Friday, February 24, 2012

Topeng diri manusia

TOPENG personaliti lebih berkesan apabila disertai dengan keyakinan diri yang tinggi ibarat babak lakonan di pentas. - Gambar hiasan


TATKALA kita mempercayai bahawa semua manusia akan bersikap jujur, kita juga dihidangkan dengan cerita kepura-puraan manusia. Tatkala kita percaya bahawa kita akan hidup dengan dikelilingi manusia yang baik, kita juga selalu dikejutkan dengan berita buruk mengenai manusia lain.

Mengapa hal seumpama ini terjadi? Mengapa kita jarang berpeluang untuk hidup dalam keadaan semua manusia adalah jujur dan berhati mulia? Adakalanya kita melihat individu yang begitu baik perilakunya tetapi, tiba-tiba kita mendengar pula cerita bahawa mereka ini telah melakukan pelbagai bentuk salah laku yang bertentangan norma masyarakat.

Siapakah sebenarnya manusia? Mengapa adakalanya kita bertemu dengan manusia yang mempunyai watak yang berbeza-beza dalam keadaan yang berbeza-beza. Selalu kita mendengar berita ada lelaki hidung belang yang ditahan pihak berkuasa kerana melakukan perbuatan tidak senonoh dengan wanita muda di rumah urut atau kelab malam.

Pada waktu yang lain, kita mendengar pula berita orang yang dikatakan alim agama tetapi, mencabul kehormatan anak gadis. Tidak kurang juga berita ada pegawai yang ada kuasa dalam masyarakat tetapi ditahan kerana rasuah atau salah guna kuasa.

Topeng perilaku

Dalam psikologi, istilah personaliti datangnya daripada patah kata 'persona' yang membawa maksud topeng. Ini bermaksud, manusia selalunya akan memakai topeng yang berbeza-beza sesuai dengan keadaan yang dihadapinya.

Mereka mungkin kelihatan seperti orang yang baik dalam masyarakat tetapi, hakikat sebenarnya hanyalah pemakaian topeng sahaja.

Banyak orang yang terpaksa mengenakan pakaian yang bergaya apabila perlu menghadiri mesyuarat atau temu duga, walaupun dalam dunia kehidupan mereka yang sebenar, mereka sebenarnya ialah orang lain.

Inilah yang dikatakan personaliti. Manusia memakai topeng dalam keadaan yang memerlukan mereka berbuat demikian.

Ia terjadi kepada semua orang. Kita perlu memuaskan hati manusia lain dengan memakai 'topeng' yang bersesuaian. Ia demi survival kehidupan manusia.

Bagaimana pula dengan pelaku homoseksual? Adakah mereka ini juga memakai topeng dalam kehidupan ganjil mereka?

Kajian Humpreys

Inilah hakikat yang cuba ditunjukkan dalam satu kajian klasik yang dilakukan oleh Laud Humpreys pada pertengahan tahun 1960-an di Amerika Syarikat. Ia kajian yang kontroversi yang dilakukan bagi melihat siapakah sebenarnya pelaku homoseksual itu.

Adakah mereka sama seperti manusia normal atau sebaliknya?

Humpreys telah menunggu di dalam tandas awam untuk melihat pelaku seksual itu. Pelaku homoseksual berkenaan menggunakan tandas awam sebagai tempat mereka melepaskan nafsu dengan pasangan sejenis mereka.

Bagaimanapun, bagi membolehkan beliau mendapat kerjasama daripada pelaku homoseksual itu, beliau telah berperanan sebagai watchqueen atau mata-mata bagi memerhatikan sekiranya ada pihak berkuasa yang datang.

Beliau akan memberikan isyarat tertentu agar disedari oleh pelaku homoseksual itu sekiranya ada polis yang datang. Dengan cara ini, beliau telah menjadi akrab dengan mereka seterusnya berpeluang untuk menemu duga pelaku homoseksual berkenaan bagi melengkapkan kajiannya.

Humpreys sebenarnya ingin tahu siapakah sebenarnya pelaku homoseksual itu dalam kehidupan normal mereka dalam masyarakat dan keluarga.

Setahun kemudian, beliau telah menemui pelaku homoseksual itu di rumah mereka selepas menjejak melalui nombor plat kereta. Dia berlakon sebagai pegawai banci kesihatan.

Pelaku homoseks itu tidak menyedari bahawa Humpreys ialah orang yang sama yang menjalankan kajian dalam tandas sebelum ini. Beliau menemu duga latar belakang subjek kajian termasuk hal berkaitan agama, keluarga dan aspek kehidupan yang lain. Tidak ada sebarang soalan mengenai aktiviti homoseksual.

Apa yang mengejutkan, didapati kebanyakan daripada pelaku homoseksual itu adalah orang yang normal dalam kehidupan berkeluarga. Mereka bekerja dan mempunyai isteri serta anak. Hanya beberapa orang sahaja yang bujang dan merupakan homoseksual sejati.

Mereka juga ada pendidikan yang baik malah, ada yang mempunyai kepercayaan agama yang kuat.

Lumrah hari ini

Hakikatnya, itulah juga yang sedang kita hadapi dalam masyarakat kita hari ini. Kita terpedaya apabila melihat manusia yang mampu memakai topeng kejujuran dalam hidup mereka. Hakikatnya, kejujuran hanyalah sekadar topeng yang boleh dipakai dan dilakonkan sesuai dengan latar kehidupan seseorang.

Kita mungkin menyangka bahawa mereka yang melanggan wanita genit di rumah urut adalah mereka yang berperangai buruk di tempat lain juga. Kita mungkin mengandaikan bahawa mereka yang melakukan jenayah adalah mereka yang sangat teruk peribadinya.

Hakikatnya, mereka mungkin mempunyai perwatakan lain apabila berada dalam kehidupan normal masyarakat.

Mereka mungkin seseorang yang sangat warak yang selalu bertegur sapa dengan kita setiap hari. Kita semua adalah manusia yang memakai topeng bagi meneruskan survival hidup.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: