Tatiuc cipta robot pintar
Dr Zunaidi (empat kanan) bersama kumpulan penyelidik Tatiuc dan kumpulan penyelidik Universiti Mie melihat robot pintar yang berjaya dicipta mereka di Kampus Tatiuc di Teluk Kal
Tatiuc cipta robot pintar
Penuntut program pengajian PhD Universiti Mie, Takashi Hoshino menunjukkan robot pintar yang turut dilengkapi ‘mata’.
Tatiuc cipta robot pintar
‘Mobile robot’ membawa set alatan golf dan mengikut pemain dengan mengecam warna pakaian yang dipakai pemain golf berkenaan.
KEMAMAN – Kolej Universiti Tati (Tatiuc) berjaya mencipta robot pintar dengan perkongsian kepakaran bersama Universiti Mie, Jepun sekali gus menjulang nama Tatiuc dalam bidang teknologi robotik di negara ini.

Pemangku Rektornya, Dr Zunaidi Ibrahim berkata, robot penyelidikan itu dihasilkan khas untuk menjadi pembantu dalam sukan golf atau sebagai kedi robot.

Katanya, sebanyak tiga robot dihasilkan di mana dua daripadanya diberi nama robot pintar dan ‘mobile robot’ telah siap sementara satu lagi dalam proses disiapkan.

“Robot ini dicipta pensyarah dan pelajar Tatiuc dengan bantuan pensyarah, Profesor Hirokazu Matsui dan pelajar dari Universiti Mie. Universiti dari Jepun ini amat serius membantu kita menghasilkan robot serta bangunkan pelajar.

“Kos setiap robot ini dianggarkan bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000 dibiayai Universiti Mie dan mereka membawa sendiri komponen-komponen berteknologi tinggi ke sini. Robot ini juga akan dikomersialkan nanti,” katanya ketika meninjau perkembangan penghasilan robot itu di Kampus Tatiuc, dekat sini, semalam.

‘Mobile robot’ boleh mengenal warna serta akan mengikut tuannya yang dikenalpasti melalui warna pakaian dan seterusnya ‘mobile robot’ akan digabungkan dengan robot pintar bagi mewujudkan kedi robot.

Katanya, khidmat kedi robot itu sesuai bagi pemain golf yang lebih suka berjalan dalam padang dan tidak menaiki ‘buggy’.


Tatiuc pacu teknologi terkini

Mengulas lanjut, Dr Zunaidi berkata, penghasilan robot itu selari dengan tema Tatiuc untuk memacu teknologi terkini.

“Dulu kita lebih kepada guna teknologi tetapi sekarang kita lebih kepada hasilkan teknologi kerana Tatiuc mempunyai banyak kepakaran,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kata beliau, penghasilan robot itu juga susulan memorandum persefahaman yang ditandatangani bersama Universiti Mie yang menjadi salah satu kejayaan program pengantarabangsaan Tatiuc bagi 2012.

Menerusi kerjasama itu juga, Tatiuc memperoleh kebaikan kerana diadakan pertukaran pelajar selama enam bulan antara kedua-dua institusi pengajian tinggi (IPT) itu.

“Pada April depan, seramai empat pelajar kita akan ke Jepun dan pelajar Jepun juga turut datang ke sini. Universiti Mie turut membiayai yuran pengajian pensyarah Tatiuc yang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di universiti mereka,” ujarnya.


Susah Cipta Robot

Sementara itu, bagi tujuan penciptaan robot itu, kumpulan penyelidik termasuk pelajar dari Universiti Mie itu datang ke negara selama sebulan, sejak 19 Disember lalu di mana pelajar Jepun yang datang juga silih berganti.

Menurut Matsui, kerja-kerja mencipta robot sebenarnya susah dan rumit namun dengan kepakaran dan usaha yang dilakukan, akhirnya mereka berjaya menghasilkan robot tersebut.