Wednesday, February 8, 2012

Tanah Kubur kembali untuk musim ketiga


Drama bersiri Tanah Kubur bertujuan memberi keinsafan kepada penonton.


SETELAH mencatat kejayaan melalui jumlah penonton yang mencapai 4.5 juta sepanjang drama Tanah Kubur ditayangkan selama dua musim, kini rancangan tersebut akan kembali untuk musim ketiga. Ia akan bermula pada 24 Februari nanti, pukul 7.30 malam, di saluran Astro Oasis.

Menurut Pengurus Saluran Oasis, Izelan Basar, drama berbentuk keagamaan tersebut mendapat reaksi positif daripada penonton.

"Alhamdulillah, setakat ini, reaksi yang kami terima daripada penonton adalah sangat memberangsangkan.

"Selain itu, drama ini juga turut mencatat jumlah penonton yang tinggi walau pun ketika siaran ulang tayang.

"Perkara ini sebenarnya menunjukkan bahawa masyarakat kita semakin menggemari rancangan yang bercorak keagamaan," jelasnya ketika ditemui pada sidang akhbar baru-baru ini.

Sementara itu, bagi pengarah drama tersebut, Rashid Sibir, dengan kejayaan drama bersiri tersebut, ia sememangnya memberi satu kepuasan kepadanya kerana dapat mengangkat sesuatu yang menginsafkan kepada penonton.

"Saya sangat bersyukur kerana drama Tanah Kubur ini dapat diterima baik.

"Bila difikirkan kembali, terasa berbaloi dengan setiap usaha dan titik peluh kami dalam mengangkat karya ini ke kaca televisyen.

"Bayangkanlah, setiap jenazah yang kami kebumikan dalam drama tersebut adalah menggunakan pelakon sebenar. Adegan mereka diletakkan di liang lahad dapat dirasai oleh mereka sendiri.

"Jadi apabila siri ini mula diperkatakan ramai dan mendapat tindak balas yang positif, kami semakin bersemangat untuk memberikan yang terbaik dalam musim yang terbaru ini," jelasnya lagi.

Tidak menafikan terpaksa berhadapan dengan kerenah beberapa stesen televisyen yang meragui konsep drama bersiri itu, Rashid tidak menjadikan perkara tersebut sebagai batu halangan.

"Apa yang lebih penting sekarang ialah kami dapat memberikan kesedaran.

"Malah saya percaya, topik mengenai dosa dan pahala, hidup dan seksa diambang maut akibat dosa-dosa lepas sememangnya akan digemari penonton Melayu.

"Lagi pun apa yang kami bawakan ini adalah sebagai peringatan dan bukanlah hanya sekadar hiburan semata-mata," kata Rashid lagi.

Masih mengekalkan watak utama, Tok Adi, lakonan Nasir Bilal Khan, rancangan tersebut juga bakal menampilkan pelakon-pelakon seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Hamidah Wahab, Talha Harith, Johan As'ari, Liza Abdullah dan Jimmy Shanley.

1 comment:

  1. Cerita Tanah Kubur tu Kesah Benar Atau Direka.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: