Azura

Pada 28 tahun lalu, filem Azura menjadi satu fenomena, apabila filem cinta itu berjaya menarik perhatian ramai sehingga diingati sehingga ke hari ini.

Azura bukan hanya terkenal kerana jalan cerita dan lakonan dua bintang terkenal, Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud (Ogy), malah himpunan lagu menarik di dalamnya turut menghangatkan filem berkenaan.

Filem terbitan dan arahan Deddy M Borhan itu juga muncul sebagai filem Melayu pertama berjaya mencatat kutipan pecah panggung, apabila mula ditayangkan sekitar Disember 1984.

Dek populariti dan kekuatan pada filem terbabit, pengarah Aziz M Osman, mengambil keputusan menghasilkan semula filem Azura menerusi garapannya tersendiri tanpa lari dari cerita asal.

Mengetengahkan bintang sedang meningkat naik, Neelofa dan Shahrizal Jaszle sebagai Azura dan Zack versi baru, sentuhan Aziz menerusi Azura 2012 sangat berbeza berbanding filem arahan Deddy M Borhan itu.

Tanggal 2 Februari lalu, Azura 2012, ditayangkan di pawagam seluruh negara dan mendapat reaksi pelbagai di kalangan pencinta filem. Mampukah gandingan Neelofa dan Shahrizal mengulangi sejarah kehebatan Jamal dan Ogy?


Garapan berbeza - Aziz M. Osman

Mengarahkan filem yang pernah mencetuskan fenomena ternyata bukan tugas yang mudah. Dibandingkan dengan filem asal ialah perkara utama yang harus ditempuh Aziz. Mengulas lanjut perkara itu, Aziz bersikap positif sambil menegaskan, dua filem itu masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Tentunya perbandingan itu tidak mampu dielakkan Aziz kerana penonton pastinya cuba mengaitkan keduanya kerana ia adalah garapan semula Aziz mengikut acuannya. Kata Aziz, filem Azura mempunyai nilai sentimental tersendiri buat dirinya kerana benar-benar dapat merasai magis sentuhan Deddy M Borhan ketika menonton filem itu.

“Sebagai pengarah, saya memang meminati hasil kerja Deddy M Borhan. Sebaik saja mendapat persetujuannya untuk mengadaptasi semula filem itu, saya tidak terus buat kerana saya perlu mencari tekstur baru Azura.

“Filem Azura popular kira-kira 30 tahun dulu dan tidak semua orang tonton filem ini. Anak saya pun tahu mengenai kewujudan filem ini selepas saya membeli DVD.

"Bagi penonton yang tahu cara garapan saya, mereka akan nampak isi yang cuba saya sampaikan dalam setiap filem saya. Apa yang boleh saya katakan, saya buat filem ini adalah untuk anak saya, generasi masa kini," katanya.

Sebagai penerbit filem ini melalui syarikatnya Ace Motion Pictures, Aziz tanpa berselindung akui dia tidak mengharapkan apa-apa daripada filem ini. Cukup sekadar memberitahu, Azura 2012 ialah sebuah filem yang cukup sempurna daripada segi kisah cinta, pelakon berbakat dan mempunyai jiwa yang kurang dilihat dalam kebanyakan filem tempatan dekad ini.

“Suka atau tidak pada filem ini, itu subjektif. Saya juga mendapat kritikan daripada banyak pihak tapi itu yang akan membina keyakinan kita untuk melakukan yang terbaik terutama filem yang berkualiti,” katanya.


Jangan bandingkan saya dan Ogy- Neelofa

Pelakon utama Azura, Neelofa atau mesra disapa Lofa berharap penonton menilai kemampuannya mengalas watak Azura tanpa dibandingkan dengan lakonan Ogy dalam filem Azura sebelum ini.

Neelofa berkata, walaupun sudah menjangkakan perbandingan pasti akan berlaku, namun dia berharapkan penonton akan bersikap lebih adil, memandangkan filem berkenaan menjadi medan percubaan pertamanya dalam bidang lakonan.

“Saya mengambil masa sebulan memikirkan mengenai tawaran berkenaan. Ketika menerima tawaran tersebut, saya masih lagi dalam pertandingan Dewi Remaja.

“Sejujurnya saya sedia dikritik, tapi jangan sesekali membandingkan saya dan Ogy kerana tentunya beliau lebih hebat dari saya,” katanya.


Shahrizal beri terbaik

Bagi pendukung watak Zack, Shahrizal juga mengharapkan perkara serupa seperti Neelofa agar tiada pihak yang membandingkan dia dengan Jamal Abdillah.

Malah Shahrizal mengakui sudah melakukan yang terbaik dan mengikut acuannya sendiri tanpa dibayangi Jamal.

“Bagi generasi baru seperti saya, filem Azura adalah sebuah filem baru dan tidak adil andainya mereka membandingkan filem ini. Lagi pula, filem ini dihasilkan semula, bukan ditiru secara bulat-bulat.

“Bagaimanapun saya sudah lakukan yang terbaik, mengikut acuan saya. Malah selepas tamat penggambaran, baru saya menonton filem ini untuk melihat jalan ceritanya,” terangnya.


Belum tonton- Jamal Abdillah

Sementara itu, bagi teraju utama Azura 1984, Jamal Abdillah mengakui belum menonton filem yang pernah menaikkan namanya itu kerana tidak dijemput walaupun pernah ditawarkan berlakon dalam filem berkenaan sebagai cameo.

"Terus-terang, saya tidak pun dijemput untuk menonton filem ini. Jadi kenapa perlu saya datang menonton pada malam gala kalau tidak di undang.

“Sebenarnya, sebelum ini pihak penerbitan filem Azura 2012 ada menawarkan saya watak dalam filem berkenaan. Mereka mahu saya melakonkan watak sama tetapi versi Zack yang sudah tidak menetap di sini. Saya tolak dan tidak mahu melibatkan diri kerana saya memang sudah tidak mahu berlakon lagi," katanya.

Di tebak adakah dia merasa tergugat dengan kehadiran Shahrizal sebagai Zack, Jamal berpendapat watak Zack yang dilakonkan Shah Jaszle sudah pasti amat berlainan dari Zack yang pernah dilakonkannya.

“Zack yang dulu seorang yang pandai menyanyi. Tambahan, lakonan saya pada masa itu lebih ke arah melodrama. Saya juga adalah seorang penyanyi yang menjadi pelakon.

“Berlainan sekali dengan Shah Jaszle yang memegang watak Zack hanya sebagai pelakon. Penonton sudah tentu akan nampak perbezaannya. Apa yang penting, dulu saya berlakon dengan ada melodi sekali,” ujarnya.