Ibu rayu bantu pembedahan anak
Nor Saparinat menunjukkan kesan pembedahan di badan anaknya.
KUBANG PASU - Seorang bayi memerlukan RM35,000 untuk menjalani rawatan perubatan apabila disahkan menghadapi komplikasi jantung selepas seminggu kelahirannya, di Kampung Telaga Batu, dekat sini, semalam.

Nur Amiera Aleiyana Abdul Syukur berusia 5 bulan terpaksa menanggung penderitaan apabila mengalami masalah injap jantung tidak mencukupi dan saluran darahnya besar serta terbalik.
Ibunya, Nor Saparinat Nordin, 30, berkata, anaknya itu memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi untuk menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Menurutnya, sebelum itu, anaknya telah menjalani satu pembedahan yang mana menelan kos sebanyak RM29,000 ringgit untuk mengecilkan saluran darah.

“Saya bernasib baik kerana perbelanjaan pembedahan pertama yang dilakukan turut dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sehingga kini kakak membawa anak untuk menerima rawatan setiap bulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) menemui pakar bagi memulihkan keadaannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dengan pendapatan suaminya Abdul Syukur Suid, 36, yang hanya RM700 sebulan perbelanjaan untuk menjalankan pembedahan untuk kedua kalinya dilihat kurang berkemampuan.

“Kami memerlukan wang sebanyak RM35,000 untuk memastikan pembedahan dilakukan dan jumlahnya dilihat begitu besar.

“Namun segalanya bergantung terhadap keputusan pakar di IJN sama ada pembedahan tersebut perlu dilakukan segera ataupun tidak untuk janji temu pada 29 Januari ini,” katanya.

Nor Saparinat berkata, sebelum itu ada pihak tertentu menjanjikan untuk membantunya dalam menyelesaikan kos pembiayaan pembedahan anaknya itu namun ia hanya sekadar janji kosong.

“Kakak tidak berdendam atau marah dengan tindakan mereka itu tetapi sekiranya pihak tertentu tidak dapat mengotakan janji tersebut mereka tidak perlu meletakkan harapan.

“Paling menyedihkan kakak menerima berita mengenai masalah yang dihadapi anak itu ketika tarikh hari lahir namun kakak reda dengan apa ujian yang diberikan,” katanya.

Orang ramai yang berminat menghulurkan sumbangan kepada adik Nur Amiera Aleiyana Abdul Syukur boleh menghubungi di talian 012 5586094 ataupun disalurkan menerusi akaun Bank Islam 02105020110302 yang bernama Abdul Syukur Suid.