Thursday, January 17, 2013
iPhone 5 tawar ciri termaju
TANGGAL 14 Disember lalu merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu oleh peminat iPhone kerana model terbaharu keluaran Apple, iPhone 5 mula memasuki pasaran Malaysia, hampir setahun selepas model 4S diperkenalkan.
Perbezaan setahun antara dua model itu mungkin menyebabkan ramai yang tertanya-tanya akan perbezaan di antara kedua-dua model berkenaan.
Salah satu perbezaan fizikal yang ketara antara kedua-dua model itu ialah saiznya. Dengan dimensi 123.8 x 58.6 x 7.6 mm, iPhone 5 jelas menawarkan skrin yang lebih besar berbanding iPhone 4S.
Ini tentunya satu berita yang menggembirakan kerana pesaing terhampirnya, Samsung Galaxy S3 sering dibandingkan dengan iPhone 4S.
Bagaimanapun, perbandingan itu sering dikatakan tidak adil memandangkan iPhone 4S telah wujud beberapa bulan lebih awal berbanding Samsung Galaxy S3.
Secara logiknya, saiz yang lebih besar lazimnya mempunyai berat yang lebih. iPhone 5 membuktikan saiz yang lebih besar tidak semestinya lebih berat. Dengan berat hanya 112 gram, telefon pintar itu 28 gram lebih ringan berbanding sebelumnya.
Dalam usaha meningkatkan tahap kepuasan menonton video, telefon terkini keluaran Apple itu dilengkapi dengan skrin bersaiz empat inci dengan resolusi 640 x 1136 piksel berbanding model sebelumnya yang bersaiz 3.5 inci dengan resolusi 640 x 960 piksel.
Bagi memenuhi tuntutan dunia pengkomputeran yang semakin mencabar, aplikasi sering dipertingkatkan dengan ciri yang lebih maju.
Pertambahan ciri itu secara tidak langsung memerlukan sumber yang lebih, terutamanya ruang memori, keupayaan unit pemproses dan kapasiti storan.
Pengeluar iPhone 5 menyedari keperluan yang selari dengan perkembangan teknologi semasa dengan membuat beberapa peningkatan. Antara peningkatan perkakasan dalaman adalah seperti unit pemprosesan dengan kelajuan 1.2GHz.
Ingatan sementara atau RAM pada iPhone 5 juga telah ditambah daripada 512MB kepada 1GB bagi melancarkan penggunaan aplikasi pada telefon itu.
Selain itu, sistem operasinya juga telah mengalami peningkatan daripada iOS 5 kepada iOS 6 yang menawarkan lebih banyak ciri menarik dan tahap sekuriti yang dipertingkatkan.
Aspek kuasa juga tidak dilupakan, bateri telefon berkenaan dipertingkatkan sebanyak dua peratus kepada 1440 mAh sekali gus mampu memberikan waktu bercakap yang lebih panjang.
Satu lagi peningkatan ketara pada gajet itu ialah capaian internet yang ditawarkan.
Jika sebelum ini iPhone 4S menawarkan capaian 3G/HSDPA, iPhone 5 pula menawarkan capaian LTE atau Long Term Evolution.
Dalam erti kata lain, ia mampu memuat turun fail dengan kelajuan sehingga 100 megabit sesaat berbanding 14.4 megabit sesaat pada era 4S.
Lonjakan teknologi khususnya dalam dunia telekomunikasi membuatkan penulis tertanya-tanya, jika telefon hari ini mempunyai ciri-ciri seperti ini, apakah agaknya ciri yang bakal ditawarkan oleh telefon 20 tahun akan datang?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: