|
TANPA semena-mena, nama Alia Bastamam terpalit dengan kehangatan kontroversi seni tanah air apabila busana hitam yang digayakan aktres muda, Nabila Huda, ketika menghadiri Anugerah Blockbuster 2012 mencetus reaksi pelbagai dari penggiat seni hiburan dan fesyen Malaysia.
Walau ramai yang mencemuh dan tidak kurang juga yang memuji, nama Alia terus terpatri kukuh. Ramai mula mengenalinya sehingga membawa kepada pengenalan koleksi Evening Cruise 2012/2013 yang menggunakan khidmat Nabila sebagai model fesyen.
"Saya tidak melihat kontroversi tersebut sebagai sesuatu yang negatif. Ia tidak langsung meninggalkan titik hitam dalam perjalanan karier saya, malah sedikit sebanyak membantu membuka ruang dan peluang buat saya," ujarnya optimis.
Kesungguhannya dalam dunia seni dan rekaan terserlah sejak dalam zaman persekolahan. Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, darah kreatif mengalir dari nenda tersayang yang dahulunya terkenal dengan kehalusan jahitan tangan melalui busana-busana tradisional hasil sentuhannya.
"Ketika bersekolah dahulu, saya banyak membuat jahitan-jahitan manik pada bekas pensil. Ada yang masih tersimpan rapi dan digunakan sehingga kini.
"Kawan-kawan yang melihatnya tertarik lalu menempahnya sebagai koleksi mereka sendiri," imbas Alia. Mesin jahit ibunya juga turut dijadikan medan eksperimen untuk mengasah bakatnya.
Atas kecintaan pada dunia rekaan, anak sulung daripada tiga beradik itu mahu sahaja melanjutkan pelajaran dalam bidang yang bersesuaian namun atas nasihat ibu bapanya yang mahukannya mengambil jurusan yang lebih profesional, Alia akur.
"Tempoh setahun saya sebagai pelajar kejuteraan, terasa diri ada kekosongan dan mendesak untuk menceburi dunia rekaan fesyen. Lantas saya beranikan diri untuk beralih arah," ujarnya, bersyukur kedua ibubapa menyokong dan sentiasa memberi kata semangat sehingga ke hari ini.
Usai belajar di Rafflesia Design Institute, Alia tidak terus memegang profil sebagai pereka fesyen. Dia masih mahu menuntut ilmu dan memahami dunia perniagaan fesyen secara lebih mendalam.
"Selama tujuh tahun, saya mencuba pelbagai cabang kerjaya yang masih merangkumi dunia fesyen. Dalam tempoh masa itu, saya bekerja di bawah beberapa pereka fesyen tempatan seperti Jovian Mandagie dan label Sofira.
"Selain itu, saya turut menjadi perunding gaya untuk beberapa program televisyen sehinggalah digesa oleh teman-teman rapat untuk mencuba nasib sebagai seorang pereka menggunakan label nama sendiri," jelas wanita berumur 29 tahun itu lagi.
Hasilnya, pada April 2011, khalayak dikenalkan dengan jenama Alia Bastamam melalui koleksi Resort sempena pertunjukan fesyen, Debut Showcase yang memperlihatkan keunggulannya sebagai pereka.
Bercerita lebih lanjut mengenai inspirasi fesyen, kongsi Alia, idea bisa diserap melalui keadaan sekeliling juga keindahan cita rasa fesyen terdahulu yang klasik dan malar segar.
"Ketika menghasilkan koleksi khas raya yang lepas, saya sangat terinspirasi melalui lagu Arjunaku nyanyian figura legenda, Datuk Maria Menado," jelasnya.
Maria Menado yang lebih dikenali sebagai pelakon klasik era 50-an juga sebenarnya pernah hadir dengan beberapa deretan lagu pada zaman kegemilangannya. Suara lunak pelakon yang signifikan dengan watak puntianak itu boleh didengari melalui lagu-lagu seperti Menanti Fajar, Merenung Rindu dan Subang Merah.
Koleksi rekaannya juga diibaratkan sebagai dedikasi setulus hati Alia kepada nenda yang banyak membantu memperkenalkan fesyen dalam kamus hidupnya.
Chic dan berani
Kelibat Alia mula dirasai oleh segenap penggemar fesyen tanah air sebagai pereka yang harus diberi perhatian kerana tampil dengan rekaan yang effortless tapi masih chic dan berani.
Lihat sahaja persalinan selebriti-selebriti tempatan yang tampil anggun dalam busana rekaan Alia antaranya Tiz Zaqiyah, Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya dan yang paling meninggalkan impak, si gadis sensasi, Nabila Huda.
Kehadiran Alia dalam peta fesyen Malaysia turut disertai sekelompok pereka muda yang kebanyakan dari kalangan wanita.
Jika sebelum ini, jurubusana wanita profesional dan kekal relevan hingga kini boleh dibilang dengan jari. Tom Abang Saufi, Melinda Loi dan Farah Khan antara sebilangan kecil pereka kaum Hawa.
Industri fesyen tempatan ramai dipelopori oleh kaum Adam yang tampil dengan rekaan yang teliti dengan sarat perincian mewah. Lihat sahaja busana rekaan Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat dan Zerry Zamry yang tampil avant-garde dalam kebanyakan persalinan mereka.
|
|
"Memang tidak dinafikan kehebatan rekaan daripada pereka lelaki, malah saya sendiri menjadi penggemar mereka.
"Namun bagi saya, hanya wanita tahu apa yang sesuai dengan diri mereka. Rasa prihatin terhadap gaya dan cita rasa lebih memihak kepada pereka wanita kerana mereka jelas dengan sensiviti tubuh badan sendiri," jelasnya.
Kemunculan pereka-pereka wanita melalui label Nurita Harith, Mimpikita dan AzuraAzwa jelas memperlihatkan kesungguhan untuk memartabatkan industri fesyen dengan sentuhan peribadi seorang wanita asli.
Walau bilangan mereka semakin ramai, terutamanya pereka yang tampil dengan ilham Muslimah, Alia tidak gentar untuk terus berkarya dalam aliran rekaannya.
"Fesyen bukan landasan untuk bersaing sesama sendiri tetapi lebih kepada sandaran untuk berkongsi minat yang sama dalam dunia fesyen," ujarnya. Kehadiran pereka-pereka muda merancakkan lagi industri fesyen negara agar lebih maju.
Memulakan perjalanan pada tahun 2013, Alia sedang gigih untuk menyiapkan koleksi istimewa yang bakal menjengah bulan Mac kelak. Tidak berpaksi pada rasa yang sama, koleksi tersebut boleh dianggap sebagai aras baharu jenama Alia Bastamam kerana ia bakal memperlihatkan kebolehannya dalam rekaan busana pengantin.
"Sebelum ini, saya ada juga mereka beberapa busana pengantin namun ia hanya memenuhi permintaan pelanggan dan teman-teman.
"Oleh kerana itu, koleksi terbaharu itu nanti akan mempersembahkan rekaan yang lebih fokus terarah kepada persalinan ratu sehari," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: