Friday, February 24, 2012

Tidak boleh qada solat tanpa keuzuran


URUSAN mengqada solat tidak mempunyai batas waktu. - Gambar hiasan


SAYA berpakaian seksi dan kurang selesa mengerjakan solat di surau di tempat kerja kerana malu dengan rakan sekerja lain. Jika hari bekerja saya selalu mengqadakan solat Zohor ketika pulang ke rumah. Apakah hukumnya?

JAWAPAN

Alhamdulillah dalam hati anda telah berputik iman yang indah kerana terbit malu di hati walaupun pada awalnya pada kawan pejabat.

Maka, alangkah indahnya jika saudari mula untuk berpakaian yang lebih selesa untuk ke pejabat dan insya-Allah dengan mudah dapat terus mengerjakan solat di surau pada awal waktu tanpa perlu mengqada solat. Ini kerana solat tidak boleh diqada tanpa keuzuran yang dibenarkan syariat seperti tertidur atau terlupa.

Lakukanlah sesuatu untuk Allah, insya-Allah pasti Allah akan permudahkan segala urusan. Wallahualam.

Qada solat Subuh andai tertidur

SAYA sering tidur lewat yang menyebabkan 'terbabas' dalam menunaikan solat Subuh. Bilakah waktu yang sesuai bagi saya untuk mengqadakan solat Subuh yang tertinggal kerana tertidur?

JAWAPAN

Sesungguhnya Allah tidak menghukum atas orang yang tertidur atau terlupa. Berkenaan dengan terbabas dalam menunaikan solat Subuh dengan syarat memang tidak langsung sedar apabila masuk waktu Subuh.

Oleh itu saudara boleh terus mengqada solat Subuh tatkala tersedar daripada tidur, walaupun ketika itu telah tiada lagi waktu Subuh.

Terus qadakan solat itu tanpa berlengah sebagai tanda yang memang bukan disengajakan kelewatan itu dan ikutilah dengan mohon keampunan kepada Allah atas kelalaian kita. Sidang pembaca yang dirahmati Allah, sesungguhnya mengqadakan solat tiada batas waktu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: