Bermula semalam, stesen radio Red FM, lebih gamat dan meriah dengan celoteh penyampai baru, Sarimah Ibrahim dan Lil’Kev dalam segmen Red Breakfast.
Sebut nama Sarimah, pasti ramai dapat membayangkan celotehnya. Malah bidang penyampai bukanlah sesuatu yang baru buat selebriti terkenal ini, memandangkan dia juga pernah berkhidmat di Era FM selama empat bulan sebelum ini.
Tawaran yang diberikan pihak pengurusan Red FM dianggap tepat pada masanya, apabila bekas pengacara Akademi Fantasia, ini sedang mencari sesuatu bagi mengetengahkan semula bakatnya dalam industri seni tanah air.
Menurut Sarimah, tawaran sebagai seorang penyampai radio platform baru buat dirinya untuk meneruskan karier ke tahap lebih baik.
“Saya terima tawaran ini kerana ianya sangat stabil dan meyakinkan tambahan pula gandingan deejay yang berpengalaman membuatkan saya lebih tertarik dengan tawaran ini.
“Mengendalikan segmen pagi bersama Lil’ Kev adalah satu penghormatan buat saya memandangkan dia adalah seorang yang berpengalaman dalam bidang penyampai sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, di Red FM dia telah diberi kepercayaan untuk menarik lebih ramai pendengar, lebih-lebih lagi pendengar di kalangan bangsa Melayu.
“Di sini saya merancang mahu menggabungkan penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris supaya ianya lebih selesa diikuti pendengar dari bandar mahupun luar bandar. Bagaimanapun ianya masih dalam perancangan.
“Selain menghibur, saya juga mahu mendidik pendengar untuk berbahasa Inggeris memandangkan ianya kini dilihat sebagai satu keperluan bagi semua lapisan masyarakat untuk lebih bersaing dalam menjalani kehidupan harian,” ujarnya.
Bekas pengacara program realiti, The Biggest Loser, ini berhasrat untuk memberikan seberapa banyak informasi kepada pendengar sama ada menerusi radio, mahupun Twitter dan Facebook.
“Saya mahu semua lapisan masyarakat selesa mendengar segmen yang kami kendalikan ini dan mengharapkan ianya akan diterima baik oleh pendengar,” katanya.
Lil’ Kev teruja kembali ke konti
Setelah lapan tahun menyepi, bekas penyampai stesen radio Hitz FM, Lil’ Kev kini bersedia menggalas tugas baru di Red FM.
Menurutnya, walaupun sudah lama tidak menjalankan tugas sebagai deejay kerana berada di luar negara, dia masih teruja kembali ke konti menjalani peranan sebagai penyampai.
“Saya gembira diberi kepercayaan bergandingan bersama Sarimah mengendalikan segmen Red Breakfast.
“Sudah lama saya kenal dia dan ini lebih memudahkan bagi kami untuk saling bekerjasama dalam meningkatkan lagi prestasi stesen radio ini,” katanya.
Jelas Lil' Kev, menerusi segmen pagi, dia dan Sarimah cuba mengendalikan segmen dengan karakter dan cara tersendiri sebagai kelainan untuk menarik lebih ramai pendengar mengikuti stesen radio tersebut.
“Saya mengharapkan kemunculan kami untuk segmen pagi ini akan diterima semua lapisan masyarakat dan sebagai penyampai, saya akan melakukan yang terbaik bagi menghiburkan pendengar setia kami,” katanya.
Punya kekuatan
Sementara Ketua Pegawai operasi Red FM, Azrul Mohd Nor yang ditemui ketika majlis memperkenalkan pasangan ini sebagai barisan penyampai Red FM, yakin mereka mampu menarik perhatian pendengar, sekali gus meningkatkan jumlah pendengar di stesen radio itu.
“Kedua-duanya mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri. Gandingan ini amat sesuai dengan ciri-ciri penyampai yang kami mahukan dalam menarik perhatian lebih ramai pendengar,” katanya.
Selain memperkenalkan penyampai baru, Red FM juga turut mengumumkan slot segmen baru.
Tuesday, February 14, 2012
Sarimah Ibrahim, Lil’ Kev gamatkan Red FM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: