Tuesday, February 14, 2012

Slot 9X untuk orang muda


OH Chentaku antara kumpulan pemuzik yang hadir pada pelancaran slot tersebut.


SALURAN TV9 yang bernaung di bawah bumbung Media Prima Berhad merupakan saluran televisyen yang sentiasa melakukan perubahan dalam usaha menarik perhatian penonton daripada pelbagai golongan selain persaingan dengan stesen-stesen lain.

TV9 antaranya akan memperkenalkan sebuah slot baru yang dikenali sebagai 9X mulai 20 Februari ini setiap Isnin hingga Rabu dari pukul 10.30 malam hingga 11.30 malam dengan kepelbagaian konsep rancangan seperti muzik, siri pengembaraan dan drama.

Menurut Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin, slot 9X bertujuan menarik para penonton muda yang berusia 15 hingga 29 tahun yang mana ia mampu memperkembangkan kreativiti dalam bidang muzik, kualiti penerbitan dan ekspresi bersifat artistik golongan itu.

"Kami berpegang teguh kepada tiga perkara iaitu untuk menyuntik elemen-elemen baru dalam memberi kelainan serta inspirasi kepada para penonton dalam rancangan-rancangan yang akan disiarkan menerusi 9X. Kami juga memberi sokongan para penonton untuk terbabit.

"Contohnya, salah satu slot dalam 9X ialah Mix Tape yang memaparkan kerjasama antara artis atau kumpulan pemuzik tempatan dengan videografer amatur. Cara itu bukan sahaja boleh mempromosikan industri muzik tetapi juga kreativiti dalam bidang penerbitan," ujarnya.

Sherina yang ditemui selepas pelancaran 9X di Yayasan Seni, Kuala Lumpur baru-baru ini menambah, antara rancangan yang akan dimuatkan dalam slot itu ialah Aizat Gegar New Zealand setiap Isnin pukul 10.30 malam mulai 20 Februari ini sebanyak empat episod.

Turut diselitkan katanya ialah slot Soundcheck setiap Isnin mulai 19 Mac ini pukul 10.30 malam dengan menampilkan ramai artis tempatan seperti Hujan, Aizat Amdan, Shila Amzah, Awi Rafael, Tomok, Monoloque, Oh Chentaku dan Azlan & The Typewriter.

"Kami harap slot 9X akan menjadi popular sebagai salah satu slot yang mendapat rating penonton yang tinggi. Ini kerana, setakat ini slot Screen Di 9 pada setiap Rabu pukul 8.30 malam mendapat rating paling tinggi di TV9 dengan jumlah penonton 850,000 hingga sejuta penonton.

"Pada masa sama, TV9 yang tidak sampai 10 tahun beroperasi turut mencatat pencapaian membanggakan secara keseluruhannya apabila muncul saluran televisyen Media Prima kedua dengan rating penonton sebanyak 8 peratus di bawah TV3 dengan rating penonton 27 peratus," katanya.

Jelas Sherina, pengenalan slot seperti 9X juga katanya mampu memperkembangkan lagi persepsi para penonton yang selama ini beranggapan rancangan-rancangan yang disiarkan di TV9 lebih cenderung untuk penonton Melayu yang tinggal di luar bandar.

Sebaliknya, katanya pendekatan itu akan menarik perhatian lebih ramai golongan remaja bukan sahaja sebagai penonton slot 9X tetapi juga boleh mengembangkan lagi inspirasi dan aspirasi mereka daripada paparan-paparan slot yang disiarkan dalam 9X itu.

"Sebenarnya, kita mempunyai ramai remaja yang kreatif, imaginatif dan ekspresif dalam masyarakat hari ini. 9X ibarat 'kotak suara' mereka dalam usaha memperkembangkan lagi kreativiti mereka sama ada dalam bidang muzik dan sebagainya," jelasnya.

Selain menerbitkan rancangan sendiri bagi dimuatkan dalam slot 9X, tambah Sherina, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang cadangan kepada golongan artis mahupun penonton bagi mempertingkatkan lagi mutu serta kepelbagaian bahan-bahan siarannya kelak.

Justeru, bagi yang berminat untuk berkongsi idea menerbitkan rancangan-rancangan menarik yang sesuai untuk tontonan golongan muda, segala maklumat yang berkaitan boleh diperolehi menerusi www.tv9.com.my/9X.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: