Monday, February 20, 2012

Wafa menyinar di Korea




ORANGNYA sederhana dan petah berbicara. Dia yang kelihatan ayu tanpa solekan tebal, tersenyum manis dan ramah menjawab soalan demi soalan yang diajukan tanpa sebarang keluhan.

Walaupun baru berusia 17 tahun, gadis kacukan Melayu dan Belanda ini sudah memiliki visinya sendiri. Wafa Johanna de Korte tidak mahu mengejar dunia glamor semata-mata, sebaliknya ingin berjaya dalam pelajaran.

MEMENANGI anugerah berprestij tahunan Asia Model Festival Awards (AMFA) anjuran Akademi Amber Chia tahun lalu, dia lantas mengambil keputusan menceburi dunia model secara serius.

Selepas bergelar juara, kehidupan Wafa berubah daripada model sambilan kepada seorang wanita yang sibuk dengan undangan penggambaran dan peragaan.

“Kenangan paling tidak dapat saya lupakan apabila mewakili Malaysia ke pertandingan AMFA di Korea bulan lalu. Saya seronok dapat berkenalan dengan peserta dari seluruh Asia.

“Antara cabaran besar semasa pertandingan adalah berdepan cuaca yang sangat sejuk. Saya juga menghadapi masalah komunikasi kerana sukar berjumpa dengan orang Korea yang boleh berbahasa Inggeris. Tetapi ia tidak menghalang saya untuk melakukan yang terbaik,” ujarnya yang berjaya memenangi anugerah terbaik Pakaian Tradisonal Wanita AMFA di Korea.

Cita-cita

Walaupun sibuk memenuhi undangan peragaan, Wafa tidak mahu mengetepikan pelajarannya.

Baginya, wanita tanpa ilmu tidak akan berjaya.

“Saya percaya cantik perlu cerdik. Itu yang ibu saya didik sejak kecil lagi. Sebesar manapun saya meminati sesuatu bidang itu, pelajaran tidak akan diabaikan. Selepas ini saya merancang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah komunikasi massa,” katanya yang sangat meminati fesyen moden.

Berkongsi petua kecantikannya, dia bersyukur kerana dianugerahkan kulit yang cantik sejak lahir.

Justeru, Wafa tidak mahu mensia-siakan anugerah tersebut.

Bagi menjaganya, Wafa memastikan dia perlu cukup tidur dan minum banyak air untuk kekal cantik dan segar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: