Saturday, February 18, 2012

RL6: Riki, Skema Tersingkir Kerana Tidak Konsisten

Dua peserta kumpulan Riki (tiga, kiri) dan Skema (dua, kanan) tersingkir pada minggu keenam Raja Lawak Astro musim keenam kerana faktor persembahan yang tidak konsisten.

KUALA LUMPUR: Selepas kumpulan Gman tersingkir pada minggu lalu kerana persembahan yang tidak konsisten, kumpulan Skema dan Riki pula menyusuri jejak itu apabila disingkirkan daripada gelanggang keenam Raja Lawak Astro musim keenam (RL6) yang berlangsung di Pusat Penyiaran Asia Astro, Bukit Jalil, di sini, malam Jumaat.

Kumpulan Riki yang dianggotai Norlizal Mohamed Ghani, 27, Mohamad Fadzil Akbar, 24, dan Md. Noor Hazahar, 21, mendapat peratus undian terendah iaitu 9.28 peratus.

Sementara, Skema yang terdiri daripada Sheikh Abdul Rahman Zainal, 23, dan Mohd Hafizi Zulkifeli, 23, mengutip 11.10 peratus undian.

Satu lagi peserta pada kedudukan rapuh, kumpulan 2Yol (11.36), bagaimanapun terselamat daripada penyingkiran.

Kedua-dua Riki dan Skema turut berada kedudukan tiga terbawah pada persaingan minggu kelima.

Riki tersingkir selepas mendapat undian terendah 9.28 peratus.

Pengurus Saluran Astro Warna Bob Azrai, berkata, dua peserta yang tersingkir pada minggu keenam sekali lagi berhadapan masalah persembahan yang tidak konsisten, sekaligus menolak minat penonton untuk mengundi.

“Penonton komedi di Malaysia semakin bijak dan mampu menilai kualiti persembahan setiap peserta. Penonton mahu calon pelawak yang konsisten dengan jenaka yang berkualiti dan optimum.

“Keadaan ini semakin jelas pada musim ini berdasarkan peratus undian para peserta, hanya mereka yang benar-benar konsisten sahaja akan terus memenangi undian penonton.

“Peserta yang tinggal dalam persaingan seterusnya adalah mereka yang jauh lebih berkualiti dan konsisten berbanding Skema dan Riki,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut, di sini.

Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai

Mengulas mengenai dua penyingkiran serentak yang berlaku buat kali kedua pada musim ini, Bob Azrai, berkata jumlah peserta yang tersingkir pada setiap minggu adalah elemen kejutan dalam program berkenaan.

“Jumlah peserta tersingkir pada setiap minggu adalah elemen kejutan dalam RL sejak dulu lagi.

"Format ini kami gunakan kerana ingin mengekalkan momentum dan pengalaman kejutan yang berterusan kepada penonton pada setiap minggu,” katanya.

Skema berada di bawah tunjuk ajar Cif Kecil Tauke manakala Riki mendapat bimbingan Cif Kecil Angah.

Dengan penyingkiran itu, enam lagi peserta yang meneruskan persaingan pada minggu hadapan adalah 2Yol, Albob, Cuit, Selak, Shiro dan Zero.

Skema sekali lagi berada pada kedudukan rapuh pada minggu keenam, sekaligus mengesahkan penyingkiran mereka.

Minggu keenam RL6 mengangkat tema ‘Retro’.

Masih lagi mengekalkan format permarkahan menerusi 100 peratus undian penonton, para peserta mendapat bimbingan pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri selaku Cif Besar dan tiga Cif Kecik iaitu Yus, Angah dan Tauke.

Para peserta musim ini diadili tiga pengkritik tetap iaitu produser filem dan drama David Teo, pelawak Sathia dan produser dan pelakon Sheila Rusly.

RL6 diterajui oleh pasangan pengacara Johan dan Zizan dan disiarkan pada setiap Jumaat pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132).

Paparan aktiviti mingguan para peserta pula disiarkan dalam Kapsul Raja Lawak pada setiap Isnin hingga Khamis pukul 9.55 malam di saluran yang sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: