Zahiril, 28, berkata, pada tahap ini komitmennya kepada Shera sangat penting selain ingin memastikan kandungan isterinya itu berada dalam keadaan baik.
"Tiada apa yang lebih penting selain memastikan isteri dan anak dalam kandungan berada di dalam keadaan baik.
"Sebab itu saya mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada kerjaya lakonan untuk bersama-sama isteri," ujarnya kepada mStar Online.
Zahiril dan Shera menamatkan zaman bujang mereka pada 20 November 2011 dengan sekali lafaz di Ipoh, Perak.
Dalam pada itu, Zahiril berkata, selain ingin menjaga isterinya, dia mengambil keputusan untuk berehat kerana telah terlibat dalam banyak projek drama dan filem sehingga tiada masa untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Dia juga mahu memperlahankan seketika aktiviti lakonannya selepas beberapa tahun bekerja kuat untuk membina nama sebagai pelakon.
"Kini tiba masanya saya memperlahankan sedikit aktiviti lakonan dan memberikan tumpuan kepada isteri dan anak sulung yang bakal lahir," katanya.
Sementara itu, Zahiril mengakui berasa kurang selesa berlakon dengan isterinya sebagai pasangan kekasih ketika digandingkan dalam filem Juvana yang akan ditayangkan pada Khamis ini.
Pun begitu dia mengakui lebih mudah untuk menghayati watak tersebut kerana setiap perkataan yang diluahkan adalah jujur dan penuh kasih sayang.
"Semasa penggambaran filem itu berlangsung kami baru sahaja berkahwin dan rasa segan memang ada tetapi yang bagusnya setiap dialog yang diluahkan adalah jujur dan terasa lebih mudah.
"Selain itu juga kami dapat meluangkan masa bersama-sama selain berbincang tentang watak kami di rumah," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: