|
|
MENDENGAR sahaja menu-menu masakan Johor seperti laksa Johor, nasi ambeng, nasi beriani, mi rebus, lontong dan sebagainya sudah cukup membuat anda terliur sebelum menikmatinya.
Bagi warga kota yang tinggal di sekitar Lembah Klang pastinya tercari-cari restoran menyediakan masakan Johor asli yang boleh dinikmati bersama ahli keluarga.
Tidak semua restoran menyediakan masakan Johor asli dengan pelbagai menu yang mampu menggugat selera.
Jadi jika teringin menikmati keenakan masakan Johor yang asli, apa kata luangkan masa anda bersama ahli keluarga menjengah ke Restoran d'Cengkih.
Terletak di No. 6, Jalan Tun Mohd. Fuad, Taman Tun Dr. Ismail, restoran tersebut sememangnya mampu memberikan pelbagai pilihan masakan Johor kepada para pengunjungnya.
Dibuka setiap hari kecuali Isnin, pengusaha restoran tersebut, Haron Ibrahim memberitahu, segala menu yang dihidangkan adalah air tangan isterinya, Halifah Ja'afar.
Bukan tidak mempercayai tukang masak yang diupah, tetapi menurut Haron, ia adalah untuk menjaga keaslian rasa masakan yang disediakan.
Ternyata apa yang dikatakan adalah benar kerana sepanjang hampir sejam berada di sana, kelibat Halifah langsung tidak kelihatan kerana begitu sibuk di dapur menyediakan juadah untuk para pelanggannya.
Menurut Haron, kedainya yang memulakan operasi 7.30 pagi hingga 6.30 petang menyediakan pelbagai menu untuk pilihan pelanggan.
"Di sini kami menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan juga makan petang.
"Untuk itu, bagi sarapan pagi, selain juadah kuih muih, kami turut menyediakan soto, lontong, mi rebus, laksa Johor dan sebagainya.
"Manakala untuk lauk pauk tengah hari pula para pelanggan boleh memilih mengikut selera masing-masing dengan lebih 30 jenis setiap hari," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya, baru-baru ini.
Tidak pernah menyangka akan mempunyai perniagaan sendiri, bagi Haron semuanya adalah rezeki.
Ini kerana pada asalnya restoran tersebut dibuka dan dikendalikan sepenuhnya oleh ibu mertuanya yang teringin membuka restoran di ibu kota.
Tetapi keadaan sebaliknya berlaku apabila ibu mertuanya tidak tahan dengan keadaan di Kuala Lumpur dan hanya sempat menguruskan restoran tersebut selama enam bulan sebelum menyerahkan kepada Haron dan Halijah untuk meneruskannya.
Bermula daripada situlah restoran d'Cengkih diteruskan bahkan mengekalkan sepenuhnya menu-menu yang berasal dari Johor.
Memastikan segala-galanya yang terbaik buat pelanggan, ulas Haron, dia bersama isterinya hanya menyajikan masakan daripada bahan-bahan yang berkualiti buat pelanggannya.
Ini kerana menurutnya lagi, selain ingin mengekalkan pelanggan sedia ada, dia juga ingin mencari pelanggan-pelanggan baru.
Yang pasti, kelazatan kuah laksa pekat daripada campuran isi ikan dan tumisan rempah istimewa melengkapkan spageti yang digunakan dalam resipi laksa Johor.
Ia disempurnakan dengan hirisan halus timun, daun kesum, tauge, bunga kantan dan juga lobak asin.
"Sebagai orang Johor, saya serta isteri mahu pengunjung berkongsi masakan di sini sama seperti yang dihidangkan di rumah.
"Kami juga mahu mereka tahu betapa enaknya masakan Johor terutama sekali apabila dimasak dengan ramuan serta rempah asli yang dibawa khas dari Johor.
"Yang pasti, kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami di sini," katanya lagi.
Bercakap tentang gaya hiasan dalaman yang terdapat di restoran itu, penataan kemas pada sudut premis berkapasiti 80 tempat duduk itu tampil sederhana tetapi cukup selesa.
Keseronokan menjamu selera juga dihiburkan dengan alunan muzik life dari band yang bertugas termasuklah sesi karaoke daripada dendangan para pelanggan.
Apa tunggu lagi? Buatlah temu janji anda bersama keluarga tersayang untuk menikmati masakan Johor di restoran d'Cengkih.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: