Wednesday, January 23, 2013

Gila buru gading, sumbu badak


PEMBURUAN haram gajah dan badak sumbu melibatkan jenayah terancang, malah sesetengah daripada mereka merupakan pengganas yang lengkap bersenjata api.


PERMINTAAN yang tinggi terhadap gading dan sumbu menyebabkan haiwan Afrika seperti badak dan gajah menjadi korban pemburu haram paling banyak sepanjang tahun lalu.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Alam Sekitar Afrika Selatan, sepanjang pertengahan Disember lalu, pemburu haram dilaporkan telah membunuh 633 ekor badak sumbu di Afrika Selatan.
Jumlah itu menjadikan ia sebagai rekod baharu dalam pemburuan badak sumbu. Malah, ia semakin meningkat sejak 448 tahun lalu.
Sementara itu di beberapa kawasan lain di benua Afrika, kisah gajah menjadi mangsa sembelihan kejam pemburu haram tidak pernah surut termasuk pembunuhan besar-besaran yang dilaporkan di Cameroon dan Republik Congo.
Berdasarkan laporan Kumpulan Pemuliharaan Traffic yang bertindak memantau perdagangan haiwan dan tumbuh-tumbuhan global, jumlah gading yang dirampas pihak berkuasa menjunam sejak 2011. Tetapi, kajian mendapati pada masa yang sama jumlah gading yang dicuri meningkat di peringkat global.
"Ini bermakna semakin banyak gading berjaya sampai ke tangan pembeli haram. Nampaknya tahun 2012 merupakan antara tahun yang menguntungkan buat pedagang gading haram berbanding tahun 2011," kata Tom Milliken yang menguruskan Sistem Informasi Perdagangan Gajah Traffic.
Pada tahun 2011, dianggarkan sebanyak 40 tan gading gajah diseludup yang mengakibatkan kematian ratusan ekor gajah. Tahun lalu, sebanyak 28 tan gading dirampas namun angka itu dijangka meningkat.
Permintaan tinggi
"Bermula 2009, empat daripada lima jumlah tertinggi penyeludupan melibatkan gading," jelas Tom.
Permintaan tinggi ke atas gading sebagai barangan perhiasan meningkat dengan pantas di Asia. Ia juga telah membuka peluang luas untuk penyeludupan gajah dan haiwan lain selari dengan peningkatan pengaruh masyarakat China dan pelaburan di Afrika.
"Jumlah kematian gajah akibat pemburuan haram untuk mendapatkan gadingnya meningkat begitu mendadak dan ia melibatkan jenayah terancang. Ini kerana sesetengah kes dilakukan oleh pengganas yang mempunyai kelengkapan senjata," menurut kenyataan Konvensyen Perdagangan dan Perlindungan Hidupan Liar Flora dan Fauna Terancam Antarabangsa (CITES).
Penyeludupan gading turut dikaitkan dengan konflik. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini mengadakan siasatan ke atas pergerakan haram perdagangan melibatkan Lord's Resistance Army (LRA) di Uganda.
Diketuai oleh individu yang diburu oleh Kesatuan Afrika dan pasukan tentera bantuan Amerika Syarikat, Joseph Kony, LRA telah dituduh menyebabkan berlakunya keganasan di kawasan selatan sejak dua dekad lalu melalui penculikan kanak-kanak untuk dijadikan samseng atau hamba seks.
"Di Taman Negara Bouba N'Djida yang terletak di utara Cameroon, lebih 450 ekor gajah telah dibunuh secara haram oleh kumpulan dari Chad dan Sudan awal tahun 2012," kata CITES.
Dalam kes sumbu badak pula, permintaan semakin meningkat di Vietnam. Ramai yang ingin membelinya kerana dikatakan dapat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit termasuk kanser.
Penyeludup dadah
Sungguhpun dakwaan itu tidak dapat dibuktikan dengan teknologi sains, permintaan tinggi telah menyebabkan harga sumbu badak mencecah AS$65,000 (RM195,000) sekilogram membuatkan ia lebih mahal daripada emas. Kebanyakan badak sumbu dibunuh di kawasan selatan Taman Negara Kruger di Afrika.
Sekumpulan pemburu haram yang dilengkapi senjata api dan gogal penglihatan malam masuk melalui negara jiran, Mozambique iaitu tempat yang sering digunakan oleh penyeludup untuk membawa keluar dadah dari Asia Tenggara ke Afrika.
"Taman Negara Kruger hanya sebesar Israel dan ia menyukarkan pihak polis. Anda berhadapan dengan sindiket antarabangsa yang cekap dalam mengendalikan urus niaga sumbu badak," kata pengarang buku Killing for Profit, Julian Rademeyer.
Julian turut menjangkakan jumlah badak sumbu yang dibunuh untuk sumbunya bakal meningkat pada tahun 2013 sekali gus akan menyebabkan haiwan itu menghampiri kepupusan.
Rentetan itu, kerajaan Afrika Selatan telah mengarahkan pasukan tentera untuk mengawasi Kruger, manakala agensi pengutip cukai SARS dan polis telah berusaha keras untuk mengekang pemburu haram. Bagaimanapun, beberapa faktor termasuk penyelewengan pekerja menyebabkan usaha tersebut menemui kegagalan.
Afrika Selatan memiliki hampir keseluruhan populasi iaitu sebanyak 18,800 ekor badak sumbu putih atau 93 peratus dan kira-kira 40 peratus spesies jarang ditemui iaitu badak sumbu hitam.
"Afrika Tengah mengalami kehilangan gading yang amat banyak tetapi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, ia juga telah meningkat di Kenya, Tanzania dan Mozambique," ujar Tom lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: