya tinggal di blok apartmen bertingkat tinggi dengan bilik kecil untuk anjing berkeliaran di dalamnya.
Terdapat lebih daripada 250 kedai haiwan berlesen di negara itu dengan kebanyakannya beroperasi di pusat membeli-belah. Ia menawarkan segala-galanya daripada haiwan peliharaan seperti hamsters pada harga S$10 (RM25) kepada anjing baka tulen berharga beribu-ribu dolar.
Pengarah Eksekutif Petopia, Marcus Khoo iaitu sebuah kedai yang menawarkan perkhidmatan dandanan dan penginapan kepada anjing berkata, pemilik bersedia membayar harga premium untuk kesejahteraan haiwan kesayangan mereka.
Rekaan dalaman moden kedai tersebut dihiasi dinding panel kaca bagi membolehkan para pemilik melihat haiwan mereka yang sedang menjalani rawatan.
"Orang sekarang memahami kualiti gaya hidup seekor anjing bukan hanya mengenai sangkar dan makanan haiwan itu," Khoo memberitahu AFP.
Perkhidmatan yang terbaik bagi anjing-anjing ini tentu sekali bukan murah.

PE sanggup membelanjakan ribuan ringgit sebulan untuk anjing-anjing peliharaannya.


Satu rawatan mandian buih-buih mikro selama 20 minit bagi bebas bau boleh mencapai kos antara RM160 hingga RM300, bergantung pada baka dan saiz anjing.
Yoga anjing atau doga juga mula mendapat tempat di Singapura selepas menjadi popular di Hong Kong dan Taiwan.
"Haiwan kesayangan ditinggalkan di rumah selama berjam-jam, jadi doga adalah salah satu cara untuk mengeratkan hubungan antara pemilik dan anjing," kata pemilik Super Cuddles Clubhouse, Ow Rosalind, 42, yang mula menawarkan kelas doga bermula Ogos lepas.
Pilihan mewah juga dilanjutkan kepada haiwan yang mati. Pemilik boleh menerbitkan penghargaan untuk haiwan kesayangan dalam seksyen iklan dalam akhbar terkemuka negara itu, The Straits Times pada hari Ahad.
Di Pusat Pembakaran Haiwan yang terletak di pinggir bandar, tempat persemadian abu boleh disewa selepas perkhidmatan pengebumian.
"Kebanyakan pemilik melayan haiwan kesayangan mereka sebagai sebahagian daripada keluarga sendiri. Kematian haiwan adalah satu isu yang sangat sensitif. Apabila seekor haiwan yang biasanya tidur dengan mereka yang tiba-tiba hilang daripada kehidupan mereka, ia sangat menyedihkan," kata pemilik sebuah rumah pembakaran mayat haiwan, Patrick Lim, 60.
Satu upacara pembakaran yang paling biasa untuk anjing boleh mencapai kos sekitar RM370 ke RM1,300 bergantung kepada saiznya.
Pemilik boleh memilih untuk pembakaran ekspres. Bayaran tambahan dikenakan, tentu sekali. Mereka dikenakan bayaran RM750 selepas itu untuk meletakkan abu dalam kolumbarium selama satu tahun. Selepas itu sewa tersebut akan berkurangan kepada RM450 setahun.
Bagaimanapun, terdapat satu sisi gelap kepada kesukaan yang semakin meningkat terhadap haiwan kesayangan di Singapura. Beberapa haiwan akhirnya dilihat dibuang selepas minat berkurangan dan realiti perlu menjaga untuk jangka panjang sukar dipenuhi.
Anjing dan kucing yang ditinggalkan termasuk tikus belanda, menanti diambil dalam kandang besi di Persatuan Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan (SPCA).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: