SELAMA ini, Malaysia dan Indonesia dilihat sering bersaing antara satu sama lain dalam bidang muzik dan perfileman. Persaingan itu antara lain berlaku kerana adanya persamaan daripada segi bahasa dan budaya di dua negara tersebut.
Senario yang dikatakan mula berlaku sejak tahun 1980-an sehingga kini, sedikit sebanyak merugikan hubungan dua hala, selain dua bidang tersebut tidak dapat diperkembangkan dengan lebih meluas.
Namun, perkembangan yang kurang sihat itu menampakkan sinar baru apabila Persatuan Artis Filem Indonesia (Parfi) mengambil langkah positif dengan menjalin hubungan baik dengan karyawan seni di negara ini.
Menurut wakil Parfi, Aditya Gumay, menyedari kebaikan yang bakal diperolehi karyawan filem di Malaysia dan Indonesia, pihaknya telah menjalin kerjasama dengan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) baru-baru ini.
"Kami telah pun menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Gafim sewaktu kami menyertai KLIS (Festival Filem Pendek Antarabangsa Kuala Lumpur). Saya mewakili Presiden Parfi, Gatot Brajamusti.
"Sementara Gafim pula diwakili oleh Presidennya, Jurey Latif Rosli dan Marthias Ali. Diharap selepas ini banyak kerjasama antara Malaysia dan Indonesia boleh dilakukan dalam bidang perfileman," katanya penuh optimis.
Jelasnya, antara intipati MoU itu ialah menjalin kerjasama dalam pembikinan filem, pertukaran artis untuk filem dan drama, penganjuran pekan filem dan pertukaran tenaga pengajar bagi membangunkan bidang tersebut.
Aditya yang ditemui selepas mementerai MoU sewaktu forum sempena KLIS yang diadakan di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur pada 30 Januari hingga 1 Februari lalu berkata, dia kagum dengan industri perfileman di Malaysia.
"Saya kagum dengan filem di Malaysia akhir-akhir ini. Saya dapat tahu banyak filem di sini yang mengutip kutipan tiket melebihi RM10 juta. Sebab itu, kebetulan berada di sini, saya mahu membeli filem-filem yang mendapat sambutan itu.
"Antaranya saya mahu membeli filem Malaysia dalam bentuk DVD atau VCD seperti berjudul KL Gangster dan Ombak Rindu. Saya mahu menonton filem ini bagi mengkaji tentang tarikan yang ada dalam filem-filem itu," ujarnya.
Pada masa sama, Aditya yang juga merupakan seorang pengarah filem di Indonesia berkata, dia tidak menafikan kebangkitan industri perfileman di Malaysia di saat industri perfileman di negaranya sedang melalui zaman kemerosotan.
Jelasnya yang mewakili syarikat produksi Smaradhana Production, statistik itu dibuat berdasarkan penerbitan filem cereka Indonesia yang ketika ini hanya sekitar 100 buah filem setahun di mana ia kini semakin berkurangan.
"Suatu ketika dulu iaitu pada tahun 1980-an, industri perfileman di Indonesia pernah menghasilkan 300 hingga 400 buah filem cereka setahun tetapi sekarang ini bilangannya sekitar 100 buah filem cereka sahaja.
"Di Indonesia buat masa ini kami hanya mempunyai sekitar 600 pawagam di bawah syarikat 21 Cineplex dan rangkaian Blitz di mana jumlah itu adalah sedikit jika dibandingkan dengan penduduk berjumlah lebih 200 juta orang.
"Malah, sambutan juga semakin berkurangan terutamanya untuk filem seram. Biasanya sesebuah filem seram tempatan hanya ditonton sekitar sejuta penonton sahaja berbanding filem cinta dengan 3.5 juta penonton," jelasnya.
Aditya yang sebelum ini pernah mengarahkan empat filem berjudul Lenong Bocah, Emak Ingin naik Haji, Rumah Tanpa Jendela dan Ummi Aminah berharap MoU dengan Gafim itu dapat membuka lembaran baru kedua negara terbabit.
Dia yang hadir ditemani penerbit Smaradhana Production, Adenin Adlan membayangkan mahu menjalin kerjasama bukan sahaja dengan karyawan filem Malaysia tetapi juga negara-negara di rantau Asia Tenggara.
"Kalau boleh pada masa depan saya mahu menerbit serta mengarahkan sebuah filem bertajuk Di Bawah Satu Langit yang menggabungkan para pelakon dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Filipina.
"Mungkin kita akan menggunakan Malaysia atau Singapura sebagai lokasi utama penggambaran filem itu yang dalam bahasa Inggeris. Ia tentang sekumpulan pelajar dari pelbagai negara yang belajar di sebuah sekolah," katanya.
Pada KLIS yang disertai lebih 100 filem pendek dari lebih 50 negara itu mengadakan tayangan percuma kepada orang ramai di Panggung Bandaraya selain aktiviti lain termasuklah forum berkaitan dunia perfileman.
Antara filem pendek yang ditayangkan berjudul The Novel dari Itali, Bian Zi (Taiwan), The Fisherman's Son (Malaysia), A Fabrica (Brazil), El Duelo (Venezuela), The Limits (Indonesia), It's In Your Hands (India) dan Lizard (Australia).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: