Hubungan cinta aktres cantik, Tiz Zaqyah dan hero pujaan Malaya, Remy Ishak bukan rahsia lagi. Biarpun cuba menyorokkan hubungan itu, akhirnya Remy membuka mulut mengakui sedang melalui hubungan cinta bersama Tiz.
Bagaimanapun dalam menelusuri hubungan yang baru dibina itu, heboh seketika apabila ada pihak mengatakan hubungan pasangan yang terkenal menerusi drama bersiri Nur Kasih ini telah berakhir.
Lebih menjadi spekulasi apabila Tiz dan Remy dilihat meluahkan perasaan yang mengandungi maksud tersirat menerusi laman sosial Twitter dan Facebook masing-masing.
Kesempatan bersua dengan pelakon Tiz Zaqyah atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 23, ketika malam gala filem Cinta Kura-Kura di Cathay e@Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini, Tiz kelihatan sudah bersedia untuk menjawab segala soalan yang diaju pihak media.
“Dah agak, mesti akan tanya tentang isu ini,” seloroh Tiz sebaik diaju mengenai spekulasi tersebut.
“Cerita itu (putus cinta) semua mengarut! Semuanya adalah gosip semata-mata. Apa yang terpampang di laman sosial tiada kena mengena dalam hubungan kami. Sebelum ini, pernah juga keluar gosip yang sama, tapi selepas itu senyap macam itu saja.
“Bila kami tak mahu beritahu kami bercinta, orang buat spekulasi macam-macam. Bila beritahu, perkara sama juga berlaku. Saya bukan tak nak komen pasal hubungan kami, tapi perkara ini agak privasi. Biarlah orang nak cakap apa pun. Apa yang penting, kami tahu apa yang berlaku,” katanya.
Tiz berkata, hubungannya dan Remy masih berjalan seperti biasa dan akan bertemu sekiranya ada kelapangan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: