Minyak wangi asli, berjenama

Melihat kejayaan rakan-rakan dalam perniagaan dalam talian (online) mampu menjana pendapatan sampingan lumayan, Suriani Fauzi, 41, mendapat idea untuk melibatkan diri dalam jualan minyak wangi secara dalam talian sejak tiga bulan lalu.

Hasil dorongan suami yang juga merupakan rakan kongsi, Fauzi Zainal, 43, dan bermodalkan RM3,000 menerusi wang simpanan suami, akhirnya Suriani membuka perniagaan di MyPerfume Garden.

Memulakan perniagaan dalam talian dengan membangunkan laman sosial Facebook sebagai medan promosikan produk, MyPerfume Garden berjaya menjual 22 botol pelbagai minyak wangi dalam tempoh dua minggu.

Menurut Suriani, MyPerfume Garden kini hanya memiliki laman sosial Facebook sebagai medium komunikasi dan mempromosikan produk kepada pelanggan.

“Pada masa ini, kami tidak mempunyai laman sesawang sendiri kerana ingin melihat perkembangan perniagaan terlebih dahulu, lagi pun MyPerfume Garden masih baru.

“Insya-Allah, kami bakal membuka laman sesawang itu menjelang akhir tahun 2012,” katanya yang kini hanya mempunyai 40 orang peminat di laman sosial Facebook dan kira-kira 20 orang pelanggan, sekali gus berhasrat meningkatkan jumlah pelanggan tetap pada masa akan datang.

Khidmat penghantar peribadi

Menurutnya, kelainan pernia­gaan dalam talian MyPerfume Garden adalah kerana menyediakan perkhidmatan peribadi dan mengenali pelanggan dengan lebih dekat menerusi khidmat penghantaran produk secara berdepan dengan pelanggan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, khidmat penghanta­ran itu dilakukan sebagai salah satu inisiatif mendapat kepercayaan pelanggan terhadap produk, sekali gus membantu menambah jumlah pelanggan pada masa akan datang.

Suriani berkata, bagi mengukuhkan lagi perniagaan seterusnya mengeratkan hubungan dengan pelanggan, MyPerfume Garden giat menjalankan promosi di Facebook.

“Bagi mengekalkan pelanggan menerima maklumat dan produk terkini, MyPerfume Garden akan menghubungi atau menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pelanggan sedia ada dan melalui panggilan telefon selain pemberita­huan menerusi Facebook.

“MyPerfume Garden turut memberikan tawaran harga istimewa kepada pelanggan yang membeli produk melebihi lima botol,” katanya, yang juga merupakan bekas pekerja di salah sebuah syarikat perbankan terkemuka negara.

Harga lebih murah


Menurutnya, MyPerfume Garden menjual minyak wangi asli dan berjenama dengan harga lebih jauh murah berbanding produk sedia ada di pasaran.

Katanya, MyPerfume Garden menawarkan harga 60 peratus lebih murah bagi semua jenama minyak wangi dengan harga serendah RM100 hingga RM180 sebotol.

Suriani berkata, minyak wangi MyPerfume Garden tidak mempunyai kotak, sebaliknya hanya didatangkan bersama sarung kain kerana ia merupakan barang yang tidak memenuhi piawaian (reject item) daripada segi struktur botol ketika proses pembungkusan dilakukan.

“Sebelum ini, kami pernah berhadapan dengan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan keadaan botol produk kerana tidak mempunyai kotak seperti yang dijual di kaunter.

“Oleh itu, pelanggan perlu faham bahawa barangan reject item tidak boleh mempunyai kotak kerana akan dikhuatiri menyalahi polisi,” katanya yang menerima bekalan daripada pengedar yang telah berkecimpung dalam perniagaan ini selama 10 tahun.

Menurutnya, MyPerfume Garden juga memberikan jaminan sekiranya ada pelanggan yang tidak berpuas hati dengan minyak wangi yang tidak bertahan selama dua jam dengan mana-mana minyak wangi baru.

MyPerfume Garden mempunyai 50 jenama minyak wangi terdiri daripada jenama terkemuka antaranya Chanel, Amani, Guess, Hugo Boss, Versace, Jadore CD, Escade, Bvlgari, Kate Boss, Tommy Girl, YSL, Polo, CK, Ralph dan Gucci.

Menurutnya, daripada kesemua minyak wangi itu, Jadore CD menjadi pilihan ramai wanita dan CK paling diminati oleh pelanggan lelaki berbanding jenama lain.

Jenama terkemuka jadi tarikan

Bagaimanapun, pelanggan boleh membuat permintaan tempahan bagi jenama yang tidak terdapat dalam senarai. Namun perlu menunggu sehingga dua minggu daripada pembekal.

“Dari segi kos penghantaran pula, pelanggan dikenakan cas daripada RM10 sehingga RM12 bergantung kepada berat, yang akan diterima pelanggan dalam tempoh dua atau tiga hari waktu bekerja menerusi Pos Malaysia atau Skynet,” katanya.

Cari pengedar luaskan perniagaan

Menurut Suriani, pelanggan MyPerfume Garden majoriti terdiri daripada sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru.

Katanya, MyPerfume Garden berhasrat menerokai pasaran negeri lain pada masa akan datang, sekali gus mengukuhkan perniagaan sedia ada dengan membuka peluang perniagaan dengan menjadi pembekal kepada mana-mana individu yang berminat untuk menjadi pengedar minyak wangi di luar Kuala Lumpur dan Selangor.

Sasar jualan RM50,000

Individu yang berminat untuk berniaga minyak wangi boleh menghubungi MyPerfume Garden dan akan mendapat harga istimewa dengan pembelian minimum 20 botol pelbagai jenama.

“Dalam tempoh tiga bulan berniaga, MyPerfume Garden secara purata menerima tempahan dua botol sehari dengan pendapatan bula­nan RM3,000.

“Kami yakin dapat meningkatkan jualan produk sehingga 40 botol sebulan dengan purata pendapatan bulanan RM6,000 dan RM50,000 setahun pada tahun ini,” katanya.

Menurutnya, untuk peranca­ngan lima hingga 10 tahun akan datang, MyPerfume Garden berhasrat memperluaskan perniagaan dengan membuka butik wangian dan spa.