Friday, February 10, 2012

Zee Bollywood 'kecoh' di PICC


TARIAN hebat merupakan nadi setiap filem Bollywood.


KERANCAKAN irama Bollywood yang menggamatkan suasana Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) pada hujung minggu lalu nyata memberikan kenangan tersendiri buat peminat setia irama ini.

Seperti yang dijangkakan, irama yang berasal dari India ini berjaya mengumpulkan hampir 1,500 penonton untuk hadir pada malam itu.

Seperti yang diketahui umum, Zee adalah saluran televisyen popular untuk peminat irama Bollywood di negara ini yang menyediakan pelbagai informasi mengenai lapangan hiburan terus dari India.

Memberikan kelainan buat penonton setia di negara ini, Zee tampil dengan malam konsert penuh gilang- gemilang. Sebagai bonus, tentu sahaja persembahan dari bintang-bintang yang menghiasi drama serta beberapa program saluran berkenaan.

Merupakan konsert kedua selepas kejayaan konsert pertama pada tahun 2010, Zee Bollywood Nite 2012 bukan sahaja menampilkan artis-artis dari saluran televisyen Zee,tetapi juga artis seksi Malaika Arora Khan yang juga merupakan nama besar di Bollywood.

Ternyata gandingan pengacara tersohor dari India, Manish Paul dan Jessy Chahal iaitu pengacara tempatan, menjadikan suasana konsert pada malam itu lebih ceria dengan lagak spontan mereka yang mencuit hati.

Walaupun berbeza negara, kedua-duanya dilihat begitu serasi di dalam memperkenalkan negara masing-masing. Malah, Jessy juga banyak membantu Manish yang juga penerima Anugerah Gold Award 2012 dalam kategori Hos Terbaik India.

Bermula tepat pukul 8.30 malam, konsert yang berdurasi selama 90 minit ini tidak pernah lekang dari mengeluarkan bunyi-bunyian yang mengasyikkan.

Menampilkan Binny Sharma iaitu bakat yang dicungkil dari program Dance India Dance sebagai artis pertama yang membuat persembahan pada malam itu, Zee Bollywood Nite terus dihujani dengan sorakan gemuruh penonton.

Konsert yang didominasi oleh bintang-bintang Zee pada malam itu turut menampilkan penyanyi baru yang dilahirkan dari program realiti nyanyian Saregamapa, Abhilasha Chellum.

Kelunakan suara milik Abhilasha bukan sahaja memukau seluruh dewan tetapi juga turut menyebabkan penonton berdiri dan menyanyi bersama dari tempat duduk masing-masing.

Tidak mungkin rasanya untuk konsert Bollywood tidak menampilkan persembahan tarian. Itulah kekuatan irama ini yang sentiasa diwarnai dengan muzik dan tarian menceritakan makna setiap melodi yang dibawakan.

Tarian penuh perasaan dari tiga artis iaitu Ram Milaye Jodi , Sujoy dan Sara Khan dilihat tidak kurang hebatnya melalui lagu medly seperti Dum Dum Mast,I Hate Luv Storys, Senorita, Sadi Gali dan Aliyva Hi Aiyva. Ini sekaligus membuatkan penonton panas punggung di tempat duduk sehingga ada di antara mereka turun ke depan pentas untuk menari bersama.

Percaya bahawa setiap legasi perlu mempunyai pewaris, konsert ini juga turut menampilkan dua penari cilik iaitu Vaishnavi dan Ruturaj yang popular melalui rancangan realiti Dance Little Masters.

Selain menampilkan tarian penuh bertenaga, apa yang paling membanggakan kedua-dua mereka turut menghafal setiap lagu yang mengiringi persembahan. Antara lagu medley tersebut adalah Singh is King, I Hate U, Nakhare, Jhor Ka Jhatka, Duniya Men, Usdaan, Dhinka Chika dan Tai Tai Fish.

Seperti yang dijangka pada malam itu tumpuan penonton tentunya kepada persembahan terakhir yang menampilkan penari seksi , Malaika Arora Khan.

Ternyata pengalaman beraksi di dalam beberapa filem Bollywood bersama nama besar seperti Shah Rukh Khan, meletakkan Malaika di antara superstar di kalangan peminat.

Merupakan isteri kepada pelakon Arbaaz Khan iaitu saudara kandung Salman Khan, Malaika memang memiliki auranya yang tersendiri apabila dia bukan sahaja berjaya memukau penonton dengan tarian hebat, tetapi juga kecantikan wajah pada usia 39 tahun.

Sejurus selepas menghabiskan persembahan tarian dengan iringan lagu- lagu medley seperti Chaiya Chaiya, Chamak Challo, Munni Baadnam, Hot Rasiyle danKaal Dhamal, Malaika dilihat pantas ke belakang pentas, mungkin kerana tidak mahu mengadakan sebarang interaksi bersama peminatnya.

Ini memberikan rasa kurang senang di kalangan peminat yang sudah tentu mahu mendapatkan lebih banyak kenangan bersama bintang pujaan.

Walaupun namanya bukanlah sehebat pelakon Aishwarya Rai namun lagak penari ini tetap seperti seorang diva popular.

Mungkin bagi peminat fanatik irama ini, ia adalah sesuatu yang biasa di kalangan mereka untuk melayani karenah bintang-bintang yang mempunyai perangai semulajadi seperti ini.

Bagaimanapun, barangkali perjanjian dengan pihak penganjur hanya sebatas itu, akhirnya penonton faham dan akur dengan susunan acara.

Persembahan penutup pada malam itu bukan sahaja dihiasi dengan letupan kecil bunga api tetapi tepukan gemuruh peminat yang hadir. Dan apa yang pasti, hampir keseluruhan penonton yang hadir pada malam itu berpuas hati dengan persembahan yang diberikan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: