Karier pelakon cantik, Kristen Stewart dilihat berjalan lancar, apabila namanya mula berada di kemuncak menerusi lakonan sebagai Isabella Swan atau Bella Swan dalam filem puntianak romantik, Twilight pada penghujung tahun 2008.
Tuah wajah polosnya di samping bakat lakonan semula jadi dimiliki ternyata membuahkan hasil, tatkala ditawarkan sebagai watak utama dalam filem adaptasi novel terkenal, Twilight hasil tulisan Stephenie Meyer.
Kejayaan filem tersebut melonjakkan nama pelakon berusia 22 tahun ini, dengan watak utamanya diteruskan sehingga siri keempat filem itu, Twilight Saga : Breaking Dawn Part 1 yang ditayangkan tahun lalu.
Bergandingan bersama kekasih hati, Robert Pattinson, yang memegang watak utama sebagai Edward Cullen di dalam filem tersebut, berjaya meletakkan mereka sebagai pasangan ideal dalam filem.
Di sebalik populariti ditempa melalui filem Twilight, namun tidak ramai yang tahu pelakon muda ini sebenarnya sudah mula berkecimpung dalam dunia lakonan seawal tahun 1999 dalam filem, The Thirteenth Year.
Usia masih mentah iaitu sekitar umur sembilan tahun pada ketika itu membuatkannya menerima watak tempelan untuk filem pertama lakonannya.
Biarpun begitu, pemilik nama sebenar Kristen Jaymes Stewart ini tidak berputus asa dalam mencari tapak bagi mengembangkan lagi kariernya dalam industri perfileman.
Berbekalkan bakat lakonan semula jadi, Kristen tidak mengambil masa terlalu lama untuk ditawarkan watak penting dalam filem.
Buktinya, pelakon remaja ini ditawarkan berlakon di samping selebriti terkenal, Jodie Foster dalam filem Panic Room, dengan memegang watak sebagai penghidap kencing manis.
Menerusi filem tersebut, Kristen yang ketika itu berusia 12 tahun menerima respons positif atas lakonannya sehingga dicalonkan dalam kategori, Best performance in a feature film- Leading Young Actress, bagi Anugerah Artis Muda.
Tidak terhenti setakat itu, Kristen dicalonkan untuk kategori sama menerusi tiga lagi filem iaitu Cold Creek Maner (2003), Undertow (2004) dan Into The Wild (2007).
Pencetus kepada kejayaannya adalah filem lakonan hangatnya, Twilight dengan meraih Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah MTV Movie pada tahun 2008.
Minat menulis
Tidak menjangka akan bergelar pelakon, gadis berasal dari Los Angeles ini sebenarnya meminati bidang penulisan.
Kristen pernah melahirkan hasrat untuk menyambung pelajaran di Sydney University, Australia dengan mengambil jurusan kesusasteraan.
“Sekiranya diberi peluang, saya ingin menyambung pelajaran. Saya berminat untuk mempelajari bidang kesusasteraan kerana saya ingin menjadi penulis.
“Saya bukanlah tidak menyukai kerja yang saya lakukan sekarang ini, cuma saya ingin melengkapkan diri dengan ilmu,” katanya.
Mewarisi bakat daripada kedua ibu bapanya yang bekerja sebagai belakang tabir, Kristen tidak pernah menyangka kariernya akan berkembang kini.
“Saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi seorang dikenali. Saya juga tidak terfikir untuk berlakon, namun saya sering berlatih menandatangani autograf kerana saya sukakan pen. Boleh dikatakan sejak kecil lagi saya suka menulis nama saya di setiap barang,” katanya.
Mengulas mengenai popularitinya yang semakin meningkat, Kristen tidak pernah sekalipun mendabik dada dengan kejayaan tersebut.
Beliau juga tersenarai antara pelakon wanita yang mendapat bayaran tertinggi di Hollywood pada tahun 2010 menurut sumber Vanity Fair.
Kristen dilaporkan menerima kira-kira AS$28.5 juta (RM85.46 juta) untuk kesemua filem dilakonkan sepanjang tahun 2010.
Selain itu, filem terbarunya The Twilight Saga: Breaking Dawn- Part 1 yang ditayangkan pada November tahun lalu juga menerima kutipan box office, AS$283.5 juta (RM850.08 juta) pada minggu pertama tayangan.
Pasangan romantik
Terbawa ke luar set penggambaran, Kristen bersama pasangannya, Robert atau Robs mengaku menjalin hubungan cinta pada penghujung 2011.
Pada awalnya, mereka cuba menyembunyikan hubungan, namun mereka akhirnya berterus-terang apabila sering dilihat bersama.
Pun begitu, pasangan ini dilihat cukup sepadan antara satu sama lain dan juga pernah menerima gelaran Couple of The Year pada Brazilian Kids’ Choice Award menerusi filem The Twilight Saga: Eclipse tahun 2010.
Kristen juga khabarnya begitu menyayangi Robs dengan menghadiahkan jejaka itu dua buah gitar vintage berharga AS$12,000 (RM46,000) semasa Krismas tahun lalu.
Aktres tersebut dilaporkan sanggup mencari dua instrumen itu; 1959 Fender Jazzmaster dan 1947 K&F Lap Steel di Norman’s Rare Guitars di Los Angeles bagi memberikan hadiah Krismas terbaik kepada kekasih hatinya.
Ternyata, pemberian hadiah tersebut menggembirakan hati Robs yang begitu meminati bidang muzik dan berhasrat mengeluarkan album dalam tahun ini.
Thursday, February 9, 2012
Twilight lonjak populariti Kristen Stewart
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: