BARANGKALI ada kebenaran di sebalik pendapat yang mengatakan genre muzik nasyid tidak segah seperti mana 15 tahun lalu sewaktu kumpulan Raihan mula mempopularkan nasyid kontemporari.
Senario ketika itu telah meletakkan muzik itu setanding dengan muzik arus perdana yang lain sekali gus penerimaannya memang cukup positif sehingga penjualan album mampu mencatatkan ratusan ribu unit.
Namun, itu cerita dulu dan kalau hendak dibandingkan penerimaan muzik nasyid ketika ini memang tidak sama lagi.
Tetapi, ia tidak bermakna genre muzik itu semakin berkubur dan semakin kurang diterima ramai. Sebaliknya, ia kembali mekar sekitar tiga tahun kebelakangan ini walaupun tidak sehebat dulu.
Ini dapat dibuktikan dengan inisiatif syarikat Nasyeed Edutainment Publishing atau lebih dikenali sebagai Nasyeed.Com yang memperkenalkan Carta Nasyeed.Com lebih setahun lalu menerusi laman sosial, Facebook.
Apa yang mengejutkan namun dalam masa yang sama membanggakan Nasyeed.Com apabila ia mendapat sambutan di luar dugaan sehingga mencatatkan 1.2 juta pelayar.
Melihatkan penerimaan masyarakat dan pencinta muzik tempatan terhadap lagu-lagu nasyid telah mendorong mereka untuk menganjurkan Anugerah Nasyeed.Com (ANC) yang bakal berlangsung pada 13 April ini di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah Eksekutif Nasyeed.Com, Mohd. Khairulnizam Zainol, perancangan untuk menganjurkan anugerah tersebut sudah bermain di mindanya semenjak dua tahun lalu.
Namun, ketika itu, pihaknya mahu melihat respons daripada masyarakat terhadap Carta Nasyeed.Com terlebih dahulu sebelum melangkah setapak langkah lagi.
"Daripada maklum balas pelayar Facebook menerusi Carta Nasyeed.Com itu, barulah kami yakin untuk mewujudkan anugerah ini.
"Bukan tujuan kami untuk sengaja menambahkan bilangan penganjuran anugerah sedia ada di negara tetapi kami ingin menyemarakkan semula industri nasyid yang pernah mencipta kegemilangan satu ketika dulu.
"Di samping itu juga, Nasyeed.Com mahu menghargai artis-artis nasyid yang tidak pernah jemu memperjuangkan muzik ini. Bukan hanya untuk artis senior tetapi mereka yang baru dalam dunia nasyid ini juga," ujarnya pada sidang akhbar yang berlangsung di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Mengulas lanjut tentang penganjuran ANC pula, Ketua Pegawai Operasi Nasyeed.Com, Muhamad Razin Che Mud pula menjelaskan setiap lagu yang dicalonkan dan dipertandingkan untuk anugerah ini dibahagikan kepada enam kategori berbeza iaitu sirah, cinta, perjuangan, amar, munajat dan selawat.
Untuk itu katanya, sebagai permulaan, ANC akan mempertandingkan 13 kategori yang merangkumi populariti dan kualiti menerusi lagu serta muzik video yang dimuat naik ke Facebook dan YouTube.
"Kami akan memberi peluang kepada peminat untuk mengundi mana-mana lagu dan artis pilihan mereka dalam enam kategori iaitu Anugerah Nasyeed Sirah, Anugerah Nasyeed Cinta, Anugerah Nasyeed Amar, Anugerah Nasyeed Selawat, Anugerah Nasyeed Perjuangan dan Anugerah Nasyeed Munajat.
"Sementara untuk lebihan tujuh kategori lain pula ia akan diadili oleh juri profesional dalam bidang muzik termasuk karyawan muzik dan mereka yang terlibat dengan kerja-kerja di belakang tabir.
"Secara tidak langsung, ANC dilihat seimbang di mana kami memberi peluang kepada peminat selain mengiktiraf karyawan muzik nasyid dari sudut kualiti," jelas Muhamad Razin yang juga merupakan salah seorang ahli kumpulan nasyid, Mestica.
Tujuh anugerah yang akan diadili secara profesional ialah Anugerah Susunan Muzik Terbaik, Anugerah Klip Video Terbaik, Anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Lirik Terbaik, Anugerah Lagu Terbaik dan Anugerah Juara Carta Nasyeed.Com.
Bagi kategori Anugerah Khalifah Nasyeed pula, ia akan diberikan kepada tokoh dan individu yang telah memartabatkan serta banyak menyumbang kepada industri muzik nasyid secara keseluruhan.
Dalam masa yang sama, Muhamad Razin turut memberitahu pihaknya tidak bersikap prejudis terhadap mana-mana pihak yang mahu menyertai ANC dan ia terbuka kepada semua penggiat nasyid termasuk wanita.
Namun, buat masa ini katanya, ANC hanya akan mengiktiraf penggiat seni nasyid tempatan dan penganjuran ANC ini juga telah mendapat sokongan padu daripada mereka.
"Alhamdulilah, apa yang membanggakan Nasyeed.Com apabila ANC mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudi untuk menjadi penaung kehormat majlis anugerah ini," kata Muhamad Razin lagi.
Malah, pihaknya juga masih lagi berbincang dengan beberapa stesen televisyen sama ada untuk menayangkan ANC secara langsung atau rakaman.
Untuk keterangan lanjut dan mahu mengundi serta mencalonkan lagu serta artis kegemaran anda, boleh melakukan demikian dengan melayari www.facebook.com/nasyeedcom.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: