Wednesday, February 8, 2012

UMP dedah bidang robotik kepada pelajar


PARA pelajar sekolah yang menyertai Program Celik Elektronik didedahkan kepada bidang robotik anjuran UMP di Pekan, baru-baru ini.


PEKAN 7 Feb. - Seramai 80 pelajar di dua sekolah menengah di sini menyertai Program Celik Elektronik yang dianjurkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sekolah terbabit baru-baru ini.

Program anjuran Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) universiti itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Shahbandar (SMKIS) dan SMK Nenasi (SMKN).

Menurut Pengarah program itu, Nasrul Salim Pakheri, ia melibatkan pelajar tingkatan empat dan lima bagi menarik minat mereka dalam bidang robotik seiring dengan perkembangan sains dan teknologi.

Katanya, pendedahan itu akan menjadikan pelajar lebih kreatif dan inovatif dalam mengaplikasikan idea sendiri terhadap ciptaan masing-masing.

"Mereka didedahkan dengan program teori litar, aplikasi litar dan komponen serta pembangunan 'mini projek' dan aplikasi.

"Pendedahan itu berjaya dimanfaatkan pelajar dalam memahami sistem elektrik, elektronik dan mekanikal terutamanya melibatkan mekatronik serta robotik," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengetua SMKIS, Umi Kalsom Abd. Aziz berkata, menerusi program itu pelajar dapat memahami kepentingan subjek Matematik, Fizik dan Kimia dalam menyelesaikan masalah tertentu.

Tambahnya, selain itu program berkenaan membolehkan pelajar mendalami aspek lain termasuk kerja berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah dengan mudah.

"Pendedahan awal sebegini akan memberikan semangat kepada mereka untuk mengenali lebih dekat teknologi robotik yang selama ini dipelopori bangsa lain contohnya masyarakat Jepun," katanya.

Seorang pelajar SMKIS, Mohd. Rifaie Zuhairi, 16, berkata, program berkenaan memberi keseronokan mempelajari ilmu elektronik khususnya dalam bidang robotik kerana selama ini tidak pernah mencuba dari dekat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: