Diddy atau nama sebenarnya Syamsul Hirdy Muhid, 28, berkata adalah menjadi kebanggaannya kerana sejak menjadi penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) secara sambilan kira-kira tiga tahun lalu, dia berjaya mengekalkan keputusan nilai purata gred kumulatif (CGPA) 3.8 ke atas.
“Saya tidak percaya dengan keupayaan diri saya kerana berjaya mendapat CGPA sedemikian sehingga diberikan Ikon Pembelajaran Sepanjang Hayat oleh Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya kepada mStar Online.
Diddy berkata, walaupun sibuk dengan kerjayanya sebagai pelakon dan penyanyi, dia tetap menjadikan pelajaran sebagai tumpuan utama walaupun kadangkala begitu penat kerana perlu melaksanakan banyak kerja dalam satu-satu masa.
Bagaimanapun kesusahan yang dilaluinya ketika ini seharusnya menjadi pendorong kepada generasi muda serta artis-artis lain agar terus menuntut ilmu termasuklah buat anaknya iaitu Nadra Aryssa Jauza yang kini berusia hampir dua tahun.
Dalam masa yang sama, isterinya iaitu Allen Nor Azah Musa, 28, turut memberi sokongan moral terhadap pencapaiannya dalam bidang pendidikan.
“Saya bertuah kerana isteri saya menjadi penyokong kuat terhadap kerjaya saya sebagai artis dan dalam masa yang sama mahu melihat saya berjaya dalam pelajaran. Malah saya mahu susah payah saya ini akan dapat dicontohi oleh anak saya apabila dia besar kelak,” katanya.
Antara petua untuk dia kekal dengan pencapaian sedemikian kata Diddy, seseorang yang belajar secara sambilan perlulah mempunyai komitmen yang tinggi terhadap apa yang dipelajari.
Sementara itu dalam perkembangan lain Diddy baru sahaja selesai menyiapkan lagu runut bunyi untuk filem Paku serta dalam proses menghasilkan single terbaharunya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: