JAKARTA - Para pelajar Malaysia dari Universiti Trisakti, Jakarta Barat yang dipindahkan sementara ke Dewan Malaysia di Jakarta Pusat ekoran banjir kini bertambah menjadi 53 orang.
Mereka terdiri daripada 23 pelajar perempuan dan 30 pelajar lelaki.
Pengarah Pelajaran Malaysia, Prof. Madya Dr. Juzhar Jusoh berkata, kebanyakan daripada mereka yang berpindah pagi semalam adalah kumpulan pelajar yang baru pulang daripada menjalani latihan klinikal di luar kota raya Jakarta.
"Kesemua pelajar berada dalam keadaan baik kecuali beberapa orang yang mengalami batuk dan selesema. Pihak keluarga pelajar juga telah dimaklumkan mengenai situasi terkini melalui telefon," katanya di sini semalam.
|
Banjir yang melanda kebanyakan kawasan di Jakarta sejak Selasa lalu masih menjejaskan sejumlah lagi kawasan penempatan, bahkan paras air Sungai Ciliwung terus meningkat akibat air yang turun dari daerah Depok.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata, data yang dikumpulkan sehingga pukul 7 pagi semalam mencatatkan 14 kematian akibat banjir sejak Selasa lalu dan daripada jumlah itu, enam mangsa meninggal dunia akibat kejutan elektrik apabila kawasan kediaman mereka dinaiki air.
Mangsa-mangsa yang terkorban itu terdiri daripada sembilan orang di kawasan Jakarta Barat, dua orang di Jakarta Selatan dan masing-masing seorang di Jakarta Timur, Jakarta Utara dan Jakarta Pusat.
Sehingga petang semalam, lebih 18,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir dan BNPB yang dibantu pelbagai agensi kerajaan bertungkus-lumus menguruskan bantuan makanan dan pakaian kepada mangsa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: