|
ALOR SETAR - Seorang warga emas bernasib baik apabila terselamat daripada serangan seekor babi hutan betina seberat 80 kilogram yang menyerangnya secara tiba-tiba di sebuah kebun getah di Bukit Teriak di sini kelmarin.
Dalam serangan itu, mangsa, Mat Saad Mahmud, 77, cedera di belakang badan dan kedua-dua belah tangan akibat disondol dan digigit oleh haiwan liar tersebut.
Menurutnya, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku ketika dia berjalan berseorangan di kebun getah miliknya.
"Mula-mulanya, saya terdengar bunyi dari semak berhampiran dan menyangka ia biawak.
"Tiba-tiba seekor babi hutan meluru dan menyondol saya dan menggigit belakang dan punggung," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Belukar, Telaga Mas, Pokok Sena semalam.
"Ketika diserang, saya cuba bangun dengan mencengkam bulu di tengkuk babi itu dan ketika mata kami bertentang, saya 'merayu' kepada babi hutan itu supaya melepaskan saya.
"Saya kata, jangan buat aku macam ini, lepaskan aku, aku nak balik dan selepas itu ia (babi hutan) tidak lagi menyerang dan melarikan diri," ujar Mat Saad.
Menurutnya, walaupun hairan dengan kejadian itu tetapi dia bersyukur kerana tidak terus diserang oleh babi hutan berkenaan.
Namun, dia mengaku masih trauma dengan kejadian tersebut.
Menurutnya, babi hutan itu kemudiannya telah ditembak mati oleh seorang penduduk kampung kira-kira pukul 6 petang kelmarin tidak jauh dari lokasi dia diserang .
"Sebelum ini, saya tidak pernah terserempak dengan babi hutan di kebun getah ini dan mungkin babi hutan itu memasuki kawasan kebun kerana mencari air dan makanan lain," tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: