Saturday, January 19, 2013

PEUGEOT 2008: Crossover Urban!


MUNGKIN ramai yang berharap supaya model ini memasuki pasaran tempatan.


SAMA ada kita sedar atau tidak, kereta jenama Eropah semakin mendapat tempat dalam kalangan pembeli tempatan.
Jika dahulu kereta jenama Eropah hanya dikaitkan dengan produk mewah buatan Mercedes-Benz atau BMW, kini pasaran mula mengenali jenama pertengahan seperti Volkswagen.
Namun kini, ada satu jenama yang sedang meningkat naik dengan produk kereta entry-level hinggalah kepada model premiumnya. Hasil penjenamaan semula oleh Kumpulan Naza, Peugeot yang satu masa dahulu pernah gah dan melalui zaman-zaman suram nampaknya kembali bangkit.
Bermula dengan Naza Bestari atau Peugeot 206, jumlah kenderaan jenama dari Perancis itu kian bertambah di atas jalan raya. Kini, sudah tidak susah untuk berselisih dengan model-model baharu Peugeot seperti 308, 3008, 408 dan 5008.
Mungkin kebanjiran semula model-model tersebut banyak disumbang oleh faktor harga yang setara dengan model buatan Jepun di samping rangkaian khidmat lepas jualan yang nampak meyakinkan.
Baru-baru ini, Peugeot melancarkan model baharu 2008, sebuah jentera crossover yang berada dalam segmen B. Kemajuan dunia yang semakin cepat berkembang melahirkan generasi baharu yang sentiasa bergerak. Mereka mahukan produk yang mewakili personaliti diri.
“Dengan 2008, Peugeot mempunyai satu produk yang akan menerajui segmennya di pasaran Eropah. Seterusnya akan memenangi hati para pelanggan baharu di Asia dan Amerika Latin,” kata Pengurus Besar Peugeot, Maxime Picar.
Berdasarkan kepada laporan agensi berita Newspress, 2008 menggabungkan karakter pemanduan kereta hatchback dengan kelebihan ruang dan keselesaan sebuah SUV. Wajah hadapan 2008 adalah kesinambungan identiti Peugeot baharu. Bonet diperincikan sebagai lambang kekuatan, perlindungan dan ringan.
Profil atletik
Gril hadapan yang terapung adalah refleksi aerodinamik dan efisien. Lampu utama pula direka sebagai pelengkap wajah hadapan yang ekspresif dan mempunyai karakter. Bahagian tersebut dimodenkan lagi menerusi penggunaan lampu LED siang hari.
Crossover baharu itu turut memiliki sisi sofistikated yang menampakkan profil atletik. Bahagian belakang menggabungkan elemen dinamik dan kekuatan. Ruang butnya yang rendah membolehkan pengisian barang dengan mudah.

REKAAN 2008 memang menarik perhatian.


Garisan bumbungnya mempunyai lenggokan yang dinamik. Lebih menarik lagi, ia seolah-olah memiliki bumbung double-bubble seperti yang terdapat pada Peugeot RCZ Sports Coupé.
Lampu belakang nampak seperti terapung di dalam perumahnya. Sementara tiga bahagian pada lampu tersebut dinyalakan di bawahnya oleh butiran LED yang nampak tergantung.
Bahagian bumbung yang berombak dan elegan itu nyata menyerlah. Garisan beralun tersebut berada di atas bahagian tempat duduk belakang dan merupakan karakter tersendiri model 2008.
Garisan tersebut mengeksploitasi sepenuhnya fungsi aerodinamik dengan penggunaan spoiler but. Galang bumbung pula menyerlahkan lagi imej dinamik dan keseronokan yang ingin ditampilkan oleh crossover itu.
Peugeot 2008 menggunakan enjin baharu iaitu e-HDi Diesel dan petrol tiga silinder sebagai pelengkap kepada reka bentuk menarik, demi menjadi sebuah crossover yang jimat bahan api serta mesra alam.
Peugeot akan menghasilkan model baharu itu di lokasi strategik dunia iaitu Mulhouse, Perancis; Wuhan, China dan Porto Real, Brazil. Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada 2008 akan dipasarkan atau tidak di Malaysia.
Crossover urban seperti ini sudah lama ditinggalkan oleh pengeluar kenderaan. Satu ketika dahulu, kita penah dihidangkan dengan Perodua Kembara dan Nautica, selepas itu pasaran dibiarkan kosong.
Jika dipasarkan kelak saya yakin 2008 akan menjadi crossover buatan Eropah yang paling murah di pasaran. Jika Peugeot telah dan sedang membuktikannya, kenapa jenama Eropah lain tidak boleh melakukannya?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: