Rolls-Royce

SINGAPURA - Rolls-Royce, hari ini merasmikan kemudahan terbesarnya di Asia, di Seletar Aerospace Park di sini.

Dibina di kawasan seluas 154,000 meter persegi, ia merupakan kemudahan teknologi pembuatan aeroangkasa bernilai tinggi canggih di Singapura.

Kampus Rolls-Royce Seletar meliputi Unit Pemasangan dan Ujian, kemudahan pengeluaran bilah kipas, pusat teknologi canggih dan pusat latihan serantau.

Pusat Rolls-Royce Seletar merupakan pelaburan melebihi S$700 juta dan akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kumpulan selain berhampiran dengan pelanggannya di Asia Pasifik.

Pelaburan itu akan mewujudkan lebih daripada 500 pekerjaan baharu, menjadikan bilangan pekerja Rolls-Royce di Singapura melebihi 2,000 orang.

Ketua Pegawai Operasi Rolls-Royce plc Mike Terrett berkata kemudahan hebat ini menyediakan kapasiti tambahan kepada Rolls-Royce untuk memenuhi tempahan.

"Yang penting, ia juga merupakan satu lagi fasa baharu perhubungan penting kami dengan Singapura. Buat kali pertamanya di luar negara, kami akan mengeluarkan bilah kipas dan memasang serta menguji enjin-enjin jet komersil.

"Kampus Rolls-Royce Seletar mengimpunkan teknologi dan teknik pembuatan canggih serta pekerja berkemahiran tinggi untuk mengeluarkan enjin jet canggih di dunia," katanya dalam ucapan perasmian kemudahan itu di sini hari ini.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura Leo Yip yang mengucapkan tahniah kepada Roll-Royce berkata ia merupakan kejayaan penting dalam pembangunan industri aeroangkasa Singapura.

"Kami bangga kerana Rolls-Royce membuat komitmen yang besar di sini.

Pembuatan semakin pesat berkembang memandangkan ia merupakan enjin pertumbuhan industri aeroangkasa kami.

"Kami akan terus menjalin usaha sama dengan pemimpin industri seperti Rolls-Royce, bagi membangunkan kemudahan pembuatan canggih di Singapura," katanya.

Sumbangan bernilai tambah kumpulan itu di Singapura dijangkakan meningkat daripada 0.3 peratus keluaran dalam negara kasar (GDP) kepada 0.5 peratus GDP yang diunjurkan pada 2015.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong merasmikan kemudahan Rolls-Royce itu. Turut hadir ialah Pengerusi Rolls-Royce plc Sir Simon Robertson.