Saturday, February 4, 2012

Warna terang serta corak grafiti

pix_middle

DI satu penjuru kelihatan kelibat seorang wanita sibuk mencuba kasut tumit tinggi berwarna merah manakala yang seorang lagi pula tidak sudah-sudah mengomel memberikan pandangan mengenai kasut itu. Hilai tawa mereka memecah suasana yang agak sunyi pada petang di butik aksesori jenama popular tempatan, Carlo Rino.

Tidak berpuas hati dengan kasut yang dipilih, gadis tinggi lampai dan berkulit cerah itu menukarnya pula dengan kasut jenis baji setinggi empat inci. Memang begitulah perempuan, ramai yang tidak boleh hidup tanpa sepasang kasut tumit tinggi.

  • Foto

    SANTAI...kasut bertali dan beg kecil comel sesuai digayakan ketika menikmati secawan kopi.

  • Foto

    MENARIK...begitu teruja memilih beg tangan daripada koleksi kulit yang menampilkan rekaan menarik.

  • Foto

    BERGAYA...antara pilihan beg tangan, dompet dan kasut dengan warna sepadan.

  • Foto

    ISTIMEWA...bermotifkan bentuk hati, rekaan beg tangan ini mempunyai tiga jenis rekaan berbeza mengikut kesukaan pemakai.

Sambil duduk dan membongkokkan dirinya, gadis genit dengan ton kulit sawo matang tadi datang menghampiri menunjukkan beg tangan yang diminati. Sekali lagi suara lantang mereka kedengaran apabila secara serentak menjerit, “Ahh! Beg ini sangat sepadan dengan kasut yang sedang dicuba.”

Itulah gelagat dua sahabat baik yang tanpa henti saling bergurau dan bertukar-tukar pandangan mengenai pilihan aksesori masing-masing. Ada saatnya mereka berebut kerana sukakan beg tangan yang sama.Di Carlo Rino, beg tangannya datang dalam corak yang sama tetapi turut mempunyai rekaan berlainan. Mereka berpuas hati asalkan beg yang dimiliki kedua-duanya hampir sama untuk dijadikan hadiah, tanda persahabatan bertahun-tahun lamanya.


Jika 14 Februari sering dinanti ramai pasangan kekasih, berbeza dengan dua sahabat karib tadi yang berpandangan perasaan cinta dan kasih sayang juga boleh diungkapkan sesama rakan. Justeru, bagi mereka, tidak ada salahnya meluangkan masa pada hari istimewa Februari ini untuk mengeratkan lagi jalinan persahabatan.

Antara yang menjadi kegemaran mereka adalah koleksi beg tangan kulit yang mempunyai pilihan warna terang dan menarik. Bertemakan gaya ranggi dan tampak lebih muda, Carlo Rino kali ini berkongsi kegembiraan meraikan bulan berkasih sayang ini menerusi beg tangan dan kasut terbaru dengan gaya lebih berani.

Hadir dalam pelbagai warna terang dan juga lembut, himpunan kali ini turut menyerlahkan pakaian wanita seperti gaun toga, gaun pendek berlisu, gaun pendek beralun, jaket dan legging.

Ia sesuai bagi mereka yang sukakan rekaan feminin, ranggi dan chic tanpa mengabaikan produk praktikal.

Menurut Pengurus Pengiklanan dan Promosi Carlo Rino, Christy Chan, sesuai digayakan di mana-mana untuk apa jua jenis majlis sama ada rasmi mahupun kasual, koleksi beg tangan dan kasut memenuhi cita rasa serta kehendak si pemakai.

Dengan kombinasi warna terang seperti ungu, merah, kuning, merah jambu, biru dan jingga, terdapat rekaan lain yang dihasilkan dengan pelbagai corak grafiti serta perincian glamor.

“Kasut dan beg tangan ini boleh dijadikan sebagai hadiah untuk pasangan masing-masing dan juga rakan. Rekaannya datang dalam pelbagai bentuk dan membolehkan anda memilih dengan mudah.

“Bagi teman lelaki mahupun suami, tidak sukar memilih beg tangan wanita asalkan anda tahu sesuaikan rekaannya de�ngan personaliti teman wanita ataupun isteri.

“Himpunan ini ada yang diperbuat daripada fabrik kanvas dan kulit yang pastinya memenuhi cita rasa wanita. Paling penting, ia senang dibawa, disandang pada bahu, dibimbit atau diletakkan pada lengan. Ada juga yang didatangkan bersama beg kecil comel atau beg tote,” katanya.

Christy berkata, bahan yang digunakan pada beg dan kasut secara khusus dibuat bagi memenuhi keperluan, cita rasa untuk penggunaan berbeza dan pada masa sesuai, mengoptimumkan penampilan terbaik sepanjang masa serta mencerminkan keperibadian sebenar si pemakai.

Rekaannya turut memberikan kebebasan dalam bergaya mengikut keselesaan diri sendiri di samping memastikan pemakainya menjadi seorang gadis yang sentiasa mengutamakan fesyen dengan mengetahui bagaimana gaya bersesuaian. Ini sekali gus menyerlahkan penampilannya yang menarik ketika berhadapan dengan orang ramai.

Carlo Rino juga menyediakan rekaan menarik untuk tampil memukau tatkala berjumpa dengan si teruna dengan reka bentuk kasut terdedah di bahagian hadapan. Reben serta tali halus memberikan rasa sempurna dan meyakinkan apabila melangkah.

Beberapa beg dihasilkan melalui inspirasi gaya lama yang dipadankan dengan bentuk, kesesuaian rekaan dan gaya bagi menonjolkan personaliti si pemakai.

Misalnya, beg besar tote monogram dan tas tangan yang bersaiz kecil boleh dijadikan pilihan. Bagi yang gemar menggayakan tas tangan polos, ia menampilkan warna lembut seperti krim dan coklat yang juga boleh digayakan pada majlis makan malam atau santai bersama yang tersayang.

Selain mempunyai beg tangan, jika digabungkan dengan kasut tumit tinggi sepadan, penampilan unik yang mahu ditonjolkan pasti terserlah.

Pilihan kasut terdiri daripada kasut baji, tumit tinggi dan sandal. Ditambah pula dengan aksesori tambahan seperti jam tangan dan dompet yang mempunyai warna sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: