Thursday, January 17, 2013
Membersih serpihan tsunami Jepun
SEBELUM ini, sukarelawan yang membuat rondaan di sekitar pantai California biasanya akan mengutip sampah seperti puntung rokok, plastik atau bekas makanan yang ditinggalkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun, pada penghujung Disember lalu, mereka berdepan situasi yang jauh lebih besar daripada tugas yang sering mereka lakukan.
Ia berpunca daripada serpihan sampah sarap bawaan arus bencana tsunami yang pernah melanda Jepun hampir dua tahun lalu. Sampah sarap itu mula memenuhi kawasan sekitar pesisiran pantai barat Amerika Syarikat (AS) tersebut.
Bencana yang berlaku pada Mac 2011 itu telah menghanyutkan lebih lima juta tan serpihan sampah sarap ke Lautan Pasifik Utara. Kebanyakannya tenggelam manakala selebihnya berjumlah kira-kira satu setengah juta tan terapung di lautan.
Hakikatnya, tiada siapa yang tahu berapa banyak puing-puing hanyut yang dianggarkan tiga kali ganda saiz AS masih hanyut di lautan.
Hujung Disember lalu, Pengawal Pantai AS mengesan timbunan sampah besar-besaran yang berkemungkinan datang dari Jepun ke arah pantai terbiar di negeri Washington.
Kawasan Pantai Barat pula sudah bersedia untuk berhadapan lebih banyak sampah sarap pada bulan-bulan berikutnya memandangkan angin bermusim dan arus pantai cenderung menolaknya ke daratan.
Dalam pada itu, Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) baru-baru ini menerima sumbangan bernilai AS$5 juta (RM15 juta) dari Jepun untuk mengesan dan menghapuskan puing-puing tsunami tersebut.
Secara rutin, serpihan sampah sarap dari Asia akan terapung dan menghala ke AS. Daripada 1,400 puing-puing tsunami yang ditemui dan dilaporkan kepada NOAA, agensi tersebut hanya mengesan 17 jenis kepingan.
Ia terdiri daripada bot nelayan kecil, bola sepak, dok dan kontena kapal yang mengandungi sebuah motosikal Harley Davidson dengan nombor plat Jepun.
Lonjak kesedaran
Pengurus wilayah Oregon, Charlie Plybon dari Yayasan Surfrider berkata, tsunami telah meningkatkan kesedaran individu penggemar pantai tentang serpihan tsunami yang melanda pesisir pantai dunia.
"Boleh dikatakan terdapat sedikit 'demam' serpihan tsunami. Ia seperti memburu telur Easter. Dahulu, mereka melihat sahaja tetapi kini golongan ini mahu terlibat sama untuk membersihkannya," kata Plybon yang telah membersihkan pesisir pantai Oregon selama lebih satu dekad.
Gelombang tsunami yang membanjiri loji tenaga nuklear Jepun telah membawa serpihan sampah ke lautan. Bagaimanapun, pakar-pakar kesihatan mengatakan, serpihan tsunami yang tiba di pantai barat AS itu tidak mungkin dicemari bahan radioaktif.
Ia disebabkan puing-puing tersebut telah melalui satu perjalanan yang panjang dan hanyut beribu-ribu batu di lautan.
Menurut laporan berita stesen televisyen ABC pada April 2011, anggota-anggota Tentera Laut Armada Ketujuh AS telah mengesan serpihan yang terapung itu sekali gus menjadi ancaman kepada kapal.
Dalam tempoh tiga tahun, serpihan itu akan tiba dekat dengan pantai barat AS dan kemudian bergerak ke arah Hawaii dan berpusing semula ke arah Asia. Putaran serpihan itu dikenali sebagai lingkaran Asia Pasifik.
Sukarelawan Julie Walters telah mengikuti program membersihkan serpihan tsunami di Pantai Mussel Rock yang terletak di selatan San Francisco.
Ujarnya, apa yang ditemui setakat ini hanya bahagian bot pecah dan kepingan kayu yang tidak diketahui asalnya.
"Namun, saya dapati serpihan tsunami yang ditemui agak menarik terutamanya apabila mengetahui ia telah mengharungi pengembaraan yang luar biasa di seluruh Pasifik. Tetapi, bila berfikir tentang tragedi kemanusiaan dalam bencana tersebut, ia membuatkan saya sedih," kata Walters, sukarelawan dari organisasi Pacifica Beach Coalition.
Serpihan tsunami berkenaan turut memenuhi pesisir pantai British Columbia termasuk di Haida Gwaii, Kanada atau sebelum ini dikenali sebagai Pulau Queens Charlotte yang terletak kira-kira 800 kilometer ke barat laut Vancouver.
"Ia (serpihan tsunami) sudah terlalu banyak dan ini hanya permulaan untuk musim panas tahun ini," kata seorang nelayan, Bruce Stewart Burton yang bimbang akan nasib mereka pada masa akan datang.
Tragedi tsunami berlaku pada 11 Mac 2011 akibat gempa berukuran 8.9 pada skala Richter yang berpusat 130 kilometer dari pantai timur laut Sendai, Honshu, Jepun. Ia mengakibatkan lebih 27,500 orang hilang dan terbunuh.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: