Wednesday, January 23, 2013

Penginapan mampu inap di Langkawi


BANGUNAN Kuala Melaka Inn (KMI), projek terbaharu kumpulan MK Land Hotel and Resorts di Langkawi.


JUMLAH hotel di Langkawi mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan sejak kebelakangan ini ekoran peningkatan jumlah pelancong. Perkembangan ini berikutan terdapat pelbagai jenis dan kelas hotel di Langkawi termasuk bertaraf bintang, inap desa dan motel untuk memenuhi kehendak pelbagai jenis pengunjung di pulau tersebut.
Lazimnya, hotel mewah terletak di kawasan eksklusif yang jauh dari hotel murah dan bajet. Bagaimanapun, MK Land Holdings Berhad (MK Land), satu nama besar dalam bidang hartanah tempatan, mengambil keputusan untuk menempatkan penginapan mewah dan kelas pertengahan berdekatan dan berhampiran pantai serta restoran.
MK Land yang ditubuhkan pada tahun 2003 telah memajukan Langkawi Lagoon Resort (LLR) yang bertaraf empat bintang. Ia menjadi destinasi pilihan pelancong dari Asia Barat.
Kini syarikat itu kembali dengan dua projek baharu iaitu Kuala Melaka Inn (KMI) dan Ombak Villa (OV). KMI merupakan hotel berkonsepkan mampu diduduki manakala OV pula menerapkan ciri-ciri mewah dengan konsep pembangunan mesra alam.
KMI dibuka kepada orang ramai sejak bulan Julai tahun lalu manakala OV dijangka beroperasi sebelum berlangsungnya Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 pada bulan Mac ini.
Dengan adanya dua projek ini menjadikan nilai pelaburan keseluruhan MK Land melalui anak syarikatnya, Tema Teladan Sdn. Bhd. (LLR dan OV) dan Pujaan Pasifik Sdn. Bhd. (KMI) berjumlah RM162 juta.
Pengasas dan pengerusi MK Land, Tan Sri Mustapha Kamal berkata, beliau mahu memenuhi usaha yang dilaksanakan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Tourism Malaysia (TM) yang aktif mempromosikan destinasi ini di mata dunia.
Menurut Lada, jumlah pelancong di Langkawi meningkat daripada 1.84 juta pada 2005 kepada 2.82 juta pada 2011.
Sejak bulan Januari hingga September 2012, jumlah pelancong ke Langkawi mencecah 2.1 juta orang.
"Kewujudan hotel dan resort kami di Pulau Langkawi ini bertujuan menunjukkan sokongan kami terhadap Lada dan TM," jelas Mustapha.

LUAS. Bilik standard family Kuala Melaka Inn ini dilengkapi televisyen dengan saluran Astro.


Peluang pekerjaan
Mustapha juga melihat kewujudan industri perhotelan terutama yang diusahakan MK Land akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di Langkawi.
"Kami mengutamakan tenaga kerja tempatan kerana mereka juga mampu menguruskan perniagaan hotel dengan baik dan ini telah pun terbukti," tambahnya.
Sehingga kini, pelaburan MK Land dalam industri perhotelan telah membuka peluang pekerjaan kepada 980 orang di seluruh negara.
Hotel enam tingkat berkapasiti 69 bilik itu menawarkan bilik pelbagai jenis seperti standard twin (21 bilik), standard room (26 bilik), standard triple (14 bilik) dan standard family (lapan bilik) yang terletak hanya lima minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Bilik-bilik ini selain bersaiz besar, ia dilengkapi dengan televisyen saluran Astro, pendingin hawa dan kemudahan mandian air panas.
Di lobi hotel, tersedia sebuah pasar mini dan kopitiam yang boleh memuatkan 120 pelanggan pada satu-satu masa serta kemudahan internet jalur lebar menggunakan WiFi.
Lebih menarik, Rooftop Food Court, kafeteria berkonsep gerai terbuka di bumbung hotel dengan sajian makanan tradisional Melayu dan tempatan satu lagi tarikan KMI.
Pengunjung boleh menikmati pemandangan Laut Andaman yang indah dan hamparan sawah padi di belakang hotel. Turut kelihatan ialah puncak Gunung Mat Cincang. Ia boleh disewa untuk majlis persendirian.
Ruang bumbung hotel ini juga adalah lokasi strategik untuk menonton demonstrasi udara LIMA memandangkan jaraknya yang sangat dekat dengan lokasi pertunjukan.
Pusat spa yang terletak di tingkat empat menawarkan pelbagai pakej urutan, rawatan muka serta rawatan kuku tangan dan kaki.
Pengunjung juga dibenarkan menggunakan pantai persendirian di LLR yang terletak hanya di seberang jalan.
Ombak Villa menyediakan 79 unit suite mewah yang dilengkapi balkoni dengan pemandangan menghadap laut. Bilik-bilik berkenaan juga bercirikan seni bina tradisional Melayu.
Ia turut mendapat sentuhan pereka terkenal, Rizalman Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Rizalman.
Menariknya di OV, terdapat tiga suite istimewa. Dua daripadanya ialah suite bulan madu dan satu Vila Premier.
OV yang bercirikan mesra alam dalam pembinaannya menyediakan takungan air hujan, lampu jalan berkembar, penggunaan mentol jimat tenaga, ruang lobi bersiling tinggi dan penanaman tanaman herba sebagai landskap.
Pengunjung juga boleh menjamu selera di Rooftop Food Court di KMI.
Kedudukan LLR, KMI dan OV yang berjiran antara satu sama lain menjadikan ketiga-tiga hotel ini saling melengkapi untuk menberi satu pengalaman unik kepada pengunjung.
Hari ini, semakin ramai pelancong memilih untuk ke pulau legenda menggunakan pengangkutan udara. Justeru hotel-hotel ini boleh menjadi satu pilihan kepada pengunjung.
Untuk maklumat lanjut mengenai pakej dan diskaun LLR dan OV, hubungi pejabat jualan di Kuala Lumpur di talian 03-7724 1282 atau e-mel klso@langkawilagoonresort.com.
Maklumat berkenaan KMI, sila hubungi pejabat jualan di talian yang sama atau e-mel ke klso@kualamelakainnlangkawi.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: