RM110 juta bangun industri baru

Pemaju hartanah Suntrack Develop­ment Sdn Bhd (Suntrack) melancarkan pembangunan perindustrian baru, Suntrack Hub @ Bangi, dengan nilai pembangunan kasar RM110 juta.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, projek itu terdiri daripada 42 bilik pameran perindustrian yang terletak di Taman Perindustrian Bangi, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Pengarah Projeknya, James Tan berkata, pembangunan di tanah seluas 4.76 hektar itu menawarkan tiga jenis pembinaan berbeza pada harga permulaan RM2.59 juta.

“Kami yakin lokasi selesa dan strategik, ditambah reka bentuk baik, akan meyakinkan pelanggan untuk dijadikan pelaburan berguna,” katanya.

Pembinaan bermula Mac tahun ini susulan pelancaran jualan pada 17 Februari dan dijangka siap pada akhir 2013.

Suntrack Hub @ Bangi menggabungkan ciri-ciri mesra alam seperti bahan material yang memantulkan haba dan lampu semula jadi dan pengudaraan baik. Setiap unit menawarkan persekitaran perniagaan selesa dan efektif daripada segi kos.

Suntrack menawarkan potongan sehingga 10 peratus kepada Bumiputera manakala pembeli awal layak mendapat potongan RM30,000 sehingga hari pelancaran.