Sopi Sekuriti bukan sekadar komedi!

Tidak pernah sepi menyajikan rancangan komedi menarik, Astro Warna menerusi saluran 132, menghidangkan drama komedi terbaru, Sopi Sekuriti. Bakal menemui penonton pada 28 Februari, setiap Selasa, jam 10.30 malam, drama komedi 13 episod arahan pengarah baru Jafa Adami ini, diterajui Man Raja Lawak, Sazzy Falak, A Galak, Roy Azman dan Afiq Izuddin.

Menurut Pengurus Saluran, Bob Azrai, Astro amat mengutamakan program komedi pelbagai genre yang berkualiti dan dinamik demi memastikan kepuasan penonton.

“Ini adalah salah satu langkah agar penonton tidak berganjak dari saluran kami dan terus setia menikmati rancangan menarik yang telah disusun. Begitu juga dengan drama bersiri Sopi Sekuriti, kami amat mengharapkan maklum balas yang baik daripada penonton kerana saya yakin, drama hebat dan menarik ini akan menjadi rancangan pilihan.

“Ia bukanlah hanya komedi biasa, kerana setiap babak yang dipaparkan dipenuhi dengan cerita kehidupan yang boleh diteladani. Kami percaya, kombinasi pelakon baru dan lama dalam drama ini adalah salah satu tarikan kepada penonton,” katanya ketika sesi pelancaran drama ini, di D’jeumpa D’ramo, Bangsar.

Siri terbitan Skop Production, mengisahkan Sopian Mansur, lakonan Man Raja Lawak yang mahu menjadi anggota polis, namun sentiasa gagal dalam ujian fizikal. Dia mengambil keputusan untuk menjadi pengawal keselamatan dan dibantu oleh anaknya, Eppy (lakonan Afiq Izuddin). Pada masa sama, Sopi jatuh cinta dengan Laila (lakonan Sazzy Falak) yang juga anak ketuanya, Yahya.

Tapi, Sopi mendapat tentangan daripada Dorman, musuh lama Sopi. Pelbagai cabaran yang harus dilalui oleh Sopi untuk menghalang Dorman dari terus menimbulkan masalah kepadanya.