JITRA - Sejenis ulat dikenali sebagai ulat ratus di kalangan pesawah telah menyerang lebih 200 hektar sawah di daerah Kubang Pasu sejak sebulan lepas menyebabkan kerugian lebih RM150,000.
Serangan ulat tersebut atau nama saintifiknya 'spodoptera mauritia' membabitkan kawasan milik lebih 100 pesawah.
Ulat ratus itu kebiasaannya menyerang daun pokok padi dan kemudian melarat ke tangkai buah menyebabkan batang pokok padi patah dan tidak boleh dituai.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum berkata ulat ratus juga dikenali sebagai ulat kerbau berasal dari sejenis kupu-kupu yang membiak dengan cepat mengancam sawah padi.
"Ancaman akan lebih serius dalam tempoh kira-kira seminggu semasa padi hampir boleh dituai," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan sawah yang diserang ulat tersebut di Kampung Pulau Pisang dekat sini hari ini.
Beliau berkata biasanya seekor kupu-kupu dewasa akan bertelur sehingga 300 biji. Telur yang menetas bertukar menjadi larva yang memakan daun dan tangkai pokok padi.
"Serangan ulat ini boleh dikawal menggunakan racun serangga. Bagi kawasan sawah padi yang sudah sampai masa untuk dituai, petani boleh menuai secepat mungkin untuk mengelak terus diserang ulat tersebut," katanya.
Mohd Johari meminta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) membuat laporan mengenai serangan ulat itu untuk dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara agar bantuan meringankan kerugian petani dapat dipohon.
Seorang pesawah yang ditemui, Abdul Ghani Saad, 67, berkata dia mengalami kerugian hampir RM4,000 selepas kira-kira 3.74 hektar sawah yang diusahakannya diserang ulat ratus beberapa hari lepas.
"Kebiasaannya saya boleh dapat hasil sebanyak RM24,000 tetapi tahun ini hasil merosot kerana serangan ulat itu," katanya.
Menurut Abdul Ghani beliau telah meracun kawasan sawah padi yang diserang tetapi ulat ratus membiak terlalu banyak sehingga tangkai padi gugur selepas dimakan ulat tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: