Wednesday, February 8, 2012

Wanita di sebalik kelajuan ERL


Noormah Mohd. Noor wanita kental yang mementingkan kepuasan pengguna dalam perkhidmatan ERL.


KUALA LUMPUR merupakan salah satu daripada 17 bandar raya di dunia yang menawarkan pengangkutan rel udara, iaitu perkhidmatan tren khusus di antara lapangan terbang dan pusat bandar raya.

Di antara bandar lain di dunia yang turut mempunyai perkhidmatan ini ialah Hong Kong, Sydney, Moscow, Heathrow, Gatwick, Stenstead (UK), Stockholm, Oslo, Itali, Narita, Bangkok dan Delhi.

Perkhidmatan yang dikenali sebagai KLIA Expres dan KLIA Transit ini dibina, dikendali dan dikawal selia oleh Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL).

Semenjak bermulanya operasi pada bulan April 2002, perkhidmatan tren ini telah berjaya mengekalkan rekod kebolehsediaan tepat pada waktu yang cemerlang dan bertaraf dunia pada tahap 99.7 peratus.

Express Rail Link (ERL) ialah operator perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, tren laju yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan Stesen Sentral Kuala Lumpur.

Perjalanan tanpa henti menaiki KLIA Ekspres mengambil masa selama 28 minit sahaja dengan kelajuan maksimum 160 kilometer sejam dengan kekerapan perkhidmatan setiap 15 minit pada waktu puncak dan 20 minit di luar waktu puncak.

ERL telah menerima pengiktirafan antarabangsa untuk perkhidmatan KLIA Ekspres VIP Service (Best Customer Service Award) sewaktu majlis Global AirRail Awards 2011 yang julung kalinya diadakan di Riga, Latvia manakala Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd. Noor pula dianugerahkan Personality of the Year Award.

ERL juga telah menerima sijil ISO9001:2008 Quality Management System untuk kepuasan pengguna baru-baru ini sebagai pengesahan terhadap komitmen syarikat untuk mempertingkatkan mutu kerja dan perkhidmatan.

Bertemu dengan Noormah baru-baru ini di pejabatnya di Stesen KL Sentral, beliau telah berkongsi pengalaman dan kejayaannya menjadi orang penting dalam ERL.

Wanita kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan dan dibesarkan di Kuala Lumpur ini sebelum menyertai ERL pernah bekerja sebagai Pengurus selama lebih dua tahun dengan Projek Usahasama Transit Ringan Automatik Sdn. Bhd. (PUTRA) pada pertengahan tahun 1997.

Pada bulan Oktober tahun yang sama, Noormah menyertai ERL dan dilantik sebagai Pengurus Besar selama 10 tahun. Bagaimanapun selepas sedekad bersama ERL, Noormah meletakkan jawatan bagi menumpukan perhatian kepada bidang perniagaan kafe yang amat diminatinya.

Pun begitu, khidmatnya masih diperlukan dan beliau dilantik sebagai Penasihat kepada ERL apabila Ketua Pegawai Eksekutif sebelum beliau bersara. Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ERL pada bulan Jun 2009.

''Sejak dari mula saya menyertai ERL, saya telah membangunkan bahagian kewangan, jadi saya telah biasa dengan pengurusan syarikat. Setelah memegang jawatan CEO, tugas utama saya masa itu ialah meneliti kewangan syarikat. Pada masa yang sama, dunia menghadapi krisis kewangan namun saya berupaya mendapatkan bantuan kewangan projek ERL.

''Pengalaman selama 10 tahun bersama CEO terdahulu banyak membantu dan memberikan lebih keyakinan untuk saya meneruskan amanah dan kepercayaan yang diberikan.

''Sebagai CEO, saya sedar saya memikul satu tanggungjawab yang berat, iaitu membuat pelan perniagaan, hala tuju pada kakitangan juga pada masa depan syarikat.

''Syarikat sudah lama bertapak, jadi saya harus membuat kajian mengenai kewangan syarikat. Kebetulan semasa saya menyertai ERL sebagai CEO, dunia dilanda krisis kewangan dan prestasi syarikat menurun. Banyak kerja yang perlu dibuat bagi menaikkan semula prestasi syarikat.

''Bagaimanapun saya mendapat kerjasama baik daripada kakitangan kerana mereka telah biasa bekerja dengan saya. Pada masa yang sama saya perlu memberikan motivasi kepada mereka,'' kata Normah yang memiliki Diploma Perakaunan daripada Universiti Teknologi Mara (UITM) dan melanjutkan pengajian hingga mendapat Ijazah dan menjadi ahli dengan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), United Kingdom.

Sebagai seorang wanita, tidakkah tugas yang dipertanggungjawabkan kepada beliau terlalu berat, kata Noormah, beliau sentiasa bersikap positif terhadap tugasnya dan tidak menganggap ia sebagai sesuatu yang membebankan.

Ujar Noormah, beliau menganggap masalah sebagai cabaran dan mengamalkan kerja sebagai satu kumpulan serta melakukan kerja bersama-sama pegawai dan kakitangan tidak kira lelaki dan wanita.

''Saya tidak menghadapi masalah dengan pegawai dan kakitangan lelaki dan saya cuba melihat dan menilai pandangan mereka. Sebagai ketua, kita jangan terlalu menghalang pendapat mereka. Walaupun kita mempunyai pendapat dan pandangan sendiri namun kita jangan menolak mentah-mentah pendapat mereka.

''Saya selalu memberi nasihat kepada kakitangan bahawa kita kena jujur, tulus dan ikhlas semasa menjalankan tugas. Jangan mengharapkan sesuatu kerana jika kita jujur, ganjaran akan datang secara sendiri.

''Daripada 130 orang kakitangan, 85 adalah staf khidmat pelanggan dan pegawai tiket. Saya tekankan pada mereka bahawa mereka adalah lambang ERL. Jika perkhidmatan kita bagus, orang akan naik tren kita. Untuk pengetahuan, daripada segi khidmat tren, kita adalah bertaraf dunia.

''Empat kali setahun saya membuat kajian khidmat pelanggan bagi mengetahui pandangan pelanggan serta kumpulan pelanggan yang banyak menggunakan tren dan mendapati pelanggan luar negara lebih ramai menggunakan tren ini. Mereka selesa dengan tren ini.

''Berbanding dengan orang tempatan, mereka merasakan tambang sebanyak RM35 itu mahal namun ada juga yang berpendapat harga tersebut munasabah.

'Saya berterima kasih kerana mendapat sokongan daripada ahli lembaga pengarah dan pengerusi. Apa yang penting dalam menjalankan tugas, saya mendapat kepercayaan daripada ahli lembaga pengarah.

''Setakat ini saya tidak menghadapi apa-apa masalah. Bagi saya tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.

''Selain itu pengalaman terdahulu saya dengan syarikat memudahkan saya kerana saya bukan orang baru. Selain itu kebolehan menyeluruh dalam kewangan turut membantu,'' ujar Noormah yang mempunyai seramai 130 orang kakitangan.

Noormah berkata, cabaran paling hebat yang dihadapinya adalah faktor global yang di luar kawalan.

Jelas beliau, bisnes perkhidmatan ERL melibatkan penumpang kapal terbang seluruh dunia yang bergerak daripada lapangan terbang ke KL Sentral. Penumpang bergantung pada situasi global dan sensitif pada ekonomi global.

Jika dunia katanya, menghadapi masalah seperti SARS atau kemerosotan ekonomi, penerbangan turut terjejas dan memberikan kesan kepada khidmat ERL dan syarikat.

Bagaimanapun menurut Noormah, beliau gembira kerana daripada segi prestasi dunia, pencapaian ERL Malaysia dianggap terbaik dan dihormati.

Mengenai perancangan tahun ini, Noormah berkata, perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan dilanjutkan ke KLIA2 bagi memenuhi keperluan pasaran penerbangan tambang murah.

Sebagai operator kedua-dua perkhidmatan tersebut, ERL bersedia memastikan sambungan yang lancar ke terminal penerbangan kos rendah ini bila ia dibuka pada bulan April 2013 nanti.

''Matlamat projek ini ialah untuk menyambung landasan tren ERL yang sedia ada daripada Bangunan Terminal Utama KLIA1 ke Kompleks Bersepadu di KLIA2 yang sedang dalam pembinaan. Sambungan sepanjang 2.14 kilometer ini akan memintas ke stesen baru ERL di KLIA2 berhampiran sempadan landasan lapangan terbang nombor dua yang ada sekarang.

''Kompleks bersepadu ini nanti akan menempatkan semua pengangkutan awam termasuk perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit. Projek ini mengambil masa selama 15 setengah bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir Oktober tahun ini.

''Sambungan landasan ERL ke KLIA2 ini bakal memanfaatkan penumpang dari arah Kuala Lumpur (melalui Stesen Sentral Kuala Lumpur), Cheras dan Ampang (melalui Stesen Bandar Tasik Selatan), Putrajaya dan Cyberjaya serta Salak Tinggi,'' ujar Noormah lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: