|
|
BEKERJA sebagai seorang jurutera mungkin dianggap lebih menarik bagi sesetengah orang apatah lagi prospek sains dan teknologi menjadi tumpuan dalam pembangunan modal insan ketika ini.
Namun tidak bagi Jefri Faizal Jimi Sham, 31, apabila memilih profesion sebagai pegawai polis walaupun setelah bertahun-tahun menuntut dalam bidang itu.
Malah setelah lima tahun menyarung pakaian seragam Sang Saka Biru, Jefri tetap yakin dengan pilihannya itu dan bersedia untuk melangkah lebih jauh.
Mengimbau kenangan lalu, Jefri memberitahu, hasratnya memilih menyertai pasukan polis adalah kerana sokongan daripada ibunya, Jamilah Talib selain didorong untuk berbakti kepada negara dan masyarakat.
"Selepas tamat pengajian, saya tidak terus memilih profesion polis mahupun tentera sebaliknya menjadi seorang jurutera elektrik di sebuah syarikat swasta di Johor Bharu, Johor.
"Selama tiga tahun saya bekerja dengan sebuah syarikat dari Jepun walaupun ketika itu memang saya berniat untuk memohon menjadi pegawai polis," katanya yang merupakan graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ketika ditemui di Balai Polis Kepong, Selangor baru-baru ini.
Menurutnya, hasratnya itu disuarakan kepada ibunya dan syukurlah wanita tersebut menyokongnya.
"Tiga tahun berkhidmat di syarikat swasta itu, ibu sayalah yang sering memberi galakan dan nasihat. Saya rasa nasihatnya itu seolah-olah menjadi bisikan untuk saya terus menanam cita-cita yang pernah saya impikan suatu ketika dahulu. Oleh itu pada 2006 saya nekad untuk memohon.
"Alhamdulillah... Tahun itu juga saya diterima masuk ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur seterusnya berkhidmat sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor hingga sekarang," ujarnya.
IPD Sentul
Sejak melangkah keluar dari Pulapol sehingga ke saat ini, suami kepada Inspektor Azlina Dawami itu berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebagai Pengawai Penyiasat (IO) Jenayah manakala isterinya sebagai IO di IPD Petaling Jaya.
Kata Jefri, pada mula kariernya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau diberi tugas untuk berkhidmat di Bahagian Akta Anti Pemerdagangan Orang, yang pada masa itu baru sahaja dimulakan di IPD Sentul, pada 2009.
"Cabarannya memang terasa kerana saya baru menyertai polis. Segala kerja yang saya lakukan perlu berhati-hati dan tindak-tanduk harus mengikuti apa yang digariskan akta tersebut.
"Namun berkat pimpinan ketua-ketua yang ada serta bantuan rakan setugas yang lain, kesukaran berada di situ menjadi pembakar semangat serta menambah keseronokan untuk terus berkhidmat.
"Tetapi apa yang boleh saya simpul kan, saya amat berpuas-hati dengan usaha dan kerja saya, kerana banyak kes telah melalui pendakwaan serta perbicaraan," tambahnya.
Lima tahun berkhidmat di IPD Sentul, beliau juga semakin matang dengan tanggungjawab sebagai pegawai polis apatah lagi cabaran arus semasa yang sentiasa berubah-ubah seiring dengan perkembangan zaman.
"Jika diukur pengalaman dan pembabitan saya dalam polis, ia bukanlah sesuatu tempoh yang lama, namun banyak yang telah saya belajar di sini untuk berubah menjadi lebih baik setiap masa.
"Setiap kes atau jenayah yang terpaksa diselesaikan juga saya anggap cabaran yang mampu mematangkan diri saya sebagai pegawai polis yang mempunyai integriti," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: